INILAH Malaysia. Negaraku yang tercinta! Hatiku berlagu ria saat ini. Suasana di balai ketibaan Kuala Lumpur International Airport kelihatan sedikit sesak. Pastinya mereka yang ramai-ramai ini adalah ahli keluarga, saudara-mara atau rakan taulan penumpang-penumpang yang naik satu pesawat denganku tadi.
Anak mata liar memerhati ke arah sekeliling. Alhamdulillah, nampaknya kelibat Encik Faris tidak ada saat ini. Dalam hati puas aku berdoa agar kami tidak menaiki pesawat yang sama untuk kembali ke Pulau Pinang nanti. Tangan kananku lincah membuka zip beg. Telefon bimbit kukeluarkan dan aku mula melangkah dengan perlahan saat ini. Kalaulah Encik Faris tahu aku ada nombor Malaysia, memang 'masak' la aku!
Nafas kutarik dalam-dalam. Tak sabar rasanya nak menelefon kak long. Tidaklah dia risau nanti. Nombor kak long kudail dan aku melekapkan telefon bimbit rapat ke telinga kanan.
"Assalamualaikum, kak long. I'm back!" Aku memulakan bicara bersama tawa kecil. Lupa seketika tentang manusia-manusia pelik yang berkongsi ruang dengan aku di atas awan tadi.
"Waalaikumussalam. Bella! Alhamdulillah, leganya hati kak long bila tahu Bella dah selamat sampai." Riuh suara kak long berbicara di hujung talian. Rindunya!
"Kak long ni risau sangatlah!"
Kedengaran tawa kak long di hujung talian.
"Bukan kak long aje yang risau tau. Umi kat tanah suci pun ada mesej kak long bertanya pasal kepulangan Bella ni."
"Kak long tolong inform umi ye. Bella takde nombor umi di sana."
Rindunya aku pada ibuku yang kupanggil umi itu. Umi bersama pak su dan mak su sedang mengerjakan umrah di tanah suci ketika ini.
"Insya-Allah, kejap lagi kak long mesej umi."
Jawapan kak long membuatkan aku tersenyum senang. "Thank you, long!"
"Pukul berapa flight balik Penang nanti?" soal kak long.
Aku mengerutkan dahi. Pertanyaan kak long tidak dapat kuproses dengan baik apabila ternampak kelibat seseorang di hadapan mataku. Langkah yang sedang menuju ke arah balai berlepas domestik kini terhenti seketika.
"Bella! Bella dengar tak ni?"
Berdesing telingaku saat ini. Astaghfirullahalazim!
"Ye, kak long. Line tak clear la tadi. Sorry." Aku membuat helah. Dahi kutampar lembut. Ya Allah, asyik betul tengok dia sampai aku terlupa kak long di hujung talian. This is not good Bella! Not good at all. Aku mengingatkan diriku.
"Pukul berapa flight Bella balik Penang nanti?"
"Oh... pukul enam dua puluh petang. Lagi sejam lebih, kak long. Dalam pukul tujuh sepuluh malam nanti Bella sampai Penang. Insya-Allah."
Dari sini dapat kulihat lelaki Korea yang gengster lagi psiko itu dengan jelas. Dengan pantas aku menyembunyikan diri di sebalik dinding. Dapat kulihat beberapa orang lelaki terkocoh-kocoh menyambut ketibaannya. Salah seorang daripada mereka mengambil bagasi dari tangannya dan seorang lagi membawa kot serta briefcase lelaki itu.
"Baguslah tu. Maaf sangat kak long tak dapat ambil Bella nanti. Banyak betullah perkara yang kak long kena uruskan."
Telinga memanglah mendengar bicara kak long, tetapi anak mataku tunak memandang satu-satunya lelaki yang berani mencengkam lenganku di atas pesawat tadi.
"Takpe. Bella boleh aje naik teksi nanti."
Entah kenapa aku mengekori lelaki itu. Kalaulah kak long tahu apa yang sedang aku lakukan ini, pasti aku akan diberikan tazkirah olehnya.
Aku berhenti melangkah apabila sampai betul-betul di hadapan pintu keluar. Dari dalam bangunan ini, dapat kulihat sebuah kereta Jaguar berwarna hitam sudah tersedia menanti ketibaannya. Kelam-kabut lelaki berusia lima puluhan yang sudah siap menunggu di hadapan kereta membukakan pintu untuk lelaki tersebut.
"Amacam? Seronok naik business class?"
Anak mata yang baru sahaja hendak kularikan kini kaku memandang ke arahnya apabila kulihat dengan tiba-tiba dia memandang ke arahku untuk seketika. Kelam-kabut aku menyembunyikan diri di sebalik dinding. "Alamak! Dia nampak ke tak, eh?"
"Bella! Kau ni kenapa? Lain yang kak long tanya, lain yang kamu jawab!" Sergah kak long di hujung talian.
Automatik aku menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Kalau sepuluh kali begini, mahu pecah gegendang telinga aku. "Sorry. Line tak clear, kak long."
Itu aje alasan yang kau ada Bella!
"Seronok tak naik business class?"
Soalan kak long membuatkan aku mencebikkan bibir. Seronok? Sempat lagi aku bertanya pada diri sendiri. Sampai begini jadinya. Seronokkah? Aku menjenguk sedikit untuk memandang ke arah lelaki itu. "Errr... bolehlah. Tapi, Bella lebih sesuai terbang dengan economy class aje. No more business class next time."
Kalaulah kak long tahu apa yang telah terjadi.
Dari sini dapat kulihat lelaki itu sedang mengenakan kaca mata hitam pada wajahnya. Kemudian, dia terus masuk ke dalam kereta.
"Lain macam aje jawapan kamu tu, Bella. By the way, Bella dah dapat upah... kan? Jangan lupa tolong kak long nanti."
Aku membiarkan kak long berbicara sambil melihat kereta Jaguar hitam itu berlalu pergi.
"Setakat nak gosok baju kak long, masak dan kemas rumah tu apalah sangat."
Ha... sekarang baru boleh fokus bersembang dengan kak long!
"Bukan kerja-kerja tu, Bella. Kerja ni lain sikit. Errr... takpelah. Nanti Bella sampai Penang kita cerita panjang ye. Assalamualaikum."
Kerja ni lain sikit? Kerja apa agaknya? Isy... lain macam aje bunyinya tu. Aku membetulkan shawl di kepala. "Emmm... kak long..."
Niat di hati untuk bertanya dengan lebih lanjut terbantut apabila aku terlihat kelibat Encik Faris. "Takpelah, kak long. Nanti kita sembang panjang-panjang ye. Waalaikumussalam."
Terus talian aku matikan. Mesti kak long pelik dengan gelagatku saat ini. Maaflah kak long... sejak naik penerbangan business class tadi, mereng terus kepala adikmu ini.
Kelam-kabut aku menyembunyikan diri daripada Encik Faris. Janganlah dia nampak aku di sini.
Tolonglah jangan!
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...