20 tahun kemudian
BUNYI barang dikeluarkan daripada lori yang diparkir di sebelah rumah menarik perhatian Khaliq yang sedang menyiram pokok-pokok bunga di taman mini rumah keluarganya itu. Dia cuba menjenguk aktiviti pengeluaran segala barang melalui celahan dinding batu yang memisahkan rumahnya dengan rumah sebelah.
Sudah hampir lima tahun rumah sebelah kiri ini kosong tanpa penghuni semenjak ia dijual. Daripada perbualan Mama dan Papa sebelum ini, Khaliq dapat tahu bahawa pemilik asal rumah sebelah ini mempunyai tanah di kampung mereka dan membuat keputusan untuk pulang ke sana dan menjual rumah mereka di sini.
Pada Khaliq, agak membazir kerana tidak semestinya hidup di kampung itu berbaloi daripada di bandar. Sedangkan bandar pun sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup, bayangkan keadaan di kampung.
“Orang baru pindah ke?” Suara garau Ash mematikan lamunannya. Khaliq menutup pili air di tepi pagar seraya menyangkut paip di tangan pada tempatnya.
“Ya kot.” Jawabnya.
Dia mengerling Papanya sekilas. Walaupun umurnya sudah mencecah lima puluh enam tahun, tubuh badannya masih lagi tegap. Kalau Khaliq, mungkin perut sudah ke depan pada umur sebegitu. Tapi itulah Papanya. Seorang yang cerdas. Semasa meningkat dewasa, selalulah juga dia dan abangnya, Khalif diheret oleh Papanya itu untuk berjoging satu taman ini. Serik apabila memikirkannya semula.
“Assalamualaikum!” Ash melaung ke rumah sebelah. Salah seorang yang mengalih barang ke dalam rumah menyambut salamnya. Kemudian, bermulalah perbualan mereka. Entah apa mereka borakkan pun Khaliq tidak tahu.
Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Itulah Papanya, Yusran Ayyash atau lebih mesra dipanggil Ash oleh Mamanya, Khadija Adra. Terlebih peramah orangnya. Sangat berbeza dengan Mamanya dan dirinya. Mungkin sebab itulah dia lebih rapat dengan Mama berbanding Papa.
Khaliq menarik nafas panjang dan membuat keputusan untuk masuk ke dalam rumah. Tetapi, panggilan daripada Ash mematikan langkahnya. Nak tak nak, dia melangkah menghampiri Ash yang masih rancak berbual dengan orang sebelah.
“Ha, ini anak kedua saya. Dia ada abang kembar tapi yang itu tengah belajar kat luar negara. Khalif namanya. Ini Khaliq.” Selamba sahaja Papa mengenalkan dia dengan lelaki yang seperti sama umur dengan Papanya itu.
Khaliq menghulurkan tangan untuk bersalaman. “Apa khabar, pakcik?”
“Alhamdulillah, sihat. Nama pakcik, Hanif. Senang hati sebab dapat jiran baik dan peramah macam korang ni. Jiran lama, haih. Payah.”
“Ya? Kenapa pulak?”
Hah, sudah. Mulalah tu, nak bergosip. Cepat-cepat Khaliq meminta diri. Masuk sahaja ke dalam rumah, bertembung mata pula dengan Khadija yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.
“Mama, Papa dah mula tu.” Ujarnya.
Khadija menghembus nafas panjang. Tidak lama selepas itu, dia bangun dari duduknya dan melangkah menghampiri Khaliq.
“Ada jiran baru masuk ke?” Soalnya.
Khaliq angguk sebagai jawapan. Kemudian, kedengaran Mamanya menghela nafas berat.
“Haish, Ash ni. Kalau nak tolong tak apa juga, ini dia kacau orang tu mengemas pulak.” Dengan bebelan, Mamanya mencapai tudung sarung di belakang pintu dan terus melangkah keluar.
Khaliq hanya mampu menggeleng kepalanya perlahan. Macam-macam.
PETANG itu, Khaliq keluar sekali lagi. Tetapi kali ini untuk mengambil surat di dalam peti di sebelah pagar. Inilah rutin hariannya beberapa hari ini. Sepatutnya dia sedang bekerja sekarang, tetapi kerana silap sedikit, dia digantung kerja. Untungnya, dia bekerja di syarikat Ash. Tiada siapa boleh memecatnya selain daripada Yusran Ayyash, CEO syarikat itu merangkap Papanya.
Tetapi, bernanah lah juga telinga ketika dia dimarahi atas kecuaiannya itu. Biarlah ia menjadi rahsia sepanjang kehidupannya. Buat malu saja. Khalif yang sering dia beritahu tentang hidupnya itu pun tidak tahu tentang apa yang terjadi. Hanya Mama dan Papa saja yang tahu.
Sedang Khaliq meneliti surat-surat di tangan, terdengar suara memberi salam daripada luar. Khaliq mengangkat kepala dan matanya beradu dengan sepasang mata di luar pagar rumah.
“Waalaikumussalam…” Jawabnya seraya melangkah menghampiri pemberi salam itu.
“Nak apa ya?” Soalnya.
“Oh, nama saya Melur. Saya jiran awak sebelah ni.” Wanita bertudung sarung bercorak bunga itu menuding ke arah rumah di sebelah kiri.
“Anak pakcik Hanif?”
Melur mengangguk laju. “Esok kami ada buat housewarming. Datanglah, kalau tak keberatan.” Ujarnya dengan senyuman yang lebar.
“Okey. Terima kasih jemput.” Khaliq angguk sedikit, kemudian mula berlalu pergi.
Melur di luar pagar, dibiarkan terpinga-pinga.
“Eh, kejap! Ni, terjatuh.”
Langkah Khaliq mati dan dia melihat surat-surat di tangannya. Kemudian, dia memalingkan pandangan ke arah Melur. Ada satu surat di tangannya.
“Terima kasih.” Ucapnya sebaik sahaja surat itu bertukar tangan.
“Em, awak tengah buat apa tadi?” Soal Melur sekadar percubaan untuk berbahasa.
Khaliq diam tidak berkutik. Matanya lama memerhati wanita itu.
“... Basuh pinggan.” Khaliq menjawab dengan riak muka serius.
Melur memandangnya pelik. “Basuh… pinggan?”
Khaliq mengangguk selamba. Nak percaya, percayalah. Tak nak percaya, tak perlu percaya.
Sepasang mata milik wanita itu meneliti perkarangan rumah keluarganya dan kemudian, kembali pada Khaliq.
“Err… awak biar betul?”
“Tak.”
“Hah?”
“Saya bergurau. Saya minta diri dulu. Jumpa esok.” Mendatar sahaja suara Khaliq.
Dia berlalu meninggalkan Melur yang masih tercengang di luar rumah mereka.
Khaliq teringat kisah pertemuan kedua orang tuanya yang mereka ceritakan kepada mereka adik-beradik sebelum ini. Menurut kata Papanya, jawapan yang tidak masuk akal adalah pilihan nombor satunya untuk mengetahui personaliti seseorang.
Tetapi, bagi Khaliq, dia menggunakan cara itu untuk menamatkan perbualan yang tidak diundang.
Melihatkan wajah wanita bernama Melur itu, nampaknya ia berkesan. Khaliq senyum kemenangan.
TAMAT
ANDA SEDANG MEMBACA
MR. ASH SEBELAH RUMAH
RomanceAnak bongsu Pakcik Yusuf sebelah rumah sudah lama berada di luar negara dan baru ini dia akhirnya pulang ke Malaysia. Sekarang ini dia tinggal bersama ibu bapa dia, jiran sebelah kami sekeluarga. Tak kuasa lah pula aku nak korek cerita disebalik kep...
