AKU tersenyum ke arah salah seorang pekerja yang sedang membawa masuk kotak-kotak berisi kubis segar. Kesemua bahan mentah yang digunakan untuk membuat kimchi akan diletakkan di dalam sebuah stor khas.
Sememangnya di Seoul, kelas untuk membuat kimchi yang memakan masa selama sejam merupakan salah satu tarikan pelancong. Yuran yang dikenakan selalunya 30,000 won.
Kata omma, boleh dikatakan hampir setiap slot selalunya penuh. Kadangkala mereka terpaksa buat kelas tambahan untuk memenuhi permintaan. Murah rezeki omma. Yang bestnya, para peserta berpeluang membawa balik kimchi yang mereka buat di dalam kelas.
Di dalam kelas-kelas kimchi di Mujigae Kimchi World ini memang siap dilengkapi dengan sealing machine untuk memudahkan proses pembungkusan kimchi supaya sentiasa kedap udara dan tahan lama.
Aku menjeling ke arah jam di tangan. Ada lebih kurang sejam lagi sebelum kelas bermula. Baik aku minum kopi dulu. Aku menuju ke arah pantri. Cawan kucapai dan aku membancuh kopi.
Pejam celik pejam celik, cutiku nampaknya sudah hampir sampai ke penghujungnya. Minggu hadapan semester baru akan bermula. Ah, mesti aku akan rindu tempat ni. Bersama cawan di tangan aku melangkah ke arah bangku panjang yang tersedia di ruangan ini.
Dua minggu lebih bekerja di sini benar-benar merapatkan hubunganku dengan omma, namun aku masih belum punya keberanian untuk bertanya lebih-lebih tentang hal peribadinya. Wanita itu memang perahsia orangnya.
Sesungguhnya aku rasa damai apabila berada di samping mereka. Dapatlah juga ubat rinduku pada umi dan kak long di Malaysia. Bercakap pasal umi, aku berasa sedikit pelik. Umi tidak pernah langsung bertanya tentang Danial Lee semenjak aku pulang ke sini. Aku menarik nafas dalam-dalam. Danial, apa khabar agaknya lelaki itu? Ada senyuman kelat menghiasi bibir.
"Bella!"
Terkejut aku. Terus aku menjeling tajam ke arah gadis Korea celup yang sedang melangkah masuk ke dalam pantri. "Hoi!"
Geramnya! Seronok betul Minah ketawa.
"Terkejut tau tak? Siapa ajar kau tegur orang macam tu?"
Nada suaraku macam nak gaduh aje dengan dia ni.
Semakin galak pula dia ketawa. Pipiku dicubitnya lembut.
"Alololo... sorry la."
Pantas aku menepis tangannya. Kemudian, aku menghirup sedikit kopi yang masih suam.
"Aku join kau tau untuk kelas petang ni."
Kepala kudongakkan sedikit supaya aku dapat melihat wajah Minah yang sedang berdiri di sisiku. Wajahku yang tadinya masam mencuka kini tersenyum manis. "Yeay! Takla aku sorang-sorang aje assist omma nanti."
Sememangnya aku kekok sekiranya terpaksa membantu omma sendirian. Maklumlah, omma kat hadapan kelas mengajar. Aku sorang-sorang yang harus membantu para peserta. Sekurang-kurangnya Minah ada nanti tidaklah kekok sangat.
Tersentak aku seketika. Eh, eh dia ni... ambil kesempatan betul! Cawan kopiku yang kuletak sekejap di atas bangku dicapainya dengan selamba. Kemudian, dia menghirup sedikit kopi yang masih bersisa. Aku hanya menggelengkan kepala. Geli hati pun ada juga melihat gelagatnya yang kalut ini.
"Aku tunggu kau kat kelas 12A. Jangan lambat pulak." Sebaik sahaja berkata begitu Minah memberikan cawan kopi kepadaku dan melangkah pergi.
"Ye la Minah... aku habiskan kopi kejap, lepas tu aku join kau kat atas," balasku.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...