Bab 6

2.9K 28 0
                                    

"CUKUP tak banyak ni, Bella?" Buntang mataku memerhati troli yang penuh diisi dengan sayur kubis. Tak kurang dua puluh biji semuanya. Kedua-dua belah tangan memicit kepala yang sudah mula berserabut. Dah aku agak perkara macam ni pasti akan terjadi. "Kak long! Bukan kubis bulat ni la. Kita perlukan baechu untuk buat kimchi!"

Lekas-lekas aku memandang ke sekeliling kawasan pasar raya ini. Nasib baik kawasan ini lengang dan tidak ada yang memerhati.

Kak long buat muka pelik. "Baechu? Apa tu?"

Pap! Dahi kutepuk perlahan. Aku pun satu! Manalah kak long faham bahasa Korea!

"Sorry... maksud Bella napa cabbage atau kita panggil kubis panjang. Baechu tu maknanya kubis panjang dalam bahasa Korea."

Kak long hanya menganggukkan kepalanya beberapa kali.

Aku mencapai sepeket besar ikan bilis yang terletak di rak sebelah kanan dan kumasukkan ke dalam troli. Kemudian, aku menoleh ke rak di sebelah kiriku pula. Anak mata berlari ke arah deretan botol pelbagai jenis sos. Yes, dah jumpa! Sos ikan bersaiz besar kucapai dan kuletakkan di dalam troli.

"Ooo... kubis panjang. Kubis ni tak boleh ke, Bella? Kesian kak long, penat angkut kubis-kubis ni masuk dalam troli tadi."

Ada nada malas yang dapat kukesan dalam suara kak long. Mata yang tadinya melekat di dalam troli kini menjegil ke arah kak long. Terus kak long tersenyum sumbing. Tahu takut!

"Bella tak nak ambil risiko guna kubis ni, kak long. Memanglah kat Korea tu ada bermacam-macam jenis kimchi. Lain musim, lain jenis kimchinya. Setiap tempat di Korea Selatan tu ada cara membuat kimchi yang tersendiri." Panjang lebar aku membebel.

Kak long terus menganggukkan kepalanya seperti spring.

"Tapi, Bella hanya tahu resepi yang Soo Jin Ahjumma ajar aje. Kak long, kita perlukan kubis panjang untuk buat kimchi ni. Bukan kubis bulat," tegasku.

Sudahlah kepalaku sangat kusut kerana terpaksa buat kimchi, kak long pula pandai-pandai tukar bahan yang perlu digunakan. Wajah aku yang serius terus diusap oleh kak long sambil tersengih lebar.

"Olo olo olo... marah pulak! Ampun adikku. Janganlah marah-marah. Bella tahu tak, kalau Bella garang-garang macam ni, sampai ke tua la Bella membujang," usik kak long sambil tertawa kecil.

"Bella muda lagilah, kak long! Kak long tu yang kena fikir pasal jodoh," kataku dengan selamba. Lidah kujelirkan sedikit ke arah kak long. Memang betul aku tidak pernah fikir tentang jodoh. Bukan tak mahu, tetapi rasanya belum perlu lagi.

Kak long dah mula buat muka duck face.

"Senyumlah sikit." Aku mencubit perlahan pipinya.

"Kak long... kak long tak takut ke kalau Bella rosakkan majlis tu dengan kimchi buatan Bella nanti?" Akhirnya terluah juga apa yang terbuku dalam hati.

Tiba-tiba kak long bergerak ke arah troli. Seperti tidak berminat dengan apa yang sedang aku katakan. Aku hanya memerhati gadis yang beza umurnya lima tahun daripadaku itu memegang troli dengan kedua-dua belah tangannya.

"Bella... Bella! Janganlah merendah diri sangat."

Merendah diri? Adoyaiii... ini bukan masalah merendah diri kak long oi!

"Kak long sentiasa confident dengan Bella. Kak long yakin 200% Bella boleh buat kimchi yang paling sedap di dunia."

Boleh pengsan aku mendengar kak long 'mengipas' aku. Orang serius ni, dia main-main pulak! Belum sempat aku bersuara, kak long menolak troli menjauhi aku sedikit.

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now