AKU tidak tahu apa perasaanku saat ini. Tidak mampu untuk menangis, tetapi tidak juga mampu untuk tersenyum. Punggung kulabuhkan di atas bangku kayu ini. Pandangan kuhalakan ke sawah padi yang menghijau di hadapanku. Jenuh aku cuba memaniskan wajah di hadapan semua orang tadi. Tidak mahu orang membuat tanggapan yang bukan-bukan pula terhadap pernikahan ini.
Majlis dijalankan dengan sangat ringkas. Mak su ada sewakan baju dari butik pengantin, namun aku menolaknya dengan sopan. Tak nak la aku pakai baju berlabuci bagai. Takde mood. Hanya baju kurung putih kosong dari fabrik satin yang menjadi pilihanku. Baju raya tahun lepas yang sempat aku pakai hanya sekali. Danial Lee pula memakai baju Melayu satin berwarna putih. Tak tahu pula dari mana dia songlap. Mak su yang sewakan kut. Dan dengan sekali lafaz aku telah pun menjadi isteri orang. Aduhai... susah giler kut nak telan fakta itu.
Angin petang nampaknya tidak mampu untuk menenangkan hatiku yang semakin runsing. Ucapan tahniah daripada orang kampung yang hadir tadi tetap tidak mampu merawat keretakan di hati. Kenapa mesti begini? Ah, Bella! Tak payah fikir. Semuanya tetap akan seperti dahulu. Aku tetap juga Bella yang dulu. Tidak ada apa yang akan berubah.
Mereka harus faham yang aku perlukan masa. Lelaki itu pun nampaknya tidak dapat menerima aku. Kalau tak kerana dia menarik lenganku ke rumah pak su, semua ini tidak akan terjadi. Aku tidak akan dinikahkan secepat ini.
Bella, lambat-laun kau tetap juga akan berkahwin dengan Danial. Walaupun bukan sekarang, mungkin nanti-nanti. Seluruh keluarga inginkan kau bersama dengan Danial. Danial itu pilihan umi dan bukankah pilihan seorang ibu itu adalah pilihan yang terbaik, selalunya? Secara tak langsung kau juga telah menunaikan harapan arwah kak ngah. Tidakkah aturan takdir ini yang terbaik untukmu?
Kepala cepat-cepat kugelengkan. Apa pun alasannya, aku masih tidak bersedia! Danial Lee juga masih tidak boleh lupakan arwah kak ngah. Mana mungkin gadis biasa seperti aku boleh menggantikan tempat ratu hatinya itu? Kenapa semakin jauh kami cuba berlari menjauhi diri masing-masing, tetapi semakin rapat takdir menemukan kami? Aku tidak puas hati.
"Bella... buat apa kat belakang ni?" tegur kak long.
Terus sahaja aku mengangkat wajah. "Kak long...."
Kak long melabuhkan punggungnya di sebelahku. Terus aku memeluk kemas tubuh kak long. Serta-merta aku rasa sebak lalu air jernih berlinangan membasahi pipi. Aku sudah cuba sedaya upaya untuk keraskan hati dan berlagak selamba supaya tidak ada yang bersimpati dengan aku, terutamanya lelaki itu. Tetapi di hadapan kak long... aku tewas juga.
"Bella... I'm sorry. For what you are going through now... I'm really sorry," bisik kak long sambil mengusap perlahan kepalaku.
Aku menghamburkan tangisan dengan semahu-mahunya dalam dakapan kak long. Selepas menyeka air jernih di ruang mata dan memastikan tidak ada sisa tangis di wajah, aku terus meleraikan pelukan. Nafas kutarik dalam-dalam sebelum bersuara. "Kenapa agaknya arwah kak ngah tulis nama Bella dalam surat tu? Kenapa bukan nama kak long?"
"Bella... kan ke kak long dah bertunang masa tu? Takkanlah arwah nak tulis nama kak long pulak?"
"Ye tak ye jugak..." gumamku.
"Kalaulah kak long tak bertunang masa tu, confirm arwah tulis nama kak long. Bestnya dapat suami hot and spicy! Kalau Mei Lian dan staf-staf lain tahu Danial dah kahwin, memang menangis tak berlagulah diorang."
"What? Hot? Spicy ada la! Mulut dia tu... memang spicy sangat! Kalah cili api!" bidasku.
Kak long tertawa kecil. Tanganku digenggamnya lembut. "Bella... I know this is hard for you. Tapi, kak long rasa lega sebab Bella kahwin dengan Danial."
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...