Bab 12

2.7K 31 0
                                    

HARI ini merupakan hari yang sangat menggembirakan sepanjang dua minggu aku berada di Malaysia! Mood aku berada di tahap yang paling baik kerana aku akan bertemu dengan umi kesayanganku sekejap lagi. Siapa kata perlu bercinta dengan seorang lelaki untuk merasa sakitnya merindu? Rasanya semenjak kakiku ini jejak bumi Malaysia kira-kira dua minggu yang lepas, baru hari ini terasa damainya jiwa tinggal di bumi bertuah ini.

Aku menoleh ke arah kak long yang sedang menutup pintu kereta. Hampir penuh ruang parkir di kawasan ruang terbuka ini. Nasib baik ada tempat untuk kak long meletakkan keretanya di sini. Aku memandang ke arah bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang berada di seberang jalan sana. Nampaknya agak sesak juga. Mungkin banyak pesawat yang tiba dari destinasi tempatan dan luar negara pada waktu ini.

"Amboi! Nampak macam dah tak sabar-sabar nak masuk dalam bangunan tu," tegur kak long yang sudah pun berdiri betul-betul di sebelahku.

"Mestilah! Umi kesayangan Bella sampai hari ini..." balasku sambil tersengih ke arahnya.

"Manja!" gumam kak long.

Aku menjelirkan lidah ke arahnya.

"Of course manja! Bella, kan anak bongsu," kataku dengan bangga.

"Ye la tu..." sahut kak long.

Kak long terus melangkah ke hadapan dan aku terkocoh-kocoh mengejar langkahnya. Kami kemudiannya menyeberang jalan bersama-sama.

"Bella... terima kasih tau sebab sudi tolong kak long buatkan kimchi tu."

Dah banyak kali sangat kak long berterima kasih kepadaku. Aku tersenyum sumbing. " Sama-sama. Dah selesai pun."

Aku menarik nafas lega. Bolehlah aku bercuti dengan hati yang tenang tanpa perlu berfikir tentang kimchi itu lagi.

Aku meliarkan pandangan sebaik sahaja masuk ke dalam bangunan yang berhawa dingin ini. Hui... ramainya manusia! Ada yang sedang menggalas beg, ada yang sedang menarik beg dan ada yang sedang menunggu ketibaan seseorang. Pendek kata macam-macam gaya ada di sini. Yang duduk di atas beg pun ada. Jangan jatuh sudahlah. Aku tersenyum lucu.

Aku dan kak long terus melangkah ke balai ketibaan domestik. Umi pulang ke Malaysia bersama pesawat Emirates Airlines yang mendarat di Kuala Lumpur International Airport pagi tadi. Dari sana umi, pak su dan mak su naik Malaysia Airlines ke Pulau Pinang.

Niat di hati mahu menunggu betul-betul di hadapan balai ketibaan. Biar umi keluar aje dari situ, terus nampak wajah aku dan kak long. Namun, niatku terbantut untuk seketika. Kakiku kini bagaikan dipaku pada bumi. Mata tunak memandang seorang lelaki yang duduk di atas salah sebuah kerusi yang letaknya betul-betul di hadapan balai ketibaan. Mata kukecilkan sedikit. Isy, Bella... kau ni dah kenapa? Semua orang yang kau tengok nampak macam dia? Mata kutenyeh berulang kali. Kemudian aku memandang ke arah yang sama semula. Memang dia la!

"Jom... umi dah nak sampai ni," kata kak long yang sudah pun berada beberapa tapak di hadapanku.

Geram pulak aku! Kat mana aku ada, kat situ jugalah 'si badigol' ni ada!

"Kak long... kak long nampak tak apa yang Bella nampak?" Aku menuding kepada lelaki itu.

Kak long melihat ke arah jari kutuding. Terlopong besar dia. Nasib baik tak ada lalat!

"Nampak tak?"soalku lagi.

"Na... nampak!" Pantas kak long menganggukkan kepalanya.

"Kak long... kenapa la dengan bos kak long ni?! Mana Bella ada, kat situ jugak dia muncul!" Aku menggaru kepala yang tak gatal. Baru aje nak rasa aman, damai dan tenteram tadi. Alih-alih ada pulak yang kacau daun!

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now