WAH... bahagianya hidup! Semenjak umi pulang minggu lepas, kehidupan aku penuh dengan warna-warni. Tidak ada lagi rasa kusut dan serabut seperti sebelum ini.
Aku melangkah ke arah dapur gas. Mataku melekat pada makanan kegemaran aku dan kak long di dalam kuali. Kuah masak lemak ketam yang sedang menggelegak benar-benar menggamit seleraku. Sedapnya bau! Sampai ke bahagian atas rumah bau masak lemak ketam ini menular tadi.
"Tolong tutup api dapur gas tu, Bella."
"Okey, umi."
Jam di dinding kujeling sekilas. Aik, cepatnya umi masak hari ini. Baru pukul dua belas setengah tengah hari.
"Awalnya umi masak hari ni. Banyak pulak tu," tegurku sambil melangkah malas ke arah meja di mana umi sedang berada.
"Mak su dan pak su nak datang makan," jawab umi.
Oh... pak su dan mak su nak datang rupa-rupanya.
Setelah seminggu umi pulang, baru hari ini aku berani nak korek rahsia tentang hubungan arwah ayah dan Pak Cik Dani. Rancanganku adalah untuk cuba-cuba bertanya tentang hubungan di antara arwah kak ngah dengan Danial Lee pulak kemudiannya.
"Umi..." panggilku sambil memerhati umi memotong agar-agar buah.
"Kenapa, Bella?"
"Boleh umi cerita pasal hubungan Pak Cik Dani dengan arwah ayah? Tiba-tiba Bella rindu pulak dengan arwah ayah..." rengekku.
Ini dinamakan strategi! Tapi, memang aku rindukan arwah ayah pun.
"Masa tahun 1982 dulu, Pak Cik Lee Beom Seok atau nama Islamnya, Dani Abdullah... datang ke Malaysia di bawah Hyundai Engineering and Construction Company (Korea) Ltd untuk bekerja sebagai buruh binaan di Malaysia. Masa tu dia belum peluk agama Islam lagi," cerita umi.
Nampaknya umi tidak keberatan untuk bercerita. Lee Beom Seok? Wah... itu nama Perdana Menteri Korea yang pertama.
"Pak Cik Dani yang kaya raya tu dulu kerja buruh binaan aje? Betul ke ni, umi?" soalku sedikit terkejut.
"Betul, Bella. Tugasnya buat kerja-kerja pembinaan yang melibatkan Jambatan Pulau Pinang. Memang ramai orang Korea yang datang ke Malaysia waktu itu untuk siapkan Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan kawasan pulau ini dengan Seberang Perai."
Lekas-lekas aku menganggukkan kepala.
"Time tengah buat kerja-kerja pembinaan, Pak Cik Dani terjatuh ke dalam laut dari atas jambatan yang masa itu masih lagi dalam pembinaan." Umi berhenti memotong agar-agar untuk seketika.
"Hah? Biar betul, umi? Selepas itu apa yang terjadi?" soalku dengan terburu-buru.
"Arwah ayah dan pak su yang kebetulan tengah memancing masa tu ternampak Pak Cik Dani kat dalam laut. Mereka yang selamatkan Pak Cik Dani masa tu."
"Patutlah Pak Cik Dani cakap yang dia terhutang nyawa dengan arwah ayah dan pak su."
"Selepas kejadian tu, hubungan Pak Cik Dani dan keluarga kita memang rapat. Bella dan kak long memang tak pernah berjumpa dengannya," cerita umi.
"Bila dah lama berkawan dengan arwah ayah dan pak su, dia mula berminat dengan agama Islam. Akhirnya, Pak Cik Dani peluk agama Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu. Namanya Azizah." sambung umi.
Menarik!
"Hidayah Allah itu luas, kan umi?"
Bagi aku, bukan mudah untuk seseorang itu meninggalkan agama yang nenek moyang mereka amalkan sejak beratus-ratus tahun untuk memeluk agama baru.
"Betul tu. Hidayah ni hak mutlak Allah nak bagi pada sesiapa pun. Tak kira pada orang kafir ataupun orang Islam tu sendiri."
"Bertuahlah mereka yang terpilih untuk menikmati kurniaan hidayah Allah tu, kan umi?"
"Ye, betul tu nak..." balas umi sambil tersenyum manis.
"Emmm... umi. Danial tu anak Pak Cik Dani dengan Mak Cik Azizah ye?" soalku teragak-agak.
Umi menganggukkan kepalanya.
"Mak Cik Azizah ikut Pak Cik Dani balik ke Korea ke, selepas berkahwin?" soalku dengan berhati-hati.
"Ye, Bella. Selepas mereka berkahwin, Pak Cik Dani bawak Mak Cik Azizah balik ke Korea dan kami terputus hubungan," jawab umi. Selepas itu, lama juga dia mendiamkan diri. Seakan-akan sedang melayan perasaan.
Aku hanya membiarkan sahaja.
Akhirnya, umi menarik nafas panjang-panjang. "Takdir Allah itu indah. Tiga tahun lepas kami bertemu semula dalam keadaan yang tak disangka-sangka. Tapi, sayangnya arwah Mak Cik Azizah dan arwah ayah kamu dah tiada."
Ada nada terkilan dapat kukesan dalam nada suara umi.
"Bila Mak Cik Azizah meninggal dunia?" soalku dengan penuh rasa ingin tahu.
"Masa Danial kecil lagi," jawab umi.
"Jadi, macam mana Danial boleh berbahasa Melayu?" soalku lagi.
"Mengikut cerita Pak Cik Dani, dia hantar Danial belajar bahasa Melayu dengan seorang wanita Malaysia yang tinggal berdekatan dengan rumah mereka. Namanya Fatimah."
Patutlah... sampai boleh bertekak dengan aku! Bisik hatiku.
"Umi..." panggil kak long tiba-tiba.
Aku mengetapkan bibir. Kacau daun betullah kak long ni!
"Ye. Kenapa, Salina?" soal umi dengan lembut.
"Ada orang datang," jawabnya. Pelik pula nada suaranya itu.
"La... kenapa pulak beritahu umi? Pergilah tengok siapa," suruh umi.
"Salina dah tengok."
Aku dan umi sama-sama mengerutkan dahi mendengar kata-kata kak long.
"Dah tu? Kenapa tak bukak pintu tu?" marah umi sambil bangun dari kerusi.
Aku tak sampai hati pula nak biarkan umi bukakan pintu. "Eh... takpe, umi. Biar Bella aje yang bukak pintu. Mesti pak su dan mak su dah sampai tu."
Kak long memandang aku sambil menggelengkan kepalanya.
Aku berlari-lari anak ke arah pintu. Tangan membetulkan rambut lurusku yang panjangnya melepasi bahu.
"Mak su!" jeritku sebaik sahaja membukakan pintu.
"Mak su? Are you crazy?!"
Astaghfirullahalazim! Kelam-kabut aku menutup pintu dan memecut ke dapur. Patutlah kak long pelik semacam aje tadi. Bibir kuketap dengan geram. Apesal dia tak beritahu 'samseng' tu datang?! Kan ke dia dah nampak rambut aku! Aurat tu! Argh! Stres aku!
"Umi... tolong bukakan pintu ye. Bella tak pakai tudung ni. Umi pun jangan lupa pakai tudung sebab yang datang tu bukan mahram," kataku senafas.
"Ya Allah... kenapa dengan kamu berdua ni? Pakai tudung la. Tolong bukakan pintu la..." Umi dah mula naik angin.
"Salina sakit perut ni umi." Kak long beralasan sambil mengerutkan wajahnya dan melangkah ke arah tandas.
Hah! Tu nak mengelat la tu!
Aku menggeleng perlahan apabila umi memandang ke arahku. "Bella pun sakit perut. Dari tadi tahan ni, umi. Maafkan Bella, ye."
Riak pelik yang jelas terpeta pada wajah umi tidak kuhiraukan. Aku terus berlari ke arah tangga untuk naik ke bahagian atas rumah.
"Macam-macamlah korang ni! Hesy!" Dengus umi, geram.
Eee... apa pulak 'samseng' tu buat kat sini?! Mengganggu hidup aku betullah!
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...