35|Jauh

23.5K 1K 27
                                    

Usai menyiram tanaman bunga mendiang ibunya di belakang rumah, Diana masuk semula ke dalam rumah. Tekak terasa kering jadi kakinya melangkah ke dapur untuk meneguk jus tembikai yang dibuatnya tengahari tadi.

Nafas lega dihembus sebaik jus diteguk habis.

Nikmat!

Jam di dinding dikerling seketika.

6:45 pm.

Hari sudah hampir gelap namun Eddie masih belum pulang ke rumah. Seronok sangatlah tu jogging di luar sampai tak ingat isteri di rumah. Mentang-mentang orang-orang di sini tak kenal dia kan? Berani lah nak tunjuk muka.

Diana melabuhkan punggung di atas kerusi. Iphone dibuka.

Bibir Diana mengukir senyuman. Gambar-gambar yang ditangkap bersama Eddie sepanjang mereka di pekan siang tadi dilihat.

Diana tidak menyangka kehidupannya di bawa sejauh ini disebabkan oleh lelaki bernama Eddie. Diana juga tidak menyangka bahawa dia boleh menyayangi Eddie sedalam ini. Sungguh Diana rasa bahagia bersama lelaki itu.

Hati Diana hanya untuk Eddie. Itu pasti.

Bunyi kuakan pintu dari depan rumah mengalihkan perhatian Diana. Lehernya sengaja dipanjangkan untuk meninjau ke arah pintu walaupun kelibat pintu itu langsung tidak kelihatan.

Itu mesti Eddie.

Diana senyum lebar. Rindu pada suaminya sudah membuak. Kalau tahu Eddie keluar jogging sekejap pun boleh serindu ini, baik dia ikut sekali tadi.

Hmm, menyesalnya!

Baru saja Diana mahu mengangkat punggung untuk menyambut Eddie di ruangan depan, kelibat lelaki itu sudah muncul di ruangan dapur.

"Tengku..."

Namun panggilan Diana langsung tidak disahut.

Diana hairan.

Kecik sangat ke suara aku panggil dia tadi? Takkan tak perasan aku tengah duduk bertenggek dekat sini sambil pandang dia kut?

Dilihatnya Eddie berjalan ke arah peti ais. Botol air mineral dikeluarkan lalu berjalan ke arah sinki untuk menikmati air mineralnya di situ.

Diana mula mengangkat punggung dan berjalan mendekati Eddie di sinki.

Diana berdiri di sebelah Eddie sambil memandang lelaki itu yang masih meneguk air mineral di tangannya.

Minum air pun kacak. Dengan peluh-peluh lagi tu. Haih seksi nya!

"Tengku tadi jogging mana je?" soal Diana membuka bicara. Saja berbasa-basi.

Eddie hanya diam. Selesai meneguk habis air mineral tadi, Eddie berjalan semula ke arah peti ais. Jug berisi jus tembikai pula dikeluarkan.

Soalan Diana tadi langsung tidak dijawab membuatkan gadis itu terpinga-pinga.

Diana menggaru kepala.

Dah kenapa pula lah anak raja ni?

"Tengku."

Diana berjalan semula mengekori Eddie dan berdiri di sebelah lelaki itu lagi. Namun, kehadiran Diana langsung tidak dipedulikan. Seperti jasad Diana tidak wujud pun di dapur itu.

Puas menikmati air jus tembikai, Eddie bergerak semula ke sinki untuk meletakkan gelas yang sudah digunakan. Langkah kakinya dibuka untuk keluar dari dapur.

Diana mendengus kasar melihat perlakuan Eddie. Apa pula salahnya kali ini sampai Eddie menjadi dingin seperti ini lagi?

Diana paling tidak gemar dengan sikap Eddie yang satu ini. Tiba-tiba marah. Tiba-tiba diam. Tiba-tiba dingin. Mengalahkan hormon perempuan.

DIANA Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang