Carilah bahagiamu pada arti seringkas kerdipan mata
Pada buku-buku lama
Juga pada lagu dan irama
Pada perkara sekecil
semut berjalan
di waktu tengah hari
Atau saat kau berdiri memulakan hari
Menghirup udara segar sambil mengambil semangat matahari
Pada perkara semudah senyuman kecil
di wajah orang asing
Pada riuh tawa anak kecil bermain gasing
Juga pada pertemuan semula setelah lama hidup terasing
Carilah bahagiamu pada sekecil-kecil hembusan nafas di kala malam
Tatkala rembulan mengambang ditemani bintang
Pada kukuran burung hantu yang memanggil
Pada nilai kemaafan setelah lama hati berdegil
Carilah bahagiamu
dengan menutup mata
Membiar zarah-zarah udara
meresap jiwa
Sesungguhnya bahagia itu bukan tentang melakukan apa yang disukai
Hakikatnya mudah saja
ia bertukar benci
Tetapi bahagia adalah tentang menyukai apa yang dilakukan
Kerana hidup ini sekadar pinjaman Tuhan
Semudah kerdipan mata
Seringkas itu hidup di dunia
