FLASHBACK
Halwa memegang beg hitam yang berisikan pakaiannya. Dia berumur 13 tahun tika ini. Riak kecewa terpapar jelas pada wajah Halwa. Dia mahu dipindahkan ke sekolah berasrama penuh di bandar, jauh daripada keluarga di Kampung Sinar Cahaya.
"Halwa tak sedia nak ke sana. Halwa tak nak tinggalkan mama dengan papa dekat sini," luah Halwa. Selama tiga belas tahun dia duduk dalam jagaan orang tuanya, tapi kali ini berpisah? Manalah dia mahu. Siapa pun konfem tak akan mahu.
Puan Ajiata mendekati anak perempuannya. Ajiata adalah nama mama Halwa. Tangan kecil Halwa ditarik naik ke dalam genggaman.
"Mama tahu Halwa takut. Tapi Halwa tak boleh nak terus duduk dengan mama dengan papa. Kalau Halwa tak pergi sekarang, tentu Halwa akan pergi juga satu hari nanti."
Halwa mendengus.
"Tapi mama... Halwa tak pernah pergi jauh-jauh. Kalau apa-apa jadi dengan Halwa macam mana? Siapa nak lindung Halwa nanti?" bertubi soalan diaju. Dia memang tidak sanggup untuk berpisah.
Senyum kecil dilarik pada bibir Puan Ajiata.
"Anak mama kan anak yang kuat. Tak rugi kalau Halwa pergi ke bandar sana untuk tuntut ilmu." Puan Ajiata memujuk lagi anaknya.
"Tapi..."
"Janganlah nak sedih-sedih. Papa hantarkan kamu ke sekolah sana sebab papa nak kamu belajar untuk berdikari. Halwa kena biasakan diri untuk hidup tanpa ada papa dengan mama." Encik Hafifi memintas omongan Halwa.
Halwa menoleh kepada papa yang baru melabuh punggung di sofa. Tampak makin sedih wajah Halwa yang mendengar. Dia sekali pun tak pernah terfikir untuk jauh daripada mereka. Tidak pernah.
Puan Ajiata tahu apa perasaan Halwa. Tentu sukar untuk melepaskan tangan yang selama ini Halwa pegang. Apatah lagi hendak pergi jauh daripada tempat yang Halwa sudah lama duduki. Mustahil. Namun segala ini bukan untuk memenuhi kehendak hati tua mereka semata, tetapi demi masa hadapan Halwa.
Encik Hafifi menghantarkan Halwa ke sekolah berasrama kerana mahukan Halwa belajar untuk hidup tanpa adanya mereka di sisi. Walau kata tolak yang sering dikeluarkan Halwa. Dia berkeras mahu hantar juga Halwa pergi.
Demi kesenangan hidup Halwa di masa akan datang, pengorbanan itu haruslah di lakukan. Bagi orang tua seperti Encik Hafifi dan Puan Ajiata, mereka hanya mahukan yang terbaik buat si anak.
"Papa dengan mama tak suka ke dengan Halwa?" soalan itu tiba-tiba keluar tika di suasana yang hening. Pantas saja kepala Encik Hafifi tertoleh pada Halwa.
"Kenapa kena hantar belajar jauh-jauh semata-mata untuk suruh Halwa berdikari? Halwa ni tak penting ke dekat mata mama dengan papa? Kenapa?" soalan diaju oleh Halwa sembari air mata merembes keluar dari tubir mata.
"Halwa... janganlah cakap macamtu. Mama dengan papa tak pernah tak sayangkan Halwa. Kami buat semua ni untuk Halwa." Puan Ajiata cuba menenangkan Halwa.
Halwa menepis tangan mamanya.
"Halwa tak suka dengan semua ni. Halwa tak nak berpisah! Halwa tak suka dengan berpisah!" ucap Halwa. Air mata deras mengalir keluar membasahi pipi Halwa.
Puan Ajiata memandang ke arah sang suami. Mereka bukan berniat mahu membuatkan Halwa sebegini. Salahkah jika mereka menghantar anak mereka belajar ke tempat jauh untuk masa hadapan yang lebih cerah? Katakan, dari mana salahnya.
Encik Hafifi bangun dari duduk. Dia berjalan mendekati Halwa. Kemudian, dia duduk mencangkung di hadapan Halwa. Halwa hanya menunduk kepala, dia tak sanggup melihat ke arah papa.
"Jangan nangis Halwa. Papa tak suka kamu menangis," ucap Encik Hafifi penuh syahdu. "Papa hantar Halwa ke sekolah tu sebab dekat sana Halwa akan belajar banyak benda. Papa dengan mama buat semua ni bukan untuk kepentingan diri tapi untuk masa depan Halwa. Kalau Halwa tak belajar, Halwa tak akan dapat tentukan masa depan Halwa macam mana," sambung Encik Hafifi.
Halwa hanya diam. Esakan terus diteruskan.
"Belajar berdikari, belajar hidup, belajar untuk kenal dunia dengan lebih luas. Itu adalah sebab kenapa papa dengan mama buat keputusan untuk sekolahkan kamu ke bandar. Percayalah, apa yang ibu bapa buat semuanya untuk kepentingan anak." panjang lebar Encik Hafifi berhujah.
"Papa dengan mama janji dengan Halwa. Lepas saja Halwa selesai belajar, kami akan jemput Halwa balik semula. Boleh?" sambung Encik Hafifi.
Halwa menyedut hingus. Dia mengangkat muka memandang papanya di hadapan.
"Betul papa akan ambil Halwa?" soal Halwa.
"Betul..." jawab Encik Hafifi. Dia tidak sekadar omong kosong dalam perkataannya. Dia serius.
"Baiklah... Halwa setuju!" ucap Halwa. Demi membahagiakan hati orang tuanya, dia bersetuju. Walaupun dengan hati yang berat, Halwa tetap juga pergi.
Mengingatkan hal tersebut, Halwa terkenang akan pemergian ibu bapanya yang sudah lima tahun itu. Selama ini Halwa terleka dengan dunia belajar, sehingga tidak sedar jikalau nyawa papa dan mamanya sudah tergadai dalam kemalangan.
Halwa membiarkan air matanya perlahan turun ke pipi. Merasa bersalah? Tentu saja. Halwa bagaikan hilang tujuan setelah mendengar khabar kematian sampai ke pendengaran. Apalah hidup dia sudah tanpa kedua orang tua?
Halwa hampir saja membuat hal gila namun Vanessa sentiasa ada untuk memberi semangat. Keadaan mereka tidak jauh berbeda. Vanessa ditinggalkan oleh ayahnya, lalu ibunya pula meninggal dunia. Sekarang hanya tinggal Vivian yang menyalur kekuatan pada Vanessa.
Halwa menghembus nafas panjang. Sudahlah. Tak ada guna terus dikenang orang yang sudah pergi. Dia harus reda dengan ketentuan Ilahi.
...bersambung
YOU ARE READING
SUGARDADDY ✅️
Romance[ 12 | COMPLETE ROMANCE - action ] *unedited* ◼️ S U G A R D A D D Y ◼️ DAVANO EZANDER Dia CEO, berwajah datar, bersifat pendiam, penuh misteri. "I will give everything you want." HALWA AFRINA Dia si nerdy, ulat buku, terobsesi dengan dunia novel...