Bab 35

3.7K 28 0
                                    

ADUH... bosannya! Selama seminggu ni, aku asyik makan tidur, makan tidur sahaja. Aku mengelap rambut yang masih lembap dengan tuala sambil memerhati keadaan di bilik ini. Sumpah, aku tidak pernah terfikir untuk tinggal di apartment yang sangat mewah begini di Seoul. Deposit untuk menyewa apartment kecil pun selalunya mencecah RM30,000.00 inikan pula apartment mewah sebegini. Koman-koman RM100,000.00 ke atas! Aci kerat jari!

Apakah pekerjaan omma sehingga mampu membeli apartment semewah ini sebagai rumah kedua? Siap boleh gajikan pemandu lagi. Satu lagi, apakah hubungan omma dengan Danial Lee? Ah, sememangnya wanita itu sangat misteri orangnya.

Aku melihat material yang digunakan untuk set cadar, jendela dan tirai balkoni di dalam bilik ini. Semuanya adalah English cotton dan lace berkualiti tinggi. Almari pula semuanya berwarna putih dan diukir dengan motif bunga-bunga kecil yang sangat halus hasilnya. Kamar mandi lengkap dengan tab mandi, ruang kering untuk bersolek dan keluasannya tu, boleh masuk satu katil lagi.

Aku memerhati pula candelier kristal Swarovski yang tergantung cantik pada siling bilik. "Timeless elegance!"

Bersama perasaan kagum dan teruja, tirai daripada fabrik lace berwarna putih pada balkoni kuselak.  Pintu kaca kutarik dan aku melangkah keluar dengan blaus lengan panjang dan jean biru di badan. Tuala pula kulilit di kepala untuk menutup bahagian aurat yang terdedah. Aku membiarkan sahaja wajah dan tubuh disirami cahaya panas sang mentari.

Aku bersandar pada dinding kaca balkoni ini yang tingginya separas pinggangku. Pandangan pula kuhalakan ke bawah. Tersentak aku seketika apabila ternampak seseorang sedang berdiri di balkoni unit apartment yang letaknya betul-betul di bawah unit apartmentku ini. "Danial?"

Ada getaran melanda jiwa. Ada rindu membuak-buak dalam dada. Tangan menggenggam kemas besi balkoni. Apabila lelaki itu kelihatan seperti ingin memandang ke atas, aku terus berlari ke pintu bilik.

Kalau Danial Lee pulang ke Seoul, mesti kak long beritahu aku. Takkanlah kak long tak tahu yang bosnya tu sudah pulang ke Korea? Kau yang gila bayang, Bella! Tapi, bagaimana kalau orang yang aku nampak tu adalah Danial?

Aku merapatkan diri pada dinding balkoni semula. Perlahan-lahan aku tunduk ke bawah semula, namun lelaki tadi sudah tiada. Ah, Bella! Di Korea ini, ramai aje lelaki yang mempunyai gaya rambut dan susuk tubuh sasa seperti Danial Lee tu.

Ting tong! Ting tong!

Tersentak aku. Bagaimana kalau yang berada di hadapan muka pintu itu nanti adalah dia? Degupan di jantung semakin laju. Tidak dapat dinafikan, dalam rasa cemas ada terselit rasa bahagia. Dengan pantas aku berlari ke arah pintu. Tombol pintu kupulas.

"Errr... omma! Jemputlah masuk."

Isy! Jauh sangat kau berfantasi tadi tu, Bella. Benarlah kisah aku dan dia sudah pun berakhir di Malaysia minggu lalu.

                       * * * * *

MEMANG misteri! Sudahlah seminggu omma diam tanpa berita, tiba-tiba hari ini dia datang ke apartment dan ajak aku keluar. Kalau keluar jalan-jalan atau makan-makan tu, bolehlah juga diterima akal. Tetapi, tempat yang dia bawa aku ini membuatkan mulutku ternganga luas.

Mujigae Kimchi World.
[Rainbow Kimchi World]
A fun kimchi making experience is just a step away!

Mujigae bermaksud pelangi dalam bahasa Melayu. Untuk kesekian kalinya aku membaca bait-bait perkataan yang tertulis pada papan tanda.

Aku mengikut omma masuk ke dalam bangunan tiga tingkat ini bersama otak yang penuh dengan tanda tanya. Apa hal omma bawak aku ke sini? Nak suruh aku belajar buat kimchi ke?

Sebaik sahaja masuk ke bahagian lobi bangunan ini, kesemua pekerja menundukkan badan tanda hormat kepada omma.

"Hwe Jang Nim," ucap mereka.

Omma hanya mengangguk dan terus berjalan.

Kelam-kabut aku mengejar langkah wanita itu. Yang aku tahu, Hwe Jang Nim adalah panggilan kepada seseorang yang memegang jawatan presiden dan juga pengasas sesuatu syarikat atau organisasi. Maka, jelaslah sudah yang tempat buat kimchi ni adalah milik omma. Wow! Sungguh aku kagum.

Kami tiba ke sebuah pejabat yang sangat luas.

"Duduk," suruh omma.

Aku mengambil tempat di atas sofa yang letaknya bertentangan dengan tempat duduk omma. Aku membaca tanda nama yang terletak di atas meja omma. Kim Ha Na. Oh, namanya Kim Ha Na.

"This is my kingdom," ujar omma sambil ketawa kecil sebaik sahaja aku melabuhkan punggung.

Aku terkesima kerana jarang aku lihat dia ketawa, walaupun ketawa kecil.

"A nice kingdom you have, queen..." selorohku.

Semakin galak dia ketawa. Cawan kopi dihulurkan kepadaku sambil berkata. "So, princess. Would you like to work here?"

"I beg your pardon?"

Aku salah dengar ke? Terhenti seketika tanganku menyambut huluran cawan kopi daripada omma. Tapi, cepat-cepat aku mengambil cawan kopi tersebut dan kuletakkan di atas meja.

Omma tenang sahaja. Air kopi yang sudah tersedia dihirupnya sedikit. "Sementara menunggu masa untuk kembali ke universiti, Bella boleh tolong omma di sini. I'll arrange for a special salary if you agree. At the same time you can learn the right way to make kimchi."

Sumpah, aku teruja! Tidak sangka peluang sebegini hadir dalam percaturan takdir hidupku.

"Betul ke ni omma?" soalku dengan penuh minat.

"Bila Bella boleh mula?" soalnya. Sebelah kening terangkat naik ke atas.

"Errr... when is the next class?"

Aduh, Bella! Nampak sangat kau ni tak sabar.

"In three hours time," jawab omma. "Bella boleh mula hari ini?"

"Boleh! Boleh sangat-sangat!" Dengan penuh semangat aku menjawab. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi bosan terperuk melayan perasaan di dalam apartment tu. Lagi tiga minggu baru kelas kat universiti tu akan bermula.

"That's really great, my daughter. Omma gembira Bella dapat mula bekerja hari ini."

My daughter? Apa maksudnya tu ye? Adakah dia memanggilku begitu kerana menganggap aku seperti anaknya? Ataupun panggilan itu merujuk kepada menantu? Adakah dia ibu kandung Danial Lee?

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now