MAHLIGAI ke apa ni? Mataku mengitari segenap kawasan di dalam unit kondomimium ini. Luasnya! Ruang tamu sahaja sudah berganda-ganda besarnya daripada ruang tamu rumah teres dua tingkat yang kak long sewa sekarang. Nampak sangat mewah dan teratur. Benarlah kak long dah tersalah teka. Apa tadi? Lori sampah terbalik? Tongkang pecah?
Riuh suara kak long dan Mei Lian tidak lagi kuhiraukan. Lupa seketika yang aku berada bersama mereka dan dua orang tukang cuci. Aku memegang sofa yang kelihatan sangat empuk ini. Bersih dah tidak berhabuk. Nak cuci amendenya?
Kata kak long, ini adalah antara kondominium mewah yang paling mahal di Malaysia. Sekarang, apabila aku menjejakkan kaki ke sini, barulah aku sangat setuju dengan fakta itu. Patutlah kawalan untuk masuk ke sini pun sangat ketat tadi. Kami bernasib baik kerana mempunyai pas masuk dan kunci. Jika tidak, pasti penat menjawab pertanyaan pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk tadi.
Bagai dipukau, kakiku terus menjelajah sekitar kawasan ruang tamu ini. Aku mendongakkan kepala ke atas. Anak mata melekat pada candelier kristal yang moden rekaannya, tergantung kemas di atas siling.
Kemudian, pandangan mata jatuh pada susun atur kawasan ruang tamu ini. Tanpa sedar, kaki yang melangkah kini berada rapat pada dinding kaca. Pandangan kuhalakan ke arah balkoni di luar. Setiap unit kondominium mempunyai kolam renang di balkoni. Niat untuk menjelajah ruang balkoni terbantut apabila kak long memanggil namaku.
"Bella..."
"Ye, kak long!"
Aku menoleh ke kawasan sekeliling. Aik! Mana perginya semua orang? Nampaknya mereka sibuk dengan tugasan masing-masing. Aku melangkah ke sebelah kanan, ke arah suara kak long bergema tadi. Mata pula tidak habis-habis memerhati ruang dalam unit kondominium ini yang sangat mempesonakan. Aku pernah menjejakkan kaki ke kondominium mewah rakan-rakanku di Malaysia dan juga di Seoul, tetapi tempat ni berkali ganda mewahnya. Mewah sedikit daripada kondominium teman sekampusku yang kaya raya, yang letaknya di Gangnam, Seoul.
Tanpa sedar, aku sudah sampai di dapur. Kalaulah aku dapat dapur macam ni, mesti cukup setahun aku boleh bergelar chef gara-gara rajin memasak. Mataku bergerak dari lantai yang berkilauan ke arah kabinet dinding dan kemudiannya mendarat pada wajah kak long. Pintu peti sejuk dibuka oleh kak long dengan selamba. Aku pula yang cuak.
"Bella, tiga-tiga plastik kubis panjang tu kak long letak kat sini tau." Kak long menuding ke arah plastik-plastik TESCO yang terletak kemas di dalam peti sejuk.
Sumpah, aku tak sedap hati! Kenapa gelisah sangat ni? "Emmm... Bella rasa tak perlu kut letak dalam peti sejuk. Bella bawak semua kubis ni balik, okey?"
Namun, kak long menggelengkan kepalnya. Pintu peti sejuk ditutup rapat.
"Bella... kawasan ni susah dapat teksi. Janganlah buat kak long risau. Kejap lagi kak long hantar Bella balik," pujuk kak long.
Apa lagi nak dikata? Aku meraupkan wajah berulang kali. Kenapa gelisah benar hatiku ni?
"Salina..."
Kami sama-sama menoleh ke kanan.
"Yes, Mei Lian..." jawab kak long.
"Ini adik you ke?"
Soalan Mei Lian kak long jawab dengan anggukkan.
Pantas aku menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengannya.
"Ha... yes. Yes! Tak sempat nak kenalkan tadi." Kak long merangkul bahuku. "She is Bella. Twenty two years old. Engineering student in Seoul."
Amboi, formalnya kak long! Aku tertawa melihat telatahnya itu.
"Wah... sudahlah cantik, bijak pulak tu. Beauty with brain. Pandai buat kimchi lagi."
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...