BELLA... Encik Danial dah nak ke lapangan terbang tu."
Wajah kak long yang berada di muka pintu kukerling sekilas. Kemudian, mataku kembali tertancap pada majalah di tangan. "Biar aje la dia pergi. Kak long nak Bella buat apa? Bella ni bukannya driver dia pun."
Aku mencebik. Geram betul dengan lelaki itu. Jika bukan kerana dia, kami tak akan kahwin 'sekoboi' ini.
"Hesy, budak ni! Pergilah hantarkan suami kau tu," suruh kak long yang sudah pun duduk di birai katil.
Pantas aku menggeleng. "Ah, tak naklah Bella! Dia tu kak long... kalau tak nampak muka Bella ni, lagi tenang hati dia tau. Samalah macam Bella jugak. Berapi jiwa ni. Rasa nak terbakar hati bila pandang muka kerek dia tu."
Huh! Geram betul aku! Teringat jelingannya semasa selesai akad nikah dua jam yang lepas. Eee... rasa nak korek biji matanya tu. Tapi, lega rasanya apabila mengetahui yang Danial Lee harus ke Jakarta petang ini juga.
"Astaghfirullahalazim. Apa punya alasan tu? Baik Bella pergi sebelum umi panggil Bella," pujuk kak long.
Mataku masih lagi tertancap pada wajah 'si zirafah' Lee Kwang-Soo dalam majalah. Ah, stres begini, rasa seperti nak tengok Running Man, rancangan candawara Korea yang paling aku minati! Tu pun belum tentu aku boleh ketawa bagai nak gila seperti selalu.
Majalah yang berada di tangan tiba-tiba dirampas oleh kak long. "Bella... kak long tahu Bella bukan kahwin atas dasar suka sama suka. Bukan kahwin dengan pilihan sendiri, tapi dia tetap suami Bella tau."
"Yelah... yelah."
Dengan malas aku bangun dari katil. Memang aku sangat marah dengan lelaki itu, namun apa yang lebih merimaskan saat ini adalah aku tak tahu bagaimana hendak berhadapan dengannya. Status yang aku galas kini benar-benar buat aku tidak selesa. Satu lagi, mesti dia salahkan aku. Kononnya akulah punca kami bernikah. Mesti punyalah!
Dengan perlahan aku melangkah ke beranda, memerhati Danial Lee yang sedang bersandar pada keretanya. Abang Kimi pula sudah pun menunggu di dalam kereta.
Ada getaran menyelinap ke dada saat aku memerhati lelaki itu. Memang dia seorang yang kacak dan dia ada segala-galanya. Bila berjalan pun penuh bergaya. Gerak-gerinya sangat mempesonakan. Mana mungkin dia memilih aku sebagai isteri? Lainlah arwah kak ngah yang memang bijak dan bergaya. Dalam usia dua puluh dua tahun, dia sudah pun mendapat tawaran untuk buat PhD.
Aku? Dalam usia dua puluh dua tahun masih 'bergelut' untuk mendapatkan segulung ijazah. Penampilan? Adakalanya baju kurung dan kasut Converse ke kelas. Ah, dah itu yang selesa. Akhir-akhir ini aje aku mula memakai dress dan skirt. Itu pun setelah dipaksa oleh kak long. Sandal reben-reben pun kak long yang belikan. Ah, memang macam gagak dengan merak kalau nak dibandingkan aku dengan dirinya.
Kaca mata hitam ditanggalkannya dan kini matanya berada tepat di wajahku. Kenapa ada debaran mengisi ruang dada? Aku terus melarikan anak mata ke arah lain.
"Danial... tak boleh ke tunda meeting di Jakarta tu?" tanya pak su.
Umi terut menganggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan pak su.
Aku hanya memerhati ke arah mereka yang berada di bawah sana.
"Danial, what about Alan? Ask Alan to replace you," cadang Pak Cik Dani.
Namun, cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Danial Lee melalui gelengan kepalanya itu.
"No, papa. Maafkan Danial, pak su. Penting untuk Danial sendiri yang attend meeting tu esok pagi," tegas Danial Lee.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
Любовные романыInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...