AKU meregangkan tubuh semahu-mahunya. Penat dan lesu! Penat kerana otak asyik memikirkan Danial Lee sepanjang penerbangan. Dan lesu kerana enam jam berada di atas awan.
Bersama keluhan aku melabuhkan punggung di atas salah sebuah bangku panjang yang berderetan di sini. Mata menyorot ke arah sekitar kawasan dalam bangunan Lapangan Terbang Incheon yang agak lengang. Jam di lengan kujeling sekilas. Dah pukul tujuh malam. Baik aku pulang ke Seoul sekarang. Nanti lambat pula sampai. Sudahlah perjalanan dari Incheon ke Seoul mengambil masa kira-kira sejam.
Aku berdiri semula. Beg sandang kuangkat dan kugalas. Kemudian, tangan kanan menarik bagasi dan aku menuju ke arah kedai serbaneka GS25. GS25 seperti kedai serbaneka 7Eleven.
Masuk sahaja ke dalam kedai, aku terus menuju ke arah peti sejuk yang menempatkan pelbagai jenis minuman. Sebotol air pisang uyu kucapai dan kemudian aku menoleh ke rak di belakangku. Sepaket roti kacang merah aku ambil dan aku terus melangkah ke arah kaunter. Botol berisi air pisang uyu dan roti kacang merah kuletak di atas kaunter.
Zip beg sandang kubuka. Tangan menggeledah seluruh beg, namun tidak terjumpa beg duit aku. Yang ada hanyalah dompet kecil berisi segala jenis dokuman penting. Bersama kerutan di wajah aku menggeledah kesemua bahagian di dalam beg ini. Dada mulalah berdebar kencang. Mana pulak beg duit aku?
"Three thousand won," ucap pekerja lelaki itu.
Dengan wajah yang pucat lesi aku memandang ke arahnya. "Please wait for a while ya. I'm searching for my purse."
"Okay. No problem," balasnya.
Sekali lagi aku menggeledah seluruh bahagian dalam beg dan tiba-tiba... mati aku! Baru aku teringat yang aku lupa mengeluarkan beg duit dari dalam beg tangan hitam yang aku gunakan sepanjang berada di Malaysia. Memang beg tangan itu aku tinggalkan di Malaysia. Aku hanya membawa pulang dompet kecil berisi dokumen-dokumen penting sahaja. Lagipun, kak long yang membayar segala-galanya. Dari makan malam sehinggalah ke tambang teksi pagi tadi.
Gara-gara kelam-kabut hendak cepat dan terlalu ingin lari daripada Danial Lee, aku tertinggal beg duit di Malaysia! Astaghfirullahalazim. Peluh halus merenik di dahi. Inikah balasan untuk aku kerana menipu umi? Inikah balasan untuk aku kerana lari ke sini tanpa izin suami? Bagaimana aku hendak pulang ke Seoul?
Aku masih ada simpanan di dalam bank, tetapi bank tidak beroperasi pada waktu malam begini. Kad bank semuanya berada di dalam beg duit itu. Ya Allah... ampunilah hambaMu ini.
Air mata bergenangan di tubir mata. Aku betul-betul rasa ingin menangis saat ini. Aku tahu aku berdosa Ya Allah... tetapi, aku juga tidak sanggup untuk terus berada di Malaysia. Aku tidak kuat untuk berdepan dengan semua itu.
"Emmm... I think I left my purse at home. I'm sorry but I would like to cancel my purchase."
Air mata terus berlinangan membasahi pipi. Pantas aku menyeka dengan sebelah tangan.
Pekerja di kaunter tersebut terkejut besar melihat aku menangis di hadapannya. Belum sempat dia bersuara, tiba-tiba ada tangan menghulurkan tiga keping wang kertas 1,000 won kepadanya.
"Samcheon-won. (3,000 won)."
Terus aku menoleh ke belakang. "Omma!"
Aku memeluk omma dengan erat. Aku tidak tahu kenapa aku terlalu emosional. Mungkin kerana omma adalah satu-satunya manusia yang aku kenal di sini.
"I's okay. Everything is fine now," pujuk omma sambil menggosok lembut belakangku.
Pelukan dileraikan dan setelah wanita ini mencapai beg plastik berisi air pisang uyu dan roti kacang merah, kami sama-sama melangkah keluar dari kedai ini. Tanpa sepatah kata, kami berjalan beriringan ke arah deretan bangku berwarna coklat yang aku duduk tadi.
YOU ARE READING
Kimchi untuk awak!
RomanceInsiden terlanggar lelaki kacukan Melayu-Korea, Danial Lee Jae Hwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon adalah permulaan kacau-bilau dalam hidup Bella. Hilang terus moodnya untuk menikmati penerbangan kelas perniagaan yang dihadiahkan oleh kak...