MATA kuliarkan ke sekitar kawasan di dalam Winter Warmers Coffee and Tea House ini. Warm and cozy! Bisik hatiku. Tubuh kuregangkan sedikit dan aku bersandar pada sofa empuk yang bercorak vintage floral. Aman damainya kurasakan hari ini! Semenjak aku cuti semester, baru hari ini aku berpeluang keluar bersama kawan-kawan.
Senyuman nipis beraja di bibir, namun terus mati tatkala mata memanah tepat pada cincin nikah yang tersarung di jari manisku. Memang vintage cincin ini. Sempat pula Pak Cik Dani carikan cincin untuk aku.
Serta-merta terbayang di fikiran saat Danial Lee menyarungkan cincin ini ke jari manisku. Sebut pasal lelaki itu, betullah kata dia. Nothing changed! Tidak ada apa yang berubah.
Sejak lelaki itu pergi ke Jakarta semalam, aku langsung tidak dengar apa-apa berita tentang dia. Berapa hari dia akan berada di sana pun aku tidak tahu. Pendek kata, tidak banyak yang aku tahu tentang dia. Bayangkanlah, nombor telefon dan e-melnya pun aku tidak tahu.
Ada juga sesekali hatiku tertanya-tanya, bagaimana keadaan lelaki itu di sana, namun aku cepat-cepat sedar diri. Tidak perlu rasanya untuk mengambil tahu tentang dia. Untuk apa aku penat-penat fikir tentang lelaki itu sedangkan dia lebih tenang apabila jauh dariku? Mesti perit rasanya apabila terpaksa berhadapan dengan aku yang mengingatkannya kepada arwah kak ngah.
Tapi, atas dasar kemanusiaan, aku harus cuba mengerti perasaannya. Lagipun, aku boleh hidup dengan gembira tanpa lelaki itu di sisiku kerana sebelum ini pun dia tidak pernah ada untukku. Cuma, siapalah aku untuk menafikan getaran rasa setiap kali aku berhadapan dengannya. Alah... itu kacang aje! Aku boleh berlagak selamba! Ini Bella la, Bella!
"Bella!"
Lamunanku terhenti apabila ada tangan menampar bahuku. "Huh?"
Aku terus menoleh ke arah Miza yang buntang matanya memerhatikan aku.
"Ya Allah... berangan rupanya! Panjang lebar tau kita orang bercerita pasal filem yang kita tonton tadi tu," kata Miza, tidak puas hati sambil menggelengkan kepalanya.
"Teringatkan siapa agaknya ye?" duga Aini. iPad di tangannya diletakkan ke atas meja sambil menarik sengih. "Mesti teringatkan Encik Faris!"
Hmmm... eloklah tu! Sendiri tanya, sendiri jawab!
Miza ketawa besar apabila mendengar kata-kata Aini. Budak berdua ni memang tak sah kalau tak usik aku.
Jelingan tajam kuberikan kepada Aini. "Don't be ridiculous! That's not funny okay!"
Mata kujulingkan ke atas dan dengan pantas gelas berisi teh buah kucapai dan kuhirup sedikit.
"Wah... cincin baru ke ni?" tegur Miza.
Bersinar matanya memandang ke arah jemariku yang sedang memegang gelas. Serta-merta aku letakkan gelas di atas meja. Gugup memang gugup, tetapi aku tetap selamba. "Oh, haah. Cincin baru."
"Wow! Lawanya. Macam wedding ring!" kata Aini.
"Ma... mana ada." Bulat mataku menentang matanya yang masih melekat di jemariku.
"Habis tu, cincin siapa ni? Kau balik kampung, kan baru-baru ni? Entah-entah kau balik kahwin tak?" usik Miza.
Terasa seperti hendak luruh jantungku. Aku tahu Miza sekadar ingin menyakat, namun aku tidak mampu lagi untuk bertahan. Terus sahaja aku memasamkan wajah dan berpura-pura marah. "Apa yang korang merepek ni! Ni cincin arwah nenek akulah!"
Dengan sekelip mata jemariku kini berada dalam genggaman Miza. Teliti benar dia memerhati cincin di jari manisku.
"Lawa betul cincin ni," gumam Miza.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...