"HA! Boleh pun! Syukur alhamdulillah!" Bagai orang gila aku menjerit riang. Rasa seperti hendak sujud syukur saat ini.
Kaki yang tadinya melilau-lilau di kawasan dapur rumah kak long ini kini seperti terpasak pada bumi. Masih tidak percaya yang aku berjaya menghidupkan telefon bimbit ini selepas dua hari. Selamat duit aku! Tak perlu beli telefon baru bimbit baru! Yahooo!
Aku terus melabuhkan punggung menghadap besen kubis di atas meja. Baru senang hati nak buat kerja. Jemari kini pantas meneroka segenap fail di dalam phablets Samsung Note 3. Nasib tidak ada maklumat yang hilang! Hampir weng telefon bimbit ini gara-gara kecuaian aku. Siap berwap air lagi semenjak aku keluarkannya dari peti sejuk rumah 'samseng' itu.
Setelah berkali-kali aku gagal menghidupkan skrin tadi, entah bagaimana cubaan terakhir berjaya juga walaupun skrinnya hitam legam dan hanya robot android warna hijau tu aje yang berada di skrin pada mulanya. 'System reboot'. Itu yang tertulis di skrin tadi sebelum aku boleh menghidupkannya seperti biasa kembali.
Telefon yang berada di tangan kucium bertalu-talu sebelum meletakkannya di atas meja. Benda mahal kut. Bersama senyuman lega di bibir, aku berdiri sambil meregangkan otot. Kemudian, besen kubis yang telah pun direndam dengan air garam kucapai dan aku bawa ke singki. Hati yang gembira dilanda gundah apabila teringat gambar arwah kak ngah yang berada dalam simpanan lelaki itu. Apa sebenarnya hubungan mereka?
"Bella!"
Tersentak aku. Nasib baik tak terbaling kubis di tangan. Mata kujegilkan ke arah kak long yang tersengih. Cepat-cepat aku meletakkan kubis ke dalam besen. "Isy, kak long ni. Terkejut tau tak!"
Kak long ketawa terkekeh-kekeh sambil melangkah mendekatiku.
Aku buat muka. Seronoklah tu dapat buat aku terkejut!
"Dah sampai mana? Bulan? Bintang?" usik kak long.
Tersenyum tawar aku seketika. Memang aku tidak dapat menumpukan fikiran. Otak melayang memikirkan insiden semalam. Kenapa gambar kak ngah berada dalam simpanan Danial Lee?
Aku terpandang kedua-dua belah tanganku. Ya Allah! Lama mana agaknya aku rendam tangan di dalam besen berisi kubis dan air garam ni? Sampai kecut habis kesemua jari. Benarlah kata kak long. Aku sedang mengelamun jauh.
"Kenapa monyok aje ni? Dah dapat telefon bimbit pun masih sedih?"
Soalan kak long kubiarkan berlalu begitu sahaja. Aku memegang kubis-kubis yang telah direndam selama beberapa jam dengan air garam ini. Hmmm... cukup elastik dan susah patah. Maksudnya, air garam sudah meresap dengan sempurna ke dalan sayur ini dan aku sudah boleh basuh semuanya sebelum dilumur dengan pes kimchi sekejap lagi. Besen berisi kubis yang telah dipotong-potong kuangkat dengan berhati-hati dan kubawa ke singki untuk dibasuh.
"Kak long... arwah kak ngah ada boyfriend ke dulu?" Dengan berhati-hati aku bertanyakan soalan itu kepada kak long.
"Kenapa tiba-tiba tanya pasal kak ngah ni?" soal kak long.
"Saja aje..." jawabku ringkas. Kedua-dua belah tangan sedang gigih membasuh kubis-kubis di dalam besen dengan sempurna.
Kak long mengeluh kuat. "Kak ngah memang anak yang baik... menurut kata, tak macam kak long. Kak long ada boyfriend dulu, umi tak berkenan pulak. Tapi, kak long degil nak jugak bertunang. Akhirnya putus!"
Tangan yang sedang lincah membasuh kubis terhenti seketika. "Isy, kak long ni. Ke situ pulak."
"Bella kat Korea... mana Bella tau." Kak long mencapai lobak merah yang telah kucencang dan dimasukkan ke dalam mulutnya.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...