INDAHNYA! Rumput-rumput yang hijau, langit yang membiru, bunyi air sungai mengalir yang mendamaikan jiwa. Di mana aku berada ni? Nak kata di dusun arwah tuk ayah, tak masuk akal pula. Dusun tu taklah secantik ni.
Aku melangkah dengan perlahan-lahan di bawah rimbunan pohon yang merendang sambil menikmati pemandangan yang sangat menenangkan ini. Mata kukecilkan sedikit apabila ternampak bayang seseorang di hadapan sana.
"Kak ngah!" jeritku dengan riang. Semakin jelas wajah itu dapat kulihat saat ini. Ya Allah, memang betul kak ngah ada di hadapan sana. Kak ngah pula tersenyum manis ke arahku. "Cantiknya dia."
Wajahnya berseri dengan sepasang kurung putih bersih tersarung cantik ke tubuhnya. Wajah jernih itu benar-benar membuatkan aku terpesona.
"Kak ngah... Bella rindu kak ngah. Umi dan kak long pun rindukan kak ngah. Danial tengah tunggu kak ngah. Kak ngah tahu tak, dia sangat cintakan kak ngah," ucapku dengan bersungguh-sungguh.
Aku lihat kak ngah tidak bersuara. Dia hanya tersenyum. Bersama senyuman yang manis itu, dia membuat isyarat mata supaya aku mengikutnya. Kaki terus mengekori langkah kak ngah, namun langkahnya itu terlaju untuk kukejar. Sesekali kak ngah berhenti dan menoleh ke arahku. Tangan kanan dihulurkannya, isyarat supaya aku terus mengikutnya. Senyumannya sentiasa mekar di bibir membuatkan aku semakin bersemangat untuk melangkah.
Akhirnya, kami tiba di suatu kawasan taman yang dipenuhi dengan bunga mawar. Aku memerhati buaian yang sangat cantik. Ada bunga menjalar di atasnya. Aku kembali memandang ke arah kak ngah yang kini berada begitu dekat denganku.
Pelik! Kenapa aku tidak mampu untuk berkata-kata? Kami hanya bertentangan mata, namun itu sudah cukup memuaskan hati aku. Terasa rindu yang kupendam sudah pun terubat saat ini. Senyuman kak ngah semakin lebar. Terus sahaja dia membuat isyarat mata supaya aku memandang ke sebelah kananku.
Danial Lee? Bagaimana dia boleh berada di sini? Aku menoleh semula ke arah kak ngah bersama tanda tanya, namun kak ngah masih tetap tenang dan tersenyum manis seperti tadi. Dia mengangguk perlahan-lahan kepadaku membuatkan aku keliru.
Aku ingin memeluk kak ngah, namun kakiku seakan-akan terpaku di bumi. Kak ngah pula kulihat lambat-lambat berlalu pergi. Aku ingin memanggil nama kak ngah, tapi suaraku tersekat di kerongkong. Ah, susahnya nak bersuara! Kepala kugelengkan laju. Kak ngah, tolong jangan pergi! Sesekali kak ngah menoleh dan tersenyum ke arahku. Aku hanya mampu menangis kerana aku tidak dapat menahan kak ngah pergi.
"Kak ngah!" jeritku dengan sepenuh hati dan serentak dengan itu juga aku terasa sakit di bahagian badanku.
"Adui...." Aku mengusap bahu kananku. Dengan perlahan-lahan aku membuka mata. Eh? Tadi, rasanya aku berjalan di bawah rimbunan pohon. Tapi, kenapa sekarang aku berbaring di atas lantai pula?
"Astaghfirullahalazim, Bella!" jerit umi. Kelam-kabut dia mendapatkan aku. "Kamu yang jatuh? Mati-mati umi ingatkan almari yang tumbang ke lantai tadi!"
Aku menenyeh mata. "Umi, mana kak ngah?"
Umi menggelengkan kepalanya. "Bella! Kamu mimpi apa sampai jatuh katil ni?"
Hah? Aku mimpi sampai jatuh katil? Patutlah sakit! Aku menyambut tangan umi dan bangun dari atas lantai. Kemudian dengan perlahan-lahan aku duduk di birai katil. "Umi... Bella mimpi arwah kak ngah."
"Itulah... tidur lagi petang-petang begini. Bella tahu, kan tak elok tidur lepas Asar?" bebel umi.
"Bella penat sangat tadi umi..." luahku. Kemudian mataku berlari pada wajah umi. "Umi pakai tudung cantik-cantik ni nak ke mana?"
"Umi nak ke kedai Pak Amat kejap. Nak beli tepung. Kan ke tadi Bella dengan kak long cakap nak makan cempedak goreng?"
Dengar sahaja perkataan cempedak goreng, aku terus bersemangat. Dengan pantas aku berdiri. "Kesiannya umi... biar Bella ajelah yang pergi."
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...