Bab 17

2.6K 21 0
                                    

NASIB baik cuaca tak panas sangat hari ni. Kalau tidak, bertambah menggelegaklah hati aku yang sudah sedia panas ni. Kak long... kak long! Geram betul aku. Mana tidaknya, aku pulak yang harus membawa kimchi ini ke pejabatnya! Tak sukalah! Gara-gara terlebih kalut pagi tadi, dia terlupa membawa kimchi ke pejabat untuk dihidangkan semasa jamuan tengah hari nanti.

Wajah yang masam kini bertukar riak apabila sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam berhenti betul-betul di hadapanku. Aku menjeling tajam ke arah cermin di bahagian penumpang yang diturunkan oleh pemandu kereta tersebut. Lama juga dia merenung membuatkan aku tidak senang duduk. Terus sahaja aku bangun berdiri.

"Salsabila!"

Wajah kukerutkan sambil merenung tajam ke arah kereta tersebut. Betul ke dia panggil nama aku? Ah, lebih baik aku tunggu teksi dekat depan kedai tu. Ramai juga orang di situ.

Dengan pantas aku mencapai dua beg plastik berisi bekas yang penuh dengan kimchi di atas bangku panjang ini. Kemudian, laju kakiku melangkah ke arah kedai tayar yang terletak beberapa langkah di hadapan sana.

"Salsabila! Bella!"

Langkah kaki kuhentikan seketika. Dapat kudengar namaku disebut dengan jelas oleh orang yang berada betul-betul di belakangku itu. Terus aku menoleh ke belakang. Nasib baik tak terlepas kedua-dua beg plastik di tangan kiri dan kananku ini. Ya Allah, kenapa aku tak perasan tadi? "Encik Faris!"

"Ya Allah... betullah naluri saya. Dari jauh tadi saya dah nampak Bella sebenarnya. Cuma saya kurang pasti. Yes, I was right!"

Amboi, seronok benar nampaknya lelaki ini terserempak dengan aku di sini.

"Errr... Encik Faris nak ke mana ni?" soalku sekadar berbasa-basi. Mata pula liar memandang ke arah jalan raya. Wahai teksi, cepatlah kau tiba!

"Saya baru balik dari rumah kawan. Tak ada aktiviti pun hari ni," jawabnya sambil tersenyum senang.

Erk! Kenapa aku rasa ayatnya tu macam nak kasi hint aje? Tak ada aktiviti? Habis tu? Apa kena-mengena dengan aku?

"Ooo..." Hanya itu sahaja yang mampu untuk kuucapkan. Hati masih lagi berdoa supaya teksi cepat tiba.

"Awak pulak nak ke mana?" soalnya.

Anak mata Encik Faris kulihat memandang ke arah kedua-dua beg plastik yang aku jinjing. Berat tau kimchi ni!

"Highview West Building," jawabku pendek.

Cepatlah datang teksi oiii! Dari riak wajah Encik Faris, aku sudah tahu ayat seterusnya yang akan diucapkan.

"Jomlah saya hantarkan."

Hah, dah kuagak! Eee! Tak sukanya! Dengan pantas aku menggelengkan kepala. "Eh, takpelah. Saya boleh tunggu teksi aje."

Teksi ni pun satu! Bila tidak tunggu, bersepah-sepah datang. Bila tunggu, tak nampak bayang pulak.

"Bukannya jauh pun... dua puluh minit aje dari sini. Jom saya hantarkan."

Encik Faris memang tak faham bahasa Melayu agaknya. Terus kedua-dua beg plastik di tanganku dicapainya. Ikutkan hati, mahu sahaja aku berkeras dan menarik beg plastik tersebut. Namun, aku terpaksa juga lepaskan apabila jari 'lelaki tak faham bahasa' ini tersentuh sikit jariku.

"Emmm... okeylah." Akhirnya aku mengalah.

Encik Faris tersenyum puas. "Jom..."

Aku hanya mengikut sahaja langkahnya. Dia kemudiannya meletakkan dengan cermat bekas-bekas berisi kimchi itu di bahagian belakang kereta. Aku pula mengerling ke arah jam yang melekat di tangan sebelum masuk ke dalam kereta. Tepat pukul sebelas setengah pagi! Jamuan tu akan bermula pukul dua belas suku tengah hari nanti.

Kimchi untuk awak!Where stories live. Discover now