AKU dan kak long sama-sama membisu dalam keriuhan suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika ini. Risau punya pasal, kak long sanggup ikut aku naik bas ke Kuala Lumpur semalam. Nasib baik bas memang tak penuh. Aku menundukkan wajah, memandang kosong ke arah bagasi yang terdampar kemas di sisi kaki.
"Bella... kenapa sampai jadi macam ni? Tolonglah ceritakan sejujur-jujurnya apa yang dah terjadi. Apa kak long nak jawab dengan umi nanti? Tolonglah jangan buat macam ni, dik..." keluh kak long.
Dari semalam lagi, aku hanya membisu setiap kali kak long bertanya. Dalam fikiran asyik terbayang insiden Danial Lee dan Yoo Ri berpelukan semalam. Lebih parah apabila luahan cinta Danial Lee buat Yoo Ri sudah terakam jelas dalam kotak memori ini.
"I love you too, Yoo Ri and I will always be your number one boyfriend."
Semuanya semakin jelas apabila Yoo Ri mengekori aku semalam dan meminta aku meninggalkan Danial Lee. Dengan perlahan-lahan aku menggenggam lembut telapak tangan kak long. "Kak long... Bella minta maaf kalau buat kak long risau."
"Bella... kalau Bella ada masalah, bagitau kak long. Ada orang sakitkan hati Bella ke? Sampai merajuk begini."
Lambat-lambat aku memandang wajah kak long. "Takde siapa pun yang sakitkan hati Bella. Bella okey."
Walaupun aku cuba berlagak selamba, namun ada sebak beraja di dada. Sebak memikirkan percatuan takdir hidupku.
"Habis tu, kenapa terburu-buru nak balik ke Seoul?" tanya kak long.
"Kak long... Bella nak cari ketenangan," jawabku bersama keluhan berat.
"Bukan nak lari dari Danial?" tebak kak long.
Aku tersentak seketika. Bulat anak mataku menentang pandangan tidak puas hati kak long. "Kak long...."
"Bella... tak boleh ke Bella belajar terima Danial? Bella tak kesiankan kak long ke? Nanti umi salahkan kak long sebab berpakat dengan Bella. Tolonglah jangan pergi..." pujuk kak long.
"Bella sayangkan kak long, tapi Bella pun sayangkan diri Bella," balasku tanpa memandang ke arahnya. Aku hanya memandang kosong ke arah cincin yang masih tersarung di jari.
"Kenapa Bella buat keputusan terburu-buru macam ni?" tanya kak long dalam nada yang sedikit meninggi.
Aku tahu kak long sudah hilang sabar denganku. Nafas kutarik dalam-dalam. Aku harus juga berterus terang dengan kak long. "Apa perasaan kak long kalau mata kak long sendiri nampak suami kak long berpelukan dengan perempuan lain?"
Kak long tersentak. Berubah terus riak wajahnya.
"Apa perasaan kak long kalau telinga kak long dengar dia sebut yang dia cintakan perempuan lain?"
"Astaghfirullahalazim! Maksud Bella... Danial curang?!" Kak long terjerit kecil.
Aku kelam-kabut menekup mulutnya. Dengan kalut aku memerhati ke arah sekeliling. Nasib baik tidak ada yang memandang kami. "Isy, kak long ni... janganlah cakap kuat-kuat!"
"Sorry Bella... sorry." Kak long mengangkat kedua-dua belah tangannya.
"Dia tak pernah cintakan Bella. Jadi, tak timbul soal curang. Bella cuma tak mahu jadi batu penghalang hubungan mereka. Dan yang paling penting, Bella tak mahu harap apa-apa..." ujarku dengan tenang. Rasanya aku sudah mula boleh terima takdir Tuhan untukku. Pasti ada hikmah di sebaliknya.
"Ada perempuan lain rupanya. Patutlah dia tak datang!" dengus kak long.
Aku terpempam seketika. "Hah? Apa dia?"
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...