37| D I A N A

19.1K 1K 94
                                    

Nafas berat dihembus sebelum tombol pintu dipulas. Sepanjang perjalanan Diana ke bilik Eddie, setiap langkahnya seakan-akan terlalu berat dan perlahan. Akal Diana seperti memaksa dirinya supaya tidak menemui Eddie buat masa ini namun hatinya berkata yang sebaliknya.

Rindu pada Eddie masih ada. Dan akan sentiasa untuk lelaki itu. Tetapi apabila terkenangkan semula pertunangan Eddie dan Rachel, hati Diana bagai disiat. Alangkah bagus sekiranya sakit yang Diana rasakan sekarang terkesan pada tubuhnya dan bukan pada hati kerana itu lebih memeritkan.

Perlahan tangan Diana memulas tombol pintu tanpa meminta kebenaran si empunya bilik. Sebaik kakinya melangkah masuk, ruangan bilik tidur Eddie kelihatan kosong tanpa kelibat lelaki itu.

Diana meneruskan lagi langkahnya ke bilik bacaan untuk mencari Eddie. Namun apabila dia melintasi jendela besar bilik itu, Diana terlihat susuk tubuh Eddie yang sedang berdiri di balkoni.

Sekali lagi Diana menghamburkan nafas berat sebelum kakinya menghampiri Eddie. Setelah jaraknya dengan Eddie hampir dekat, Diana berhenti melangkah.

Diana pejamkan mata mencari kekuatan sebelum membuka mulut.

"Tengku..." panggilnya perlahan.

Eddie sedikit tersentak dengan panggilan itu. Mungkin terlalu jauh lamunannya sehingga tidak menyedari kedatangan Diana di situ.

"Ada apa Tengku panggil saya? Tengku nak apa-apa tak? Saya boleh buatkan untuk Tengku sekarang." beritahu Diana.

Suaranya cuba dilontar semesra yang boleh seakan tidak ada apa-apa yang berlaku.

Eddie hanya diam tanpa respons. Posisinya juga langsung tidak berganjak mahu menghadap Diana ke belakang.

1 minit.

2 minit.

Eddie masih senyap seperti tadi. Satu dengusan halus kedengaran di mulut Diana.

"Kalau Tengku nak apa-apa panggil saya dekat bilik air ya? Saya nak kumpul baju kotor Tengku." tutur Diana lagi.

Dia juga baru teringat akan tugasnya yang satu itu belum selesai dikerjakan. Mungkin Eddie juga perlu masa untuk membuka bicara.

"Diana..."

Langkah Diana terus mati.

Perlahan Eddie datang menghampiri Diana. Gadis itu hanya kaku menunggu Eddie yang semakin mendekatinya.

Suasana menjadi sepi seketika.

Hati Diana dihambat sedih setelah terlihat mata Eddie yang kian membengkak apabila lelaki itu berdiri dekat di hadapannya.

Eddie juga turut menangis.

Sebegitu sakitkah perasaan Eddie saat ini?

"Diana..."

Tangan Diana diraih lalu dibawa ke bibirnya.

"Aku minta maa-..."

"Tengku." pintas Diana pantas.

"Saya dah dengar semuanya. Tengku tak perlu jelaskan apa-apa lagi pada saya." Diana cuba menahan air matanya dari mengalir lagi.

Namun melihat saja air mata Eddie saat ini membuat Diana tidak berdaya untuk cuba kuat.

"I rather die 18 years ago than seeing my love one hurt because of me." Eddie tunduk. Butir air matanya jatuh.

Air mata Eddie terlalu mahal untuk orang lain kecuali untuk bidadarinya ini. Jika tentang Diana yang boleh membuatkan Eddie menjadi sedih begini, dia sanggup menangis sehingga buta.

DIANA Where stories live. Discover now