SEBAIK sahaja melangkah masuk ke kawasan yang sangat luas ini, bunyi paluan buk ataupun barrel drums bergema kuat, bagaikan menyambut kedatanganku ke sini.
Dalam rasa sedikit janggal kerana mengenakan hanbok di badan, terselit juga rasa seronok di hati. Bukan aku seorang sahaja yang memakai hanbok malah kebanyakan wanita yang membuka gerai di sini juga memakai pakaian tradisional Korea ini. Melihat ramai pelancong yang datang ke Hanok Traditional Village ini membuatkan aku tersenyum lebar.
Jam di tangan kujeling sekilas. Alamak! Lagi lima minit nak pukul lapan pagi. Aku berlari-lari anak ke arah pavilion. Mata meliar mencari gerai kimchi. Mengikut kata omma, gerai kimchi itu terletak betul-betul dalam kawasan rumah tradisional yang letaknya berhadapan dengan sungai kecil dan pavilion. Dah jumpa! Tanpa memandang ke hadapan, aku terus berlari. Namun, tiba-tiba sahaja bahuku terasa seperti dilanggar oleh seseorang.
"Auch!"
Malaun mana yang langgar aku ni? Sambil menggosok bahagian kiri bahu, aku mendongakkan kepala. Danial! Desis hatiku. Tergamam aku.
Mata aku dan lelaki ini bertentangan untuk seketika. Terimbas kembali kali pertama aku berjumpa dengan lelaki ini dulu. Bertembung begini juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. Cuma bezanya, kali ini Danial Lee seperti terpaku melihat aku. Tiada lagi renungan tajam seperti kali pertama dulu. Dengan sut kelabu di badan, lelaki ini kelihatan kacak dan maskulin. Aku lihat matanya bulat merenung ke dalam mataku. Hah! Apakah pula percaturan takdir aku kali ini?
"Errr... maaf. Saya dah lewat."
Baru sahaja setapak melangkah pergi, tangan kananku disambarnya. Dengan tidak semena-mena lelaki ini memegang bahagian atas bajuku, membuatkan aku kaku. Berombak dadaku ketika ini. Baru sahaja ingin menolak lelaki ini, aku tersedar yang tali pada bahagian atas hanbokku sudah longgar ikatannya dan hampir terlerai. Danial Lee sedang mengikatnya semula dengan cermat dan teliti.
"Danial... is everything okay?"
Kelam-kabut aku menoleh ke belakang. Bagaimana aku tidak sedar yang Danial Lee bukan keseorangan di sini? Ada dua orang mat salih sedang menanti Danial Lee. Apakah syarikat Danial Lee juga terlibat sama dengan program pada hari ini?
"Yes. Let's go now or else we gonna be late." Sahut Danial Lee sambil menganggukkan kepalanya kepada dua orang mat salih tadi.
Matanya sekali lagi merenung ke dalam mataku. Serius. Seperti ingin memberitahu sesuatu. Aku yang sudah terpesona dengan lelaki ini hanya mampu membalas renungannya sahaja. Benar, ada rindu yang menggunung buat dia.
Tanpa berkata walaupun sepatah, dia kemudiannya berlalu bersama rakan-rakannya meninggalkan aku termangu-mangu seorang diri dengan debaran yang menggila.
*****
AH, 'masak' aku! Gara-gara mahu bersembunyi daripada lelaki itu, aku terperangkap di dalam rumah tradisional Korea atau dikenali sebagai hanok ini. Celarunya hati. Dalam rasa ingin melarikan diri daripadanya, terselit rasa rindu yang menggila. Memang aku sudah tidak waras!
Hanbok yang sudah pun berkedut di badan kupandang dengan pandangan yang kosong. Terbayang di fikiran saat lelaki itu menggenggam lenganku pagi tadi dan saat dia mengikat tali pada bahagian atas hanbok yang hampir terlerai. Kenapa setiap sentuhannya bisa membuatkan jantungku berdetak hebat? Kenapa wajah kacak itu semakin mengganggu fikiranku?
No, Bella. No! Untuk apa terkejar-kejar seseorang yang hatinya pada perempuan lain? Aku mengeluh perlahan. Letihnya. Nak baliklah! Dah nak dekat senja ni. Mesti lelaki itu sudah pun pulang ke rumahnya.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...