INI muzium kereta mewah ke... basement? Ruang basement yang luas ini menempatkan pelbagai jenis kereta mewah. Agak-agaknya, berapa yang mereka bayar untuk tinggal di tempat yang super mewah ni?
"Bella!"
Serta-merta aku menuju ke arah belakang kereta, memerhatikan kak long membuka bonet kereta Honda City putih miliknya.
"Kita tengokkan apa yang patut, lepas tu kita pergi makan. Then kak long drop Bella balik rumah," beritahu kak long.
Aku terus menganggukkan kepala. Memang perutku dah mula lapar ni.
"Mei Lian ada bawak dua orang tukang cuci. Diorang yang buat kerja. Kita tengokkan aje," tambah kak long.
Aku mengangguk lagi. "Oh..."
Sekeping sampul bersaiz A4 dikeluarkan oleh kak long dari dalam bonet kereta. Baru sahaja kak long ingin menutup bonet kereta, terus aku bersuara. "Nanti, nanti, nanti!"
Kak long buat muka pelik. "Kenapa?"
Sah kak long lupa terus kubis-kubis yang bergolek di dalam beg plastik TESCO itu.
"Kak long rasa lama tak nanti kita kat atas tu?" soalku.
"Hmmm... tak pasti sebab kita tak tahu keadaan dalam rumah tu sekarang. Macam tongkang pecah ke... macam lori sampah terbalik ke..." tawa kak long.
Eh, main-main pulak! Aku senyum aje melihat muka lucu kak long.
"Kondo bos kak long tu fully furnished ye?" soalku lagi untuk kepastian.
"Ye. Kenapa?"
"Senanglah kalau macam tu."
Dengan selamba aku mencapai satu beg plastik TESCO berisi kubis yang terdampar di dalam bonet. Ada dua plastik lagi berisi sayur yang sama perlu kukeluarkan sebentar lagi.
"Eh... eh. Kenapa Bella usung keluar plastik kubis tu?"
Aku tak salahkan kak long yang tak sensitif tentang kubis-kubis ini kerana aku tahu dia juga sedang kusut memikirkan keadaan di dalam unit kondo yang akan dihuni oleh bosnya itu.
"Kita kena pinjam peti sejuk bos kak long. Kalau tak, layu nanti kubis-kubis ni," terangku.
"Oh... ingatkan apa tadi. Takde hal la. Nak balik nanti kita bawak balik sekali la. Bella bawak satu plastik tu aje dan tolong pegangkan sampul ni untuk kak long. Ada pass masuk, kunci dan macam-macam lagi dalam ni. Lagi dua plastik tu biar kak long aje yang bawak kejap lagi."
"Okey!" Sampul di tangan kak long kucapai. Entah kenapa aku rasa tak sedap hati pula. "Emmm... takpe, kan kita pinjam peti sejuk dia kejap?"
"Takpe. Malam nanti baru dia sampai," jawab kak long.
Ala Bella... pinjam peti sejuk aje pun. Aku cuba menyedapkan hati. Anggaplah masalah telah selesai. "Okey!"
Aku melarikan pandangan ke kawasan sekitar. Memang aku tidak berminat dengan kereta mewah. Tapi ini kali, lain pula jadinya. Mataku melekat pada sebuah Lamborghini berwarna kuning. Sambil tersengih aku menjeling ke arah kak long yang sibuk mencari sesuatu di dalam bonet kereta.
Kak long yang kalut kutinggalkan di situ. Mataku memerhati ruang basement yang sunyi ini. Line clear! Bersama beg plastik TESCO yang kemas tergenggam di tangan kiri, aku melangkah ke arah kereta tersebut. Sampul di tangan kanan kumasukkan ke dalam beg plastik TESCO dan aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Telefon bimbit kuangkat tinggi di hadapan wajah. Jom kita selfie dulu dengan Lamborghini ni sekeping!
Mata yang sedang memerhati gambar yang baru aku ambil pada skrin telefon bimbit terus kupejam rapat apabila terdengar suara orang berdeham. Alamak! Pemilik kereta ni datang ke? Dengan pantas aku mencampakkan telefon bimbit ke dalam beg plastik berisi kubis.
"You have such a good taste, beautiful lady."
Dengan cemas, aku menoleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki sedang tersenyum memerhatiku. Handsome weh!
"Emmm... I'm sorry..." gumamku perlahan.
Lelaki itu melangkah ke arahku. Badan disandarkan pada dinding kereta yang bersih berkilat. Sah, dia pemilik kereta ni. Ergh!
"Kenapa minta maaf? You committed no crime."
Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Anak matanya menjelajah ke serata wajahku membuatkan aku berasa tidak selesa. Lain betul cara dia pandang aku. Cepat-cepat aku melarikan anak mata ke arah kak long. Alamak! Kak long tengah tengok aku la! Okey, aku lagi tak selesa.
"I have to go." Aku berundur setapak ke belakang. Baru sahaja ingin berpaling pergi, lelaki itu bersuara lagi.
"Are you staying here?"
"No," balasku pendek sambil menggelengkan kepala.
"Visitting friends?" soalnya penuh minat bersama senyuman di bibir.
Belum sempat aku menjawab, dia bertanya lagi.
"Or... family perhaps?" Kedua-dua keningnya terjongket ke atas.
Peramah pulak mamat ni. Tak macam lelaki Korea atas kapal terbang hari tu. Eh, kenapa dengan otak aku ni? Tiba-tiba pula fikir benda yang tak sepatutnya aku fikir.
"Nope, nope!" Aku menggeleng lagi.
Kak long tiba-tiba datang bersama dua plastik kubis di tangannya. Wah... gagah betul kak long! Dua plastik dijinjingnya dengan tangan kiri dan tangan kanannya melingkar di bahuku.
Lelaki itu kulihat melarikan anak mata ke arah kak long pula. Senyuman manis dilemparkan membuatkan kak long mengerutkan wajahnya.
"Who is this guy?" bisik kak long di telingaku. Ada nada kurang senang dalam soalan itu. Kak long memang sentiasa berprasangka buruk terhadap lelaki.
Pertanyaan kak long tidak kujawab. Terus sahaja aku bersuara. "I have to go. Bye."
Tanpa menunggu balasan lelaki itu, kami berdua terus menuju ke arah lif yang terletak di bahagian kanan kami.
"Siapa tu, Bella?" Sekali lagi kak long menyoal.
"Entah! Tiba-tiba aje dia ada kat situ," jawabku dengan selamba.
"Sampul tadi mana?" Tanya kak long.
Aku mengeluarkan sampul dari dalam beg plastik berisi kubis ini dan kuberikan kepada kak long.
Kak long mengeluarkan sekeping kad berwarna putih dari dalam sampul tersebut sebelum melangkah masuk ke dalam lif.
Aku ikut kak long masuk ke dalam lif.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomansaInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...