Bab 7

18K 462 1
                                    

ROMBONGAN pihak lelaki sedang menuju ke rumah Fazliatun selepas waktu asar. Beberapa orang kaum kerabat Tengku Fazrul Shah hadir sebagai wakil untuk merisik gadis itu. Tengku Arianis turut pergi biarpun dia tidak menyukai Fazliatun. Mukanya kelat sahaja. Dia tidak punya pilihan lain setelah Tengku Marzuki membuat keputusan.

"Kami datang dari jauh ni ada bawa hajat besar! Datang bukan sekadar datang. Datang kerana hendak menyunting bunga yang sedang berkembang di taman larangan sebelum dipetik oleh kumbang liar," kata Tengku Marzuki sekadar berbahasa.

Encik Ahmad sudah mati akal. Kedatangan mengejut pihak lelaki itu memang tidak diduganya sama sekali. Baru seminggu lepas dia menerima berita anaknya akan berkahwin. Tup tup petang ini, dia dikejutkan sekali lagi dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang itu.

"Saya tak boleh nak buat keputusan dalam hal ni. Biar empunya badan sendiri yang jawab. Yah, pergi panggilkan Tun ke sini kejap!" arahnya kepada Puan Rohaya.

Fazliatun yang sedari tadi mendengar perbualan mereka terus keluar apabila ayahnya memanggil. Puan Rohaya tidak jadi melangkah. Dia duduk semula di sebelah Encik Ahmad. Fazliatun nampak sopan memakai baju kurung.

"Tun, ayah nak tanya kau ni! Rombongan pihak lelaki ni datang nak meminang kau. Apa kata kau?" soal Encik Ahmad lembut.

Fazliatun seolah-olah tidak percaya melihat perubahan sikap ayahnya. Pada mulanya tadi, dia agak khuatir jika ayahnya bertindak menghalau rombongan pihak lelaki itu. Mujurlah ayahnya tidak berbuat begitu. Risau juga hatinya.

Fazliatun tunduk sahaja ke bawah. Mukanya merona merah. Nak kata setuju nanti, apa pula kata ayahnya. Malu dia hendak menyatakan persetujuan. Semua mata yang ada di situ memandang wajahnya. Cuak juga dia.

"Biasanya orang-orang tua selalu cakap, kalau diam tu tanda setujulah tu. Betul tak, Tengku!" ucap Encik Ahmad seraya tersenyum lebar. Lega hati Puan Rohaya mendengar kata-kata suaminya.

"Alhamdulillah!" Tengku Marzuki dan keluarganya yang lain turut gembira kerana pihak perempuan bersetuju.

"Anis, apa yang awak tunggu lagi tu? Cepatlah sarungkan 'cincin tanda' tu kat jari Fazliatun!" ujar Tengku Marzuki kepada isterinya yang kelihatan masam sejak tadi.

Tengku Arianis sempat lagi menjeling Fazliatun sebelum menyarungkan cincin belah rotan itu ke jari manis bakal menantunya.

"Terima kasih Tun sebab sudi terima Rul! Pak cik gembira sangat!" ucap Tengku Marzuki lagi. Sejuk hatinya melihat Fazliatun. Beruntung sungguh Tengku Fazrul Shah memiliki gadis sebaik itu.

"Kalau boleh saya tahu, bila pihak lelaki nak langsungkan majlis pertunangan?" tanya Encik Ahmad ingin kepastian.

"Selewat-lewatnya sebulan dari sekarang. Benda baik macam ni tak elok kita lambat-lambatkan. Rul cakap nak bertunang tak lama. Selepas sebulan bertunang, terus nak buat kerja kahwin. Apa kata Encik Ahmad dan isteri?"

Encik Ahmad sedikit terkejut mendengar bicara Tengku Marzuki. Dia memandang Puan Rohaya.

"Sebentar ya, Tengku!"

Encik Ahmad terus menarik tangan isterinya masuk ke dalam bilik. Dalam hal seperti ini, dia perlu berbincang dengan isterinya. Soal kahwin ini bukan boleh dipandang remeh. Ada banyak benda perlu difikirkan. Dalam keadaan begini, kewangan mereka tidak berapa kukuh.

"Apa pendapat awak, Yah!"

"Saya ikut aje cakap abang! Saya tak kisah, asalkan Tun kahwin." Begitu pendapat isterinya.

"Abang pun fikir macam tu juga. Cuma, masalahnya sekarang ni kita mana ada banyak duit nak buat majlis kahwin Tun tu! Mana kita nak cekau duit, Yah! Bukan sikit duit nak buat majlis kahwin ni," ucap Encik Ahmad perlahan.

Isteri SementaraWhere stories live. Discover now