Bab 21

3K 28 0
                                    

SEMUANYA sudah berakhir. It's over! Bolehlah lelaki itu hidup dengan aman sebelum kemunculan aku dalam hidupnya.

Sambil berbaring, mata kuhalakan ke arah siling. Kata kak long, lelaki itu mengambil masa selama beberapa bulan untuk menerima kenyataan yang arwah kak ngah telah tiada. Selama itulah keadaannya tidak terurus langsung. Kak long pun dengar cerita daripada mak su.

Entah kenapa ada rasa sayu bertandang di hati. Arwah kak ngah pergi menghadap Ilahi disebabkan kemalangan jalan raya kira-kira dua tahun lepas. Dia dilanggar kereta semasa melintas jalan dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat cedera parah di bahagian kepala. Masa tu, aku berada di tahun pertama pengajian di Seoul National University, Korea Selatan dan tidak dapat balik kerana sedang berperang dengan peperiksaan akhir.

Kak ngah... Bella rindukan kak ngah.

Tidak pernah aku sangka lelaki yang aku langgar di lapangan terbang, lelaki yang bertekak denganku di atas pesawat dan bos kak long yang katanya tidak selera untuk makan tanpa kimchi itu adalah seseorang yang istimewa dalam hidup arwah kak ngah.

Nanti! Sebut pasal kimchi, baik aku sendukkan ke dalam bekas kimchi yang hendak dibawa balik ke kampung esok sebelum terlupa. Lagipun, umi dah lama balik ke kampung selepas duduk sekejap di rumah kak long setelah balik dari mengerjakan umrah lalu.

Daripada berbaring, aku terus bangun. Langkah kaki kuatur kemas ke dapur. Bekas besar yang berisi kimchi kukeluarkan dari dalam peti sejuk. Tidak sangka tugasan yang diberikan oleh kak long sudah pun kuselesaikan dengan jayanya.

Selepas ini, aku hanya mahu menyepikan diri di kampung buat seketika. Aku tidak mahu lagi terlibat dengan lelaki itu. Aku tidak mahu berjumpa lagi dengannya waima dalam mimpi. Pendek kata, kalau boleh sampai bila-bila aku tidak mahu lagi bertentangan mata dengannya.

Bekas berisi kimchi kuletakkan di atas meja. Dengan cermat aku membuka penutup. Aku menggeleng laju sebaik sahaja mataku melekat pada isi di dalam bekas ini. Ini semua kak long punya pasal! Sudah kubilang kubis dan bahan-bahan lain yang dibelinya hari itu terlalu banyak untuk tiga puluh orang makan, namun tidak diendahkannya.

Aku pulak sebab tidak mahu bercakar dengan kak long, hanya ikutkan sahaja kehendaknya. Hasilnya, kimchi yang sepatutnya kubuat untuk tiga puluh orang makan bertukar menjadi untuk enam puluh orang makan! Setelah dibawa ke pejabat, masih ada baki untuk tiga puluh orang makan lagi ni. Nasib baiklah kimchi tahan lama.

Aku melangkah ke arah kabinet. Bekas aiskrim berwarna putih yang telah pun kosong kukeluarkan dan aku basuh sekali lagi. Setelah mengelap sehingga kering, aku membawanya ke meja. Senduk yang berada di atas meja kucapai dan aku mula menyenduk kimchi ke dalam bekas aiskrim itu. Maklumlah, esok aku dan kak long nak balik kampung. Bolehlah aku berikan kimchi ini kepada umi, mak su dan pak su nanti.

Tengok! Selepas disenduk untuk mereka pun masih banyak lagi baki kimchi yang ada. Tidak apalah Bella. Sedekahkan aje pada kawan-kawan kak long nanti. Lagipun, mereka puji kimchi yang aku buat ni sedap rasanya. Ha ha ha! Bangga sekejap.

Setelah menutup kedua-dua bekas, aku memasukkannya ke dalam peti sejuk semula. Kemudian, aku terus berlari naik ke atas.

"Balik kampung... oh, oh, oh, balik kampung. Oh, oh, oh, balik kampung... hati girang!"

Terlepas tawa kecil daripada bibir sebaik sahaja suara sumbang kak long menampar gegendang telinga. Nyanyian lagu Balik Kampung itu bukan setakat lari pitching tapi... habis jahanam ritmanya!

"Terbayang wajah-wajah yang kusayang... satu-satu tersemat di kalbu... pasti terubat rindu di hati... menyambut kepulanganku nanti!"

Ya ampun! Kuatnya anak dara sorang ni menyanyi. Tiba-tiba datang idea nakal. Perlahan-lahan aku melangkah ke bilik kak long. Tak tutup pintu pulak tu. Aku tersengih melihat kak long sedang duduk di atas lantai sambil khusyuk memasukkan baju ke dalam bagasi. Terus aku meluru masuk dan menolak lembut badannya dari belakang. "Kak long!"

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now