TING TONG! Ting tong! Ting tong! Ting tong!
Ya Allah... bingitnya! Ingatkan omma beri cuti hari ini dapatlah aku bersenang-senang disamping mengembalikan mood yang terjejas teruk gara-gara terjumpa Danial Lee semalam. Tajam mata menjeling ke arah interkom yang tersangkut kemas di dinding. Siapa agaknya manusia yang kurang sabar itu? Kalau omma atau Minah, mereka tidak akan menekan loceng berkali-kali seperti itu. Aku berlari ke arah pintu.
Ting tong! Ting tong! Ting tong! Ting tong!
Ya Allah! Geramnya! Bertalu-talu loceng ditekan. Dengan perasaan sebal, aku merenung ke arah skrin. Astaghfirullahalazim! Kenapa mesti dia? Jantung yang tadinya damai sahaja berdetak kini berdegup dengan tidak tentu arah. Sumpah, aku tidak sangka dia yang berada di hadapan pintu apartmen ini.
Untuk apa? Bagaimana dia tahu alamat tempat tinggalku ini? Kak long tak tahu alamatku ini. Omma? Tak mingkin omma yang beritahu. Minah? Kalau Danial Lee tak pasang spy ikut aku ke sini, memang minah K-pop tu la yang beritahu lelaki ini. Kelam-kabut aku menjauhi pintu apabila pintu rumah pula diketuk kuat.
Tok! Tok! Tok! Ting tong! Ting tong! Ting tong!
Ah, sudah! Ketukan pada pintu dan loceng berbunyi silih berganti membuatkan aku semakin kalut. Sepantas kilat aku memecut ke dalam bilik. Skirt labuh kusarungkan ke badan. Kemudian aku mencapai tudung bawal di atas kerusi.
Loceng pintu semakin galak berbunyi. Gaya samseng tu tetap ada. Bibir kuketap dengan geram dan terus berlari ke arah pintu. Kalau loceng tu rosak lepas ni, memang dia penyebabnya.
Nafas kutarik dalam-dalam. Bella, bertenang. Dengan perlahan-lahan aku memulas tombol pintu. Dia kulihat menanggalkan kaca mata hitamnya dan kini mata kami bertaut. Lama kami berpandangan sehingga menyesakkan ruang dada yang sememangnya sudah huru-hara ini. Renungan matanya dan bau wangian yang digunakan tetap memberikan kesan yang sama kepadaku. Mampu membuatkan degupan jantung semakin menggila.
"How do you know I'm staying here?" soalku sesudah tersedar ke alam nyata.
Tanpa menghiraukan pertanyaanku, dia terus masuk ke dalam rumah.
"Eh, kejap!" Aku mendepakan tangan di hadapannya. "Kenapa bawak beg besar ni datang ke sini?"
"Aku nak tinggal di sini. Any problem?"
"Apa?!" Aku terkejut besar.
"Kenapa? Takut boyfriend kau marah?"
Boyfriend? Apa yang dia mengarut ni? "Hah? Apa yang awak..."
"Kenapa? Terkejut? It's okay. I don't need your explaination," cantasnya lalu terus melangkah ke arah deretan bilik di sebelah kiri kondo mewah ini.
Eh, eh dia ni! Sekali aku pelangkung baru tahu. Sepatutnya aku yang hangin satu badan sebab dia terang-terang ada Yoo Ri. Aku hanya mengikut jejak langkahnya sahaja saat ini.
"This condo explain everything."
Tergamam aku. Apa maksudnya? Cepat-cepat aku meluru ke arah bilikku apabila dia melangkah masuk ke dalam ruang itu.
"Should I take this room? Or that one? Mana lagi besar?" soalnya sambil menuding ke arah bilik di hadapan sana pula.
"Ni bilik saya," jawabku sebaris.
Danial Lee terus menghempaskan dirinya di atas katil. "Okey, aku stay kat sini."
Buntang mataku mendengar kata-katanya itu. "Excuse, Mr. Danial Lee. This is my room. Awak boleh tinggal kat mana-mana bilik tetapi bukan yang ini."
Aku malas nak keluarkan baju dan pindah ke bilik lain.
Danial Lee yang sedang menelentang di atas katil merenungku dengan pandangan yang sukar ditafsir. Dia kemudiannya membuka butang bahagian atas bajunya, mendedahkan sedikit dadanya yang bidang.
Apabila jantungku berubah rentaknya, aku terus memandang ke arah lain.
"What to do now? I really like this room. Should we share this room together?"
Nak pengsan rasanya mendengar cadangannya itu. Terus aku menjeling tajam wajah lelaki itu.
"You and me." Katanya sambil mengenyitkan sebelah mata membuatkan aku semakin kalut.
Mamat ni dah kenapa? Kena sampuk dek jembalang ke?
"Eh... telefon saya berbunyi tu. Errr... it's okay. Awak, kan tetamu. Awak ambil aje la bilik ni. Semoga berbahagia."
Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus meluru keluar. Siap tutupkan pintu lagi. Tetapi, kenapa dapat kudengar dengan jelas suara orang ketawa kecil di dalam sana? "Ya Allah... apa aku merepek tadi? Agak-agak dia percaya tak yang ada orang call?"
Tak sampai sejam dia berada di sini aku dah kalut. Kalau dua puluh empat jam? Bagaimana keadaannya ya?
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...