TING TONG! Ting tong!
Tidak kutahu berapa kali loceng rumah berbunyi. Eee... geramnya. Melampau betul tekan loceng rumah orang banyak kali. Ingat orang kat dalam rumah ni pekak ke?
Terus aku mencapai tudung yang tersangkut di atas kerusi dan dengan malas aku mengatur langkah ke arah pintu.
Cahaya matahari pagi yang menyambar wajah benar-benar menyegarkan aku, tetapi apabila terpandang wajah lelaki itu, aku menjadi rimas! Lelaki itu tersenyum lebar memandangku.
Dada kuurut berulang kali sebelum melangkah keluar ke arah pintu pagar. Nasib baik pintu pagar besi itu berkunci. Memang menguji kesabaran betullah!
Apabila Encik Faris berkeras untuk menghantar aku dan rakan-rakan pulang semalam, aku memang tidak sangka perkara ini akan terjadi. Siapa sangka dia seberani dan semereng ini? Sudah puas aku menolak pelawaannya semalam, namun aku tidak dapat berbuat apa-apa apabila Miza dan Aini memaksa aku untuk ikut sekali.
Lagipun, semasa pulang semalam, memang susah untuk dapatkan teksi kerana waktu tersebut adalah waktu orang ramai pulang dari pejabat. Tambahan pula apabila Encik Faris berjanji untuk hantar aku dahulu sebelum Miza dan Aini. Tanpa berfikir panjang, aku pun menaiki keretanya untuk pulang ke rumah.
"Encik Faris nak apa ni?" soalku dengan perlahan. Tudung bawal yang lintang-pukang keadaannya di atas kepala kubetulkan sedikit.
Encik Faris tersenyum sambil memandang wajahku. "Saya nak awak."
Alahai... kenapalah ada manusia yang tak faham bahasa macam Encik Faris ni kat atas muka bumi ni?
"Encik Faris... seriously, why are you here?" Aku memandang tepat ke rumah pak imam di hadapan sana. Janganlah dia nampak aku dan Encik Faris di sini.
Encik Faris terus merapatkan dirinya pada pintu pagar yang berkunci. Kedua-dua belah tangannya memegang kemas besi pintu pagar ini. Gayanya macam dalam penjara pulak. "Saya nak tengok wajah awak. I miss you so much, Bella."
Tahulah aku yang aku sudah buat satu kesilapan yang besar. Aku tidak seharusnya merahsiakan tentang status diriku. "Encik Faris tak boleh macam ni."
Ada riak tak puas hati dapat kukesan pada wajahnya.
"Why is that so? Saya bukan nak buat apa pun. Saya cuma nak ziarah awak aje. Nak pastikan awak okey. Salah ke?"
Aku terdiam seketika. Nafas kutarik dalam-dalam. Aku tidak mahu lagi merahsiakan status diriku. Takut nanti memakan diri. Aku mahu berterus terang yang aku, perempuan yang dikejarnya ini, yang dipujuk rayu dengan madah cinta dan rindu ini adalah isteri orang.
"Encik Faris... saya harap sangat encik dapat lupakan saya sebab salah di sisi Islam untuk memuja seorang perempuan yang bergelar..."
Kelu terasa lidah saat ini. Tunak mataku memandang kereta Maserati yang berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar ini. Danial! Jerit hatiku. Bila agaknya dia pulang dari Jakarta?
"Encik Faris... tolonglah pergi." Kalut aku merayu kepada Encik Faris, namun lelaki yang kelihatan sangat tenang ini mengerutkan wajahnya.
"Siapa tu?"
Soalannya tidak sempat untuk aku jawab apabila Danial Lee yang kemas dengan sut hitam di badan keluar dari bahagian belakang kenderaan. Serentak dengan itu juga jantungku berlari laju. Masalah besar ni! Baru nampak bayangnya, aku sudah gelisah. Belum lagi dia buka mulut. Lelaki yang kelihatan sangat berkarisma itu kulihat melangkah dengan penuh gaya.
"Hi, Bella! It's ten a.m and you're still here! Unbelieveable! Don't you know Juwita has been waiting for you since nine a.m?"
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...