"MAYA... don't ever leave me... because I can't breathe without you around."
Ah, parah! Tiga jam aku di sini, entah berapa juta kali rintihan hiba Danial Lee di dalam kereta tadi terngiang-ngiang di telinga. Linangan air mata seorang lelaki yang sangat tegas personalitinya dan nampak gagah fizikalnya tadi benar-benar membuatkan aku tidak dapat berfikir dengan waras saat ini.
Aku menghela nafas berat. Tubuh kuregangkan sedikit. Letihnya. Maklumlah, sudah tiga jam aku berada di lobi hospital ini. Semuanya kerana aku ingin memastikan keadaan lelaki itu.
"Cik Bella? Masih di sini?"
Aku terus mendongakkan wajah. Pemandu Danial Lee rupa-rupanya.
Bagai spring aku bangun dari duduk dan berdiri di hadapannya. "Yes, I'm still here encik... errr..."
"Mohd Hakimi. Panggil aje Abang Kimi," ujar lelaki hitam manis ini bersama senyuman.
"Abang Kimi... macam mana keadaan Danial?"
"Sir Danial dah stabil. Dia ada di VVIP suite, Room A-1, tingkat 8. Kata doktor, dia mengalami kejutan anafilaksis, iaitu reaksi alahan yang teruk dan boleh mengancam nyawa kalau tak dirawat dengan cepat. Mujurlah keadaannya tidak serius."
Aku hanya menganggukkan kepala. "Oh...."
Anafilaksis? Apesal pelik sangat bunyi penyakit tu? Tergeliat lidah nak menyebutnya. Otak cuba mengingati jenis penyakit itu dan juga nombor biliknya.
"Nasib baik kita cepat bawak dia ke sini tadi," tambah Abang Kimi yang kulihat kalut mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluarnya.
Berkerut sedikit kulihat wajah lelaki ini sebaik sahaja matanya dilemparkan ke arah skrin telefon bimbitnya itu.
"Thanks to you. Abang Kimi pandu kereta tadi, sebijik macam Kimi Raikkonen! Nama pun sama." Aku ketawa kecil. Ringan sedikit rasa kepala apabila dapat berbual saat ini.
"Oh, memang! Dia tu kembar lain mak, lain bapak dengan Abang Kimi," selorohnya.
Kami sama-sama ketawa kecil.
"Emmm... Cik Bella."
Aku terus memandang wajah Abang Kimi.
"Cik Bella kenal tak dengan arwah..."
"Arwah Sumayya tu kak ngah saya."
Abang Kimi menganggukkan kepalanya beberapa kali. "Patutlah ada iras. Hampir sama."
Aku rasa tidak selesa apabila Abang Kimi ralit memerhati wajahku. Nampaknya, Abang Kimi juga mengenali arwah kak ngah.
"Okey la, Cik Bella. Abang Kimi ada tugas lain nak diselesaikan," beritahunya dengan tenang, namun dapat kulihat dengan jelas gerak-gerinya yang sedikit kalut itu. Seperti mengejar sesuatu.
"Okey." Aku mengangguk perlahan.
"Assalamualaikum," pamitnya lalu terus melangkah pergi.
"Waalaikumussalam..." jawabku perlahan.
Aku menghantar pemergian Abang Kimi dengan pandangan pelik. Tiba-tiba sahaja aku teringatkan sesuatu. Alamak! Terus aku mengejar langkah Abang Kimi yang sudah semakin jauh. Tidak kupedulikan lagi keadaan ruang lobi yang sedikit sibuk ini. Lupa pula hendak kutanyakan kepadanya tadi soalan yang paling penting. Danial Lee alergi terhadap apa?
Namun, langkah kaki yang laju mengejar tadi, terhenti seketika. Aku mengerutkan dahi apabila ternampak kelibat seorang perempuan yang sedang melangkah ke arah Abang Kimi. Mata kufokuskan ke arah perempuan yang anggun dengan sut berwarna coklat di tubuhnya itu.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...