Bab 36

3.9K 33 1
                                    

HOH! Biar betul! Ini pembantu kelas kimchi atau artis K-pop?! Aku melihat jaket kulit paras pinggang yang melekat di badan gadis itu. Skirt paras lutut pula dipadankannya dengan legging menghiasi bahagian bawah tubuh. Kasut pula, boot hitam paras buku lali siap ada glitter lagi.

Ini kali pertama aku bertemu muka dengan gadis ini semenjak bekerja di Mujigae Kimchi World. Dengar kata, dia cuti semasa aku mula bekerja minggu lalu.

Apabila dia memandang ke arahku, terasa seperti hendak terjatuh rahangku. Inikah gadis bernama Min Ah yang disebut-sebut oleh omma selama ini? Mati-mati aku ingat gadis Korea!

Mulut yang tadinya ternganga sedikit kututup rapat. Kata omma, Min Ah adalah salah seorang pembantu di sini sejak setahun lalu. Lama tu. Di samping bekerja di sini, dia juga masih menuntut di unversiti. Dia tersenyum sambil mendekatiku. Kelam-kabut aku membalas senyumannya.

"Annyeong haseyo. Malaysian ke?" sapanya dengan ramah.

Dah kuagak! Dia ni orang Malaysia.

"Annyeong haseyo... yes, I'am a Malaysian," jawabku sambil tersengih.

Wow! Bersolek pun macam nak buat konsert. Fashionista betul. Aku perasan yang gadis ini sedang menelitiku dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.

"Peliknya. Hwe Jang Nim cakap kau ni anak dia. Maksudnya, ayah kau iaitu suami Hwe Jang Nim orang Malaysia ye? Patutlah Hwe Jang Nim boleh berbahasa Melayu."

Terdiam aku seketika. Omma beritahu semua orang yang aku anaknya ke? Apa aku nak jawab ni?

"Mesti muka kau sebiji muka ayah kau, kan?"

Aduh... pening! Aku terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. "I'm Salsabila. Bella."

"Aku Aminah... but just call me Min Ah," balasnya.

Sebaik mungkin aku cuba menahan tawa daripada meledak. Agak-agaklah cik kak oi! Minah jadi Min Ah! "Oh... Minah...."

"Min Ah. Min Ah, okey. Bukan Minah. Minah tu panggilan di Malaysia aje."

Sumpah aku dah tak dapat tahan. Nyaring bergema ledakan tawaku di dalam bilik ini. K-pop habis! Minah jadi Min Ah. Kau mampu?!

Minah memasamkan wajahnya. Ada riak tidak puas hati dapat kukesan.

"Helo... apa gelak-gelak ni? Aminah tu nama ibu Nabi Muhammad SAW tau," bidasnya.

Kelam-kabut aku menggelengkan kepala. "Aku bukan gelakkan nama Aminah tu. Tapi, aku rasa kelakar bila Minah jadi Min Ah."

Minah menjulingkan matanya ke atas. "Whatever. Janji K-pop gitu...."

Kemudian, dia terus melangkah ke arah kabinet yang terletak di bahagian kanan kelas.

Aku terus mendapatkan Minah. "Let me help you."

Minah menjeling sedikit. Masih marah agaknya gara-gara aku gelakkan dia tadi.

"Nampak tak balang-balang tu? Semua balang tu berisi bahan-bahan untuk membuat kimchi. Ada balang berisi halia yang sudah dicencang, udang masin, sos ikan, cili, hirisan sayur-sayuran dan macam-macam lagi. Kita perlu sendukkan sikit bahan-bahan tersebut ke dalam setiap bekas kecil berwarna putih yang ada di atas meja tu. Kemudian, letakkan sebiji kubis panjang di atas setiap pinggan," katanya dengan panjang lebar.

Aku dengar aje penerangan dia. Dia tak tahu kut dah seminggu aku buat kerja yang sama seperti ini. "Okey, aku tolong kau."

Aku terus menuju ke arah balang-balang yang tersusun di atas kabinet.

"Satu perkara kau kena tahu, Bella. Kalau dah presiden sendiri yang handle kelas kimchi, maksudnya orang yang datang belajar nanti memang bukan calang-calang orang."

Aku yang baru hendak mencapai balang berisi cili tak jadi berbuat demikian. "Oh, ye ke? Aku memang bantu untuk kelas omma aje. Kelas tenaga pengajar lain aku tak masuk."

"Satu lagi, kalau kelas dalam bahasa Melayu pun, presiden aje yang handle."

Teruja aku mendengar kata-kata Minah yang sedang membasuh kubis yang sudah diperap dengan garam. "Ada kelas dalam bahasa Melayu ke? Selama seminggu kat sini, omma hanya mengajar dalam bahasa Inggeris."

Lambat-lambat Minah mengangguk. "Ada. Tapi jarang-jarang. Maklumlah, omma kau tu sibuk di kilang kimchi dia jugak. Kalau ada rombongan korporat atau VIP dari negara yang boleh faham bahasa Melayu, dia akan pertimbangkan untuk kendalikan dalam bahasa Melayu."

Wajahku dijelingnya sekilas sebelum memasukkan kubis ke dalam sebuah besen khas. "Macam hari ini, kelas akan dibuat dalam bahasa Melayu kerana para peserta datang dari Singapura. Semuanya berpangkat besar. Alang-alang ada conference di Seoul ni, mereka akan dibawa ke sini untuk merasai sendiri pengalaman buat kimchi. Kira macam aktiviti sampinganlah. Sepuluh orang semuanya."

"Oh, really?"

Pergh... semua dia tahu. Sangat berinformasi. Diam-diam aku mengagumi gadis ini.

"Ha... satu lagi. Kau tahu, kan kita perlu pakaikan apron untuk setiap orang di dalam kelas ni."

"Tahu." Dengan pantas aku mengangguk. Aku membuka balang berisi cili dan menyendukkan sedikit pes cili ini ke dalam bekas kaca berwarna putih.

"Very good!" balasnya sambil tersenyum senang.

Tiba-tiba bahuku dicuitnya. Kemudian, tangannya ditudingkan ke arah meja berbentuk U yang berada betul-betul di bahagian tengah kelas.

"Ada sepuluh orang peserta untuk kelas hari ini. Sekejap lagi, aku akan bantu lima orang sebelah kiri ni. Kau pula bantu lima orang di sebelah kanan. Okey ke tidak cik kak?"

"Okey... okey." Kepala kuanggukkan sedikit.

Minah menyambung kerja-kerjanya.

Lambat-lambat aku menoleh ke arah Minah. Ada sesuatu yang aku ingin sangat tahu dari hari pertama berkerja di sini. "Minah...."

Terus lenganku ditampar kasar oleh Minah.

"Min Ah... bukan Minah!"

Aku tergelak kecil. Kedua-dua belah tangan kuangkat ke atas. "Okey, okey. Sorry. Min Ah... nak tanya sikit ni."

Liar mataku memandang ke arah pintu yang terbuka luas. Takut kalau omma datang. "Selain dari kelas kimchi, ada juga kelas belajar buat chicken bulgogi, kan? Emmm... ayam yang digunakan tu memang halal ke?"

"Choiii! Soalan apakah ini? Sah-sah la omma awak tu muslim. Mestilah halal. Aku sendiri pernah nampak van halal yang hantar ayam tu."

Jawapan yang diberikan oleh Minah membuatkan aku tersandar pada kabinet akibat sangat terkejut. "Mus... muslim? Omma muslim?"

Minah seperti sudah hilang sabar denganku. Matanya tajam memanahku. Kepala digelengkannya berkali-kali. "Kau ni dah kenapa, Bella? Sah-sahlah dia tu mak engkau. Mestilah dia Islam!"

Dia fikir aku sengaja buat-buat terkejut dan ingin mempermainkannya kut.

"Sayang, muka lawa tapi pelik orangnya." Rungutnya tanpa memandang ke arahku.

Kurang asam betul!

Bersama jelingan tajam dia bersuara. "Jangan nak main-main ye. Cepat prepare bahan-bahan tu. Kita ada lima minit aje lagi ni."

Pantas tangannya mencapai balang gula.

"Takpe, biar aku aje sendukkan bahan-bahan ke dalam bekas-bekas ni. Kau boleh fokus kerja lain." Aku tersengih ke arah Minah.

Terus sahaja dia mengangguk. "Bagus jugak macam tu. Biar aku sediakan apron dan buat benda lain. Cepat sikit siap kerja kita ni."

Aku cuba untuk fokus pada kerja yang sedang aku lakukan, tetapi gagal. Omma adalah seorang wanita muslim! Semakin yakin hatiku memberitahu yang omma adalah ibu kandung Danial Lee. Tapi... kata umi, Danial Lee adalah anak hasil perkongsian hidup arwah Mak Cik Azizah dan Pak Cik Dani. Ah, alangkah bagusnya kalau aku berani tanyakan sendiri perkara ini kepada omma. Susahnya untuk merungkai misteri ini!

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now