Bab 15

2.7K 29 0
                                    

SEDAPNYA rezeki yang Kau kurniakan kepadaku hari ini. Kembungnya perut menandakan aku sudah terlebih makan tika ini. Pergh... masakan umi memang sedap. Benarlah kata orang, tidak ada siapa yang dapat menandingi air tangan ibu. Pergilah ke restoran yang paling mahal sekalipun, tetapi masakan ibu yang paling menepati selera kita. Bukan senang kut nak rasa semua ni. Maklumlah, aku nikan menetap jauh di perantauan.

Seekor lagi ketam kusendukkan ke pinggan. Dengan penuh selera aku menjamah makanan yang tersedia di hadapan mata. Kalau bukan kerana lelaki itu, tidaklah perutku terpaksa menunggu selewat ini untuk diisi. Gara-gara tidak selesa dengan bermacam-macam rasa yang terpalit di hati tadi, aku terus menguncikan diri di dalam bilik sebaik sahaja menyuruh lelaki itu ke dapur. Bukan apa, aku memang tidak selesa hendak makan bersama 'samseng' itu tadi. Tambahan pula setelah mendengar luahan rasa dia tu.

Tapi, kan... agak tak masuk akal seseorang seperti dia, yang nampak sangat keras hati dan egoistik boleh meluahkan perasaan begitu. Aku terhenti mengunyah nasi seketika.

Wah... hebatnya arwah kak ngah. Mampu menundukkan seorang lelaki seperti dia. Sebaris senyuman muncul di bibir dan serentak dengan itu juga lenganku ditampar oleh seseorang. Aku terus mendongakkan kepala bersama mulut yang masih penuh dengan makanan. Umi sedang menjegil ke arahku. Terus aku mencapai gelas berisi air oren di atas meja dan kuteguk sedikit.

"Kamu ni memang peliklah, Bella. Tadi masa orang tengah makan, kamu berkurung kat atas tu. Bila kak long panggil, kamu cakap kamu pening kepala. Tapi, belum pun lima minit diorang tu balik, kamu dah tercongok kat dapur ni. Bukan main selera pulak tu menjamah makanan."

Alamak! Umi dah mula membebel. Mana tidaknya, pinggan nasi berisi seekor ketam yang sempat kusenduk tadi kutinggalkan begitu sahaja dan kemudian aku berkurung di dalam bilik.

"Pening kepala kamu tu dah hilang agaknya," perli umi setelah dilihatnya aku diam tak berkutik.

"Memanglah tadi Bella pening kepala. Tapi, sekarang dah okey." Aku tersengih kepada umi.

"Ada-ada aje kamu ni. Yang kak long kamu tu pulak umi tengok macam ada masalah aje. Dari tadi sepatah umi tanya, sepatah aje jawapannya. Kalau selalu tu, bukan main riuh lagi mulutnya tu bercerita itu dan ini."

Umi mengadu pasal kak long pula. Bukankah orang yang paling banyak cakap itu akan jadi pendiam apabila jiwanya kacau? Semuanya kerana umi nak kahwin lagi.

"Eh, ye ke? Bella tengok kak long tu okey aje. Umi jangan risaulah," jawabku. Tidak mahu umi risau. Sememangnya semenjak tadi kak long kulihat memuncung aje. Mulutnya yang selalu riuh tu dah bisu agaknya.

"Umi kenal anak-anak umi. Dua-dua pelik semacam hari ini. Tak tahu apa masalah dengan kamu berdua ni," keluh umi dengan wajahnya yang sugul.

"Mana ada masalah, umi. Cuma..." Mulalah aku mencari alasan. "Ehem... cuma Bella kurang selesa dan malu sikit dengan Pak Cik Dani dan Danial. Maklumlah, baru kenal... kan."

Umi ketawa kecil. Wajahnya yang sedikit sugul kini ceria kembali. "Oh... jadi sebab itulah kamu berkurung kat atas tu tadi?"

"Ye... ye, umi"

Memang betul. Aku masih tidak selesa dan sedikit malu dengan mereka. Cuma alasan itu bukanlah penyebab utama aku berkurung di atas tadi. Tapi, takkanlah aku nak beritahu cerita sebenar pulak. Tentang luahan rasa Danial Lee dan bagaimana aku juga turut sama terbabit. Memang tak la!

"Umi ingatkan sebab apa la tadi. Kalau macam tu, lega sikitlah hati umi. Malu tu memang sifat orang perempuan dan sebahagian daripada iman. Umi mahu anak-anak umi jadikan sifat malu sebagai perisai daripada melakukan maksiat. Tapi, jangan pula malu tak bertempat. Malu bertanya tentang ilmu jika kamu tidak tahu, malu nak tanya tentang ibadat yang kamu tak pasti. Itu malu yang dicela."

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now