PEJAM, celik. Pejam, celik. Sekarang dah pun bulan November. Maknanya, aku hanya ada sebulan lebih sahaja sebelum peperiksaan akhir bermula.
Saat angin dingin musim luruh ini berhembus di luar sana, aku menjadi semakin sibuk. Satu tugasan dah siap! Ada dua lagi yang harus diselesaikan. Mana satu nak buat dulu ni? Rasa seperti tak cukup tangan nak buat kerja. Betullah pesanan kakak-kakak senior sebelum ni. Tahun akhir adalah tahun yang paling mencabar. Tak boleh main-main.
Tubuh kuregangkan semahu-mahunya. Sudah berpinar mata menghadap komputer riba. Kalau tak jadi jurutera yang berjaya lagi berkaliber selepas graduasi nanti, tak tahulah nak cakap apa.
Aku tak jadi mencapai buku rujukan apabila terdengar bunyi jeritan telefon bimbit yang minta dijawab. Bersama keluhan aku bingkas bangun dari kerusi. Telefon bimbit di atas katil kucapai.
"Assalamualaikum umi..." ucapku sambil melangkah ke arah jendela.
"Waalaikumussalam."
Amboi, gembira betul suara umi di hujung talian.
"Cerianya suara. Umi sihat?" Bersama ketawa kecil aku bertanyakan soalan itu. Mata kini tertancap pada pohon-pohon di luar sana. Daun sudah mula bertukar warna di seluruh bumi Seoul.
"Alhamdulillah sihat. Bella sihat tak?"
"Sihat. Tapi... banyak betul tugasan, umi. Kadang-kadang rasa macam nak nangis aje," jawabku yang masih lagi memerhati ke arah dedaun maple di luar sana.
"Alahai... Bella sibuklah ye?"
"Untuk minggu ini memang Bella sangat sibuk. Minggu depan mungkin kurang sikit sibuknya tu sebab semua tugasan ni deadlinenya hujung minggu ni."
Aku melangkah ke arah meja yang menempatkan balang berisi kerepek tradisional Korea.
"Oh, ye ke? Bila Bella cuti?" Soal umi dengan serius.
Aku memulas balang kerepek. "Kalau cuti panjang tu bulan Disember nanti, umi. Bella cuti sampai awal bulan tiga."
Umi mesti rindukan aku. Tak sabarlah tu nak suruh aku balik Malaysia.
"Hmmm... bulan Disember? Okey jugak tu. Masa tu kat Malaysia ni pun tengah cuti sekolah. Senanglah saudara-mara dari jauh dan dekat nak datang."
Kerepek kugigit dengan perasaan yang pelik. Ada apa dengan bulan Disember ye? "Errr... kenapa ye, umi?"
"Tadi Pak Cik Dani ada datang ke rumah."
Mulut yang tadinya sedap mengunyah terus terhenti. Ada debaran melanda jiwa.
"Umi, Pak Cik Dani, pak su dan mak su ada berbincang pasal majlis resepsi kamu dan Danial."
Aku tergamam. Kerepek yang masih bersisa di tangan terasa tidak mampu untuk kuhabiskan.
"Majlis resepsi? Umi... tak perlu kut. Janji Bella dan Danial dah nikah. Bukan ke itu yang paling penting?"
Sejujurnya, aku tidak ada mood. Kerepek di tangan kumasukkan semula ke dalam balang.
"Isy, kamu ni! Memanglah akad nikah tu yang paling penting, tapi dalam Islam penting jugak untuk uar-uarkan pernikahan kamu tu supaya semua orang tahu kamu dan Danial adalah suami isteri. Kalau buat kenduri kecil-kecil pun tak apa. Janji buat. Kamu ni..." leter umi.
Kepala yang tidak gatal kugaru perlahan. "Tapi umi..."
"Kamu tahu tak, Mak Cik Midah yang duduk hujung kampung tu tak tahu kamu dah bernikah. Dia ada datang merisik kamu untuk anak saudaranya minggu lepas. Ha... itulah pentingnya buat kenduri tu nanti," potong umi.
Aduh... Mak Cik Midah ni pun satu! Masalah betullah! Masa aku akad nikah dulu dia ada di Kuala Lumpur. Tidak ada ke orang yang maklumkan kepadanya? "Ye ke? Disember ye? Maksudnya lebih kurang sebulan lebih lagilah."
Aku cuba mencari alasan lain. "Emmm... Bella rasa Danial..."
"Danial dah cakap awal-awal. Dia ikut aje bila Bella free." Potong umi lagi.
"Oh...."
'Masak' aku!
"Kalau umi letak tarikh minggu ketiga Disember, kamu setuju ke tidak?"
Memang aku tidak ada pilihan. Aku tidak mahu terlalu berkeras. Takut kalau umi dapat hidu sesuatu pula nanti. Sudahlah setiap kali telefon, mesti wanita ini akan bertanya sama ada aku dan Danial Lee selalu berhubung atau tidak. "Bella ikut aje...."
"Alhamdulillah. Senanglah kalau kamu dah bagi lampu hijau pada kami."
Aku hanya diam mendengar celoteh umi di hujung talian.
"Bukan apa, umi nak tempah catering, khemah dan macam-macam lagi."
Aku diam lagi.
"Untuk baju kamu dan Danial, jangan risau. Balik ke sini nanti boleh diuruskan."
"O... okey." Akhirnya aku bersuara.
"Danial ada telefon kamu tak?"
Haaa... kan ke sudah aku kata. Dia mesti tanya pasal lelaki itu. "Ada."
Memang aku tidak menipu. Danial Lee memang ada menelefonku cuma aku sahaja tak pernah jawab walaupun dia ada menggertakku dalam SMS, aku tetap juga begini.
"Umi... Bella ada kelas sekejap lagi. Nanti Bella call balik ye?"
"Yelah. Nanti kamu tak sibuk, telefon balik tau. Jaga diri baik-baik."
"Umi pun jaga diri ye. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Sebaik sahaja umi mematikan talian, aku terus menghempaskan diri di atas katil. Sudah dua bulan lebih aku berada di Seoul semenjak pulang ke sini dulu. Sudah sebulan lebih berlalu semenjak kali terakhir aku bertentangan mata dengan lelaki itu.
Siapa kata aku tak rindu? Separuh mati aku merindu, namun aku masih tidak tahu apa yang harus aku lakukan dengan hubungan kami.
Mengikut kata kak long, Danial Lee sangat sibuk semenjak kepulangannya ke Malaysia bulan lepas. Selalu juga dia ke Jakarta. Berbuih mulut kak long menasihatkan aku supaya berbincang elok-elok dengan Danial Lee.
Entahlah... mungkin buat masa sekarang, aku lebih suka menyerahkan segala-galanya pada takdir. Biarlah masa yang menentukan.
The scariest thing about distance is you don't know weather they'll miss you or forget about you.
Sekiranya satu masa nanti dia terus melupakan aku, harapnya aku sudah cukup bersedia untuk menghadapinya waktu itu.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...