40|Rose

23.2K 1K 40
                                    

Diana cuba memejamkan mata untuk kesekian kalinya. Dia sedaya upaya melelapkan mata walhal baru saja tadi Diana tidur selama 3 jam di atas sofa ini.

Mungkin dengan cara ini saja Diana dapat mengurangkan interaksinya bersama Eddie. Rasa sakit hati masih berbekas di hati disebabkan panggilan dari Rachel pagi tadi.

Entah Eddie jawab atau tidak panggilan itu.
Ah, Diana malas mahu ambil kisah. Semakin dikenang nanti, semakin menyakitkan hati sendiri pula.

Namun, semua tindakan Diana selama ini pun memang sengaja mahu membuatkan jiwa sendiri terluka. Diana sendiri yang suka mencari penyakit dan akibatnya dia pula yang berendam dengan air mata.

Pertunangan Eddie dan Rachel. Itu semua atas kerelaan Diana sendiri yang meminta Eddie untuk meneruskan pertunangan mereka.

Panggilan Rachel pagi tadi. Diana sendiri yang sepertinya memaksa Eddie agar menjawab panggilan itu.

Tapi sekarang, kenapa dia pula yang bersedih? Sedangkan semua yang terjadi ini bukan kerelaan dari Eddie. Bukan lelaki itu. Tetapi dia yang mahu.

Sekali lagi, kelopak mata yang tertutup rapat itu hampir mengalirkan air mata.

Tuhan, aku sangkakan hati aku kuat untuk menghadapi semua ini. Tapi aku salah menilai hati sendiri.

Kejamkah aku sekiranya aku merasakan Eddie tidak layak untuk dimiliki oleh sesiapapun kecuali aku? Hanya aku yang berhak ke atas Eddie. Bukan Rachel. Bukan sesiapapun. Cuma aku.

Air mata Diana semakin laju mengalir.

Namun, semua itu hanya terjadi di dalam mimpi kau, Diana. Mimpi!

Kata-kata Raja Wilson dulu tiba-tiba membisik semula ke telinganya.

"Kamu mesti sentiasa sedar kedudukan kamu apabila kamu bersama Eddie. Terlalu jauh walaupun di dalam mimpi."

Ya. Dia sedar.

Tapi apabila bersama Eddie, mimpi Diana berubah menjadi indah. Terlalu indah untuk digambarkan.

Eddie lah kebahagiaannya.

Eddie lah syurganya.

Walaupun Diana sedar bahagia dan syurga itu hanya sementara.

"Sayang..."

Diana tiba-tiba tersentak dengan panggilan lembut itu. Terasa jari kasar Eddie membelai bahunya.

"Sayang." panggil Eddie lagi.

"Sayang tidur lagi?" bisik Eddie di telinga Diana.

Dilihatnya gadis itu tidak memberikan sebarang pergerakan atau reaksi. Mungkin Diana masih enak diulit mimpi.

Jam di dinding dikerling.

4:30 p.m.

Eddie mengeluh perlahan. Sisi wajah Diana dipandang sambil jarinya masih setia mengelus lembut bahu Diana. Sesekali leher dan bahu Diana yang terdedah  dikucup.

Kebisuan gadis itu sejak tengahari tadi serta bagaimana cara Diana berusaha untuk mengelak dari bertembung dengannya di dalam rumah ini membuatkan Eddie mengerti bahawa ketika ini Diana sedang berjauh hati dengannya.

Dia tahu itu.

Dan Eddie juga tahu apa yang sedang mengganggu fikiran Diana sekarang.

Pertunangan dia dan Rachel.

Eddie meraup wajahnya. Rambut hitamnya disisir ke belakang.

Bukan hati Diana saja yang terluka. Hatinya juga turut merasa benda yang sama.

DIANA Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang