Bab 44

4.7K 29 0
                                    

APA agaknya isi di dalam kotak ini? Itulah persoalan yang berlegar-legar di mindaku sepanjang perjalanan pulang dari bertemu omma.

Sampai sahaja ke apartmen, aku terus masuk ke dalam bilik walaupun ada la juga rasa tergoda dengan pelawaan Aini dan Miza untuk menjamah odeng di ruang tamu kecil kami tu. Odeng adalah kek ikan yang dicucuk dengan lidi. Nak lagi best, cecah dengan sos cili Thai.

Omma meminta aku untuk membantunya di Hanok Village Jumaat ini. Mujigae Kimchi World telah dijemput untuk memeriahkan lagi Traditional Culture Experience Program yang akan berlangsung selama beberapa hari di situ. Pelbagai gerai akan dibuka di situ. Ada gerai berkenaan hanbok, iaitu pakaian trasional Korea dan gerai berkenaan muzik-muzik tradisional Korea. Siap dengan persembahan kebudayaan lagi. Kata omma, ada juga gerai berkenaan dengan majlis perkahwinan tradisional Korea. Gerai tentang ginseng dan makanan-makanan tradisional Korea pun ada. Pendek kata, macam-macam ada!

Omma akan membuka gerai untuk menunjukkan cara-cara membuat kimchi. Pelancong dan pengunjung juga berpeluang untuk cuba membuat kimchi dan juga merasa sendiri pelbagai jenis kimchi yang dibawakan omma khas dari kilangnya. Kerana kekurangan staf, omma meminta aku membantunya nanti.

Bukan main seronok dan berseri-seri lagi wajah wanita itu apabila aku bersetuju untuk membantunya. Omma dah banyak bantu aku. Dia pernah menumpangkan aku secara percuma di kondominium mewahnya dan dia juga pernah memberi aku peluang untuk dapatkan duit dengan bekerja di Mujigae Kimchi World. Sudahlah tu, gaji yang dibayarnya pula tak masuk akal langsung! Banyak! Lagipun, dia tu dah dikira macam mak mentua aku juga. Haruslah aku layan elok-elok walaupun geram dengan anaknya itu.

Dengan hati yang berdebar-debar, aku melangkah ke arah katil. Kotak besar berwarna emas  ini kukeluarkan dari dalam beg kertas. Sekeping nota yang terlekat pada penutup kotak kubaca dengan teliti. "Bella, please wear this hanbok during the event."

Dengan teruja aku membuka kotak tersebut. Terpesona aku melihat hanbok ini. "Ya Allah... cantiknya!"

Cepat-cepat aku keluarkan hanbok sutera yang elegen ini dari dalam kotak dan terus kusarungkan ke tubuh lalu aku melihat imbasan imejku pada cermin.

Teruja punya pasal, dengan gediknya aku berpusing-pusing di hadapan cermin. Ini kali pertama aku mengenakan hanbok sepanjang hayatku.

Mataku berlari pada bahagian atas hanbok yang dipanggil jeogori. Jeogori iaitu blaus atau jaket berlengan panjang ini adalah daripada kain sutera berwarna krim. Dan bahagian bawah hanbok, iaitu chima merupakan gaun labuh tanpa lengan yang sangat kembang. Berwarna merah hati. Sangat terang dan ceria warnanya.

Teringat cerita rakan-rakan Koreaku di kampus. Pada zaman dahulu, hanya golongan atasan sahaja yang boleh memakai hanbok berwarna ceria dan terang begini. Menjadi kesalahan di sisi undang-undang sekiranya golongan bawahan memakai hanbok berwarna terang.

Golongan bawahan hanya boleh memakai hanbok berwarna putih sahaja. Sekiranya mereka perlu menghadiri majlis-majlis istimewa, mereka dibolehkan memakai hanbok berwarna lain, tetapi warna hanbok itu mestilah tidak menonjol. Contohnya warna pink kusam, hijau lembut, kelabu dan coklat gelap.

Berkenaan fabrik atau material hanbok pula, golongan bawahan hanya boleh mengenakan hanbok yang diperbuat daripada kain kapas sahaja manakala golongan atasan boleh mengenakan hanbok yang diperbuat daripada sutera, ramie wool dan lain-lain fabrik yang lebih berkualiti.

Tetapi, zaman sudah berubah. Kini terdapat pelbagai jenis hanbok di pasaran dan sesiapa sahaja boleh memakai apa jua warna dan fabrik hanbok yang mereka suka.

"Bella...."

Aku terus menoleh ke belakang. Minah ni kalau  masuk memang jarang nak ketuk pintu.

Aini yang sedang memegang piring berisi odeng terpaku memandang aku. "Wow...."

Aku pun terus memusing-memusingkan tubuh sambil tersenyum riang. "Aini... aku nampak pelik tak?"

Aini masih lagi terpesona. "Yeppuda (Cantik)."

"Kamsahabnida..." ucapku sambil menundukkan badan. "Nampak kelakar tak?"

"Kelakar? Eh, mana ada kelakar. Cantiklah Bella..." ucap Aini. Pinggan odeng diletakkan di atas meja dan dia terus mendapatkan aku. "Mana kau dapat ni?"

"Omma yang bagi pada aku tadi. Dia minta aku bantu dia di Hanok Village nanti. Ada program kebudayaan di situ dan omma akan buka booth kimchi di situ."

"Oh... interesting!" Kata Aini yang masih memandang hanbok di badanku.

"Eh, kalau kau dengan Miza nak join pun boleh. Omma mesti happy kalau ramai yang nak bantu," ujarku dengan gembira. Mesti lagi seronok kalau Aini dan Miza dapat turut serta.

"Bila?" Soal Aini.

"Jumaat nanti."

Aini terus menepuk dahi. "Ala... kau ni macam tak tahu. Aku dan Miza kena pergi pejabat imigresen kat Jonggak tu. Nak renew Alien Card."

Aku mengangguk mendengar kata-kata Aini. Semua pelajar atau pekerja dari luar Korea Selatan harus memegang Alien Card atau kad pengenalan diri yang sah di sini.

"Ye ke? Takpe. Aku bertugas hari Jumaat aje. Kalau free, hari Sabtu nanti kita boleh jalan-jalan kat sana." Kataku.

Aini terus tersenyum lebar. "Okey... eh, makanlah odeng tu."

Aku terus menanggalkan hanbok di badan dan kuletakkan dengan kemas di atas katil. Bersama jean dan T-shirt wool lengan panjang di badan aku melangkah ke arah meja. "Yummy... ingat jugak korang kat aku."

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now