ADUHAI... resah dan gelisah betul hatiku. Ada debaran memenuhi ruang dada pagi ini. Geram betul! Sebab lelaki itu, tak pasal-pasal aku diserang rasa risau sebegini rupa.
Diam tak diam, sudah sebulan setengah cuti semesterku berlalu. Tubuh kuregangkan sedikit dan kemudian aku bersandar pada dinding dapur. Pandangan kosong kuhalakan pada peti sejuk. Bagaimana agaknya rasa kimchi yang telah aku buat tempoh hari? Sesuai tak dengan tekak lelaki itu. Esok kak long akan bawa kimchi itu ke pejabat.
"Bella... kenapa ni nak?" tegur umi dengan lembut.
Mati terus lamunanku tadi. "Takde apa, umi."
"Takde apa? Dari muka Bella umi dah tahu, mesti ada apa-apa ni..." duga umi.
Ah, aku tahu aku memang tak dapat menipu umi. Memang selalu kantoilah, pendek kata.
Tiba-tiba kak long muncul di dapur. Kelam-kabut dia menarik pintu peti sejuk. "Bella. Okey ke kimchi tu? Tadi Bella cakap nak rasa dulu sebelum kak long bawak ke pejabat esok, kan?"
Umi menepuk bahuku seraya tersenyum lucu. "Oh... sebab kimchi tu ke kamu jadi tak keruan macam ni, Bella?"
Ah, tak boleh jadi. Terus sahaja aku menggelengkan kepala. "Mana ada tak keruan, umi. Bella okey aje."
Semakin lebar senyuman di bibir umi.
Kak long mengeluarkan satu bekas kimchi dan kemudian dibawanya ke meja makan.
Umi dengan penuh minat meninggalkan aku dan terus melangkah ke arah kak long.
Dalam sekelip mata ruangan dapur ini penuh dengan aroma kimchi yang memikat selera. Daripada baunya, macam menjadi. Bagaimana rasanya, tidak pula aku pasti.
"Bella, come here. Bella rasa dulu," gamit kak long bersama sudu di tangannya.
Kenapalah aku risau sangat sekiranya kimchi ini tidak menepati cita rasa lelaki itu? Tidak faham aku!
Aku pun melangkah laju ke arah meja makan. Setelah melabuhkan punggung di atas kerusi, sudu yang berada di tangan kak long kucapai dan aku mula mencedokkan sedikit kimchi ke dalam piring kecil di atas meja. Dengan perlahan-lahan aku menyuapkannya ke dalam mulut. Siap pejam-pejam mata untuk rasa. Memang over!
Apabila segala rasa kimchi sebati dalam mulut, aku terus membuka mata sambil tersenyum ke arah dua pasang mata yang sedang memerhatiku. Untuk tekak aku, memang kategori okeylah kimchi yang aku buat ini. Untuk tekak lelaki itu, tak tahu pula aku. Ah, tak payah fikir tentang dia. Asal rasanya lebih kurang kimchi buatan Soo Jin Ajumma, aku sudah cukup gembira. Yahooo!
"Umi, kak long... rasalah kimchi ni," kataku bersama senyuman yang semakin lebar. Gembira betul hati aku saat ini. Rasa macam nak sujud syukur pun ada.
"Macam gembira aje tu. Menjadilah ye hasil tangan kamu, Bella?"
Semakin lebar senyumanku mendengar kata-kata umi. Kak long pula terus memberikan sebatang sudu kepada umi dan sudu yang berada di dalam genggamanku pula diambilnya untuk merasa kimchi yang masih bersisa di piringku.
"Macam mana rasanya?" soalku kepada mereka berdua. Geli hati pun ada melihat reaksi umi.
"Ini kali pertama umi makan kimchi. Awalnya rasa macam masam sangat, tapi bila dah kunyah, sedap pulak. Macam jeruk biasa cuma pedas sikit dan lebih sedap."
Komen umi menyebabkan aku ketawa kecil. Aku semakin yakin dengan kimchi buatanku ini.
"Bella... kak long tak sabar nak bawak kimchi ni ke pejabat esok."
Kami sama-sama menoleh ke arah kak long. Amboi... berselera betul nampaknya dia. Piring di tangan kemudiannya diletakkan ke atas meja dan tanpa aku duga, dia terus memelukku dengan erat. Habis pipi kananku diciumnya bertalu-talu.
"Thank you my love!" jeritnya keriangan.
Aku yang berasa rimas, terus menolak tubuhnya. Kedua-dua belah tangan kalut meraup wajah.
"Isy, apa ni kak long... comotlah pipi Bella dengan kimchi!" bebelku tidak puas hati.
Kak long tersengih manakala umi menggelengkan kepalanya melihat telatah kami.
"Kimchi ni memang makanan tradisional orang Korea, ye Bella?" tanya umi sambil menikmati kimchi.
"Ye, umi. Boleh dikatakan, kimchi ni juadah wajib mereka," jawabku sambil mencapai jag berisi air masak.
"Orang Korea suka makan sayur. Sebab tu agaknya kulit mereka cantik," sampuk kak long.
Dengan pantas aku menganggukkan kepala. Aku menuangkan air dengan cermat ke dalam gelas dan aku berikan kepada umi. "Selain daripada penggunaan BB cream yang memang popular di sana, Bella yakin gaya pemakanan mereka yang sangat gemar memakan kimchi dan sayur-sayuran lain menyumbang kepada kulit wajah mereka yang cantik."
Aku lihat umi dan kak long mendengar dengan penuh minat.
"Umi tahu tak... Soo Jin Ajumma ada beritahu Bella yang kimchi ni dah lama wujud kat Korea. Asalnya, pada zaman dulu mereka membuat kimchi sebagai persediaan untuk musim sejuk. Kiranya macam stok makanan untuk musim sejuklah."
Umi berhenti mengunyah. "Berapa bulan Korea mengalami musim sejuk, Bella?"
"Dalam empat bulan. Dari bulan Disember sampai bulan Mac."
"Tahan lama ke kimchi ni?" soal umi. Berkerut sedikit dahinya.
"Mestilah. Sebab itulah kimchi jadi pilihan orang Korea pada zaman dulu untuk stok makanan musim sejuk. Maklumlah, kimchi boleh tahan untuk jangka masa yang lama kalau disimpan dengan betul. Boleh tahan sampai berbulan-bulan, tau umi."
Eh, dah macam promoter kimchi pulak aku ni.
"Oh... macam tu." Umi mencapai gelas dan dibawa ke mulutnya.
"Bella... kak long pernah dengar yang kimchi ni jugak baik untuk kesihatan. Ye ke, Bella?" soal kak long pula.
"Bahan asasnya sayur, kak long. Sayur apa pun rasanya baik untuk kesihatan. Cuma, kelebihan kimchi ni, ia mengandungi banyak bakteria baik yang dikenali sebagai probiotik. Probiotik ni terhasil semasa proses menjeruk kimchi. Bakteria baik ni dapat mengurangkan kadar kolesterol dalam darah, meningkatkan kadar imunisasi tubuh, bertindak sebagai antioksida, mencantikkan kulit..."
"Nanti... nanti, Bella. Kak long nak tanya ni," potong kak long dengan wajahnya yang berkerut seribu.
Pelik pulak aku. Apa kena dengan dia ni?
"Kenapa sampai berkerut muka tu Lina?" tegur umi yang juga pelik melihat gelagat kak long.
"Entahnya. Nak tanya, tanya aje la. Tak payah buat muka macam tu," bidasku pula.
"Kimchi ni membantu melancarkan sistem perkumuhan tak? Dalam kata lain, kalau susah buang air besar, elok tak makan kimchi ni?" tanya kak long dengan nada suara yang semakin aneh. Semakin berkerut wajahnya. Kalah nenek kebayan.
Aku terus menepuk dahi. "Alamak, sorry kak long. Bella lupa nak bagitau kelebihan utama kimchi memang sangat-sangat membantu melancarkan sistem perkumuhan. Orang yang ada sembelit memang elok makan kimchi banyak-banyak."
Kak long terus bangun sambil menekan perutnya. Tubuhnya dibongkokkan sedikit. "Ah... patutlah sejak makan kimchi ni tadi, kak long rasa macam nak membuang aje. Dah tak tahan dah ni. Umi... Bella... nanti kita sambung ye?"
Kak long terus memecut ke arah tandas di hujung dapur.
Bulat mata aku dan umi melihat kak long.
"Isy... kamu ni tak senonoh la Lina." Marah umi, namun kak long sudah pun menghilang di sebalik pintu bilik air.
Ya Allah, lucu betullah dia tu. Ketawa besar aku dengan telatah kak long. "Kak long... kak long..."
Nak membuang tu, pergi ajelah membuang. Sempat lagi dia tanya tentang khasiat kimchi dalam membantunya membuang air besar! Drama queen betullah!
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...