KETUKAN pada pintu hadapan bergema lagi membuatkan jantungku hampir luruh. Peluh yang membanjiri ruang dahi kuseka dengan tangan kanan. Tadi, bersusah payah aku dan Danial Lee cuba membuka pintu belakang, tetapi tidak jadi berbuat demikian apabila mendengar suara orang di belakang rumah. Tahulah aku rumah pak su ini sudah pun dikepung. Akibat terlalu gementar, aku terus melarikan diri ke dalam bilik air ini.
"Siapa kat dalam tu? Baik bukak pintu ni sebelum kami pecahkan!"
Dapat kudengar suara seseorang menjerit di luar sana. Itu suara Mat, anak saudara ketua kampung. Serta-merta aku menjadi sebak. Ketar lututku saat ini. Ya Allah... janganlah pegawai pencegah maksiat datang sekali. Kalau tidak, di mana keluarga aku nak letak muka? Terbayang wajah umi ketika ini. Sebak di dada sudah tidak dapat kutahan lagi. Air mata berlinangan membasahi pipi.
Ya Allah, sesungguhnya aku telah pun melakukan kesalahan yang amat besar malam ni. Aku memohon ampun kepadaMu. Aku berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramku di dalam rumah kosong. Aku telah melampaui batas.
Tolonglah Ya Allah... aku takut kalau umi dapat malu. Tolonglah tutup aibku. Kalau kena tangkap khalwat, mesti kecoh satu kampung nanti. Biar berbelas tahun berlalu pun orang kampung masih tetap akan mengata. Kalau betul jodohku dengan Danial Lee pun, janganlah dengan cara yang memalukan begini. Sekalipun memang aku terpaksa menurut permintaan arwah kak ngah, biarlah tanpa mengaibkan keluarga.
Apabila terdengar suara orang bercakap di luar sana, aku terus membuka pintu bilik air dengan perlahan-lahan dan mula memasang telinga.
"Ya Allah, Danial! Mati-mati pak su ingatkan ada pencuri masuk ke dalam rumah ni tadi."
"Mana ada pencuri, pak su." Danial bersuara.
"Terima kasih Mat, Ali dan Nordin. Korang boleh balik. Bukan penyangak yang panjat masuk rumah Pak Man... tapi Danial yang balik."
Lekas-lekas aku menyeka air jernih yang berjuraian di wajah sebaik sahaja mendengar kata-kata pak su itu. Lega sedikit rasa hati saat ini apabila pak su menyuruh mereka balik.
"Tapi... saya nampak ada dua orang tadi, Pak Man. Itu yang saya beritahu pada Ali dan Nordin. Kemudian kami maklumkan kepada Pak Man."
Suara tidak puas hati Mat bergema saat ini membuatkan jantungku bergendang dengan laju kembali. Agak-agaknya, Mat nampak tak muka aku?
"Sumpah, saya tak menipu. Lama mereka berdiri depan pintu ni sebelum masuk ke dalam," sambung Mat.
"Lelaki ke perempuan?" tanya pak su dengan tegas.
"Itu saya tak pasti sebab saya pun tertinggal cermin mata di rumah. Tapi, saya memang nampak ada dua orang. Mati-mati saya ingatkan diorang pecah masuk rumah Pak Man."
Aku mengurut dada berulang kali. Nafas lega kuhembuskan dengan perlahan-lahan. Nasib baik Mat tidak nampak dengan jelas.
"Pecah masuk amendenya? Pak Man memang bagi kunci pada Danial. Itu yang Danial boleh masuk ke dalam. Satu lagi, mata kamu tu rabun. Seorang pun boleh nampak dua orang!" bidas pak su.
"Mungkin jugak saya salah tengok," akui Mat.
"Kamu tengoklah kat dalam ni. Mana ada orang. Sudah... kamu balik aje. Kamu silap tengok tu Mat. Maklumlah... gelap. Danial ni satu-satunya anak Pak Cik Dani. Tak mungkin dia bawak orang lain pulak masuk ke dalam rumah ni," kata pak su dengan panjang lebar.
Dari gayanya tu, aku tahu dia sedang menghalau mereka pergi.
"Ehem! Betul tak Danial?"
Soalan pak su yang ini benar-benar membuatkan aku kecut perut. Entah kenapa, dari nada suaranya tu aku tahu pak su juga sebenarnya tidak berpuas hati saat ini.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...