ERGH! Geramnya!
Kalau tak kerana umi, memang malas aku nak turun ke bawah. Bantal yang kupeluk kubaling dengan geram ke atas lantai. Kata kak long, umi ajak Pak Cik Dani dan 'samseng' itu makan tengah hari di sini. Isy, muka tak malu! Bukan dia tak tahu yang aku ni berbulu gila dengan dia tu. Berani ya dia datang ke sini?
"Bella!" jerit kak long dengan geram dan serentak dengan itu juga bantal hiasan berbentuk hati yang berada di tangannya dibaling ke arahku.
Pap! Tepat terkena pada wajah!
"Isy! Apa ni kak long? Sakit tau tak?" Aku menyeringai geram. Kak long ni, main baling-baling bantal pulak! Comforter yang menyelimuti tubuh kutarik hingga ke paras dada.
"Tolonglah turun, Bella. Lunyai dah lengan kak long ni kena cubit dengan umi."
Lengannya ditunjukkan kepadaku bersama wajahnya yang sugul. Umi akan mencubit jika dia tidak puas hati dengan kami. Jari macam ketam!
Aku tertawa kecil. "Ololo... kesiannya. Tapi, Bella malas la nak turun kak long."
Aku masih lagi berbaring. Kedua-dua belah tapak kaki yang berada di hujung katil kugoyangkan ke kiri dan ke kanan. Dengan selamba aku berkata. "Suruh ajelah diorang makan dulu. Kan ke meja yang kak long beli tu muat-muat untuk enam orang aje."
Majalah yang terdampar di sebelah kiri katil kucapai dan mataku mula menjalar ke segenap isi di dalamnya. Trend hijab terkini. Pfftt! Meletus tawa saat ini. Terkini dan hijabista la sangat! Lilit-lilit macam pocong!
Baru sahaja ingin menyelak ke halaman seterusnya, majalah di tanganku ditarik kasar oleh kak long. Ala! Kacaulah! Masa cuti ni la aku nak guling-guling atas katil sambil baca majalah. Kalau kat Seoul tu, mana ada masa.
"Kak long... kasilah balik majalah tu!" rengekku sambil menghulurkan sebelah tangan.
"Jangan harap!" bentak kak long seraya menarik lengan kananku dengan kuat.
Dengan malas aku bangun dari perbaringan dan duduk bersandar di kepala katil.
"Memanglah meja yang kak long beli tu untuk enam orang. Tak cukup satu tempat aje kut. Umi dah tambahkan kerusi untuk kau, dik. Jangan buat hal. Jom turun."
Mendengar sahaja kata-kata kak long, aku terus menggaru kepala dengan kedua-dua belah tangan.
"Eee... Bella tak selesalah," getusku geram dengan wajah yang berkerut seribu.
Kak long meraupkan wajahnya beberapa kali.
"Habis tu, Bella ingat kak long selesa sangat ke? Kak long ni lagilah, Bella. Kak long kerja kat company diorang tau. Ingat kak long tak kekok ke? Sudahlah tu. Pak Cik Dani, umi, mak su dan pak su belum tahu tau kak long kerja dengan dia. Kak long ni lagi kekok, Bella..." bebel kak long panjang lebar sebelum mengeluh berat.
Aku terdiam seketika. Kalau aku berada dalam situasi kak long, mungkin aku lebih tertekan daripada sekarang agaknya. Big boss datang rumah kut. Tapi, dia dengan kak long macam okey aje. Tak macam dia dengan aku. Samseng dan poyo semacam!
Aku terus bangun. Tangan kanan kuhulurkan kepada kak long. "Jom."
Tudung bawal yang tersangkut pada kerusi kucapai dan kusarungkan ke atas kepala.
"Bella temankan kak long. Kak long janganlah down sangat sampai macam ni," pujukku.
"Kak long bukan apa... umi tu nak sangat kita turun. Kalau umi tak kisah, kak long pun malas nak menghadap diorang tu," luah kak long.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...