KEADAAN jalan masuk menuju ke alamat yang diberikan oleh penjahat itu agak berbatu-batu. Langsung tidak ada jalan tar. Di sekelilingnya hanya dipenuhi oleh semak samun dan belukar. Suasana di situ sungguh sepi dan sunyi. Benarkah apa yang mereka katakan semalam? Ataupun dia sudah tersilap dengar? Tak mungkin pula. Lagipun, alamat yang dikirimkan oleh Darus memang menghala ke jalan ini.
Kereta dipandu dalam kelajuan sederhana. Sudah lima minit dia masuk ke jalan itu, namun masih belum menemui sebarang petunjuk. Di manakah letaknya lokasi bangunan lama yang mereka katakan? Pelik sungguh tempat ini. Terlalu jauh dari manusia. Dia mulai berfikir yang bukan-bukan. Matanya liar memerhatikan suasana di sekeliling kawasan itu.
Tengku Fazrul Shah benar-benar berani. Dia tidak mengendahkan sedikit pun nasihat Firman. Dalam keadaan genting begini, polis tidak boleh masuk campur. Dia tidak mahu, isteri dan mamanya diapa-apakan oleh mereka. Biarlah dia menanggung risikonya andai berlaku apa-apa nanti. Nyawa isteri dan mamanya lebih berharga daripada segala-galanya. Silap sikit saja dia melangkah, pasti penjahat itu akan membunuh orang yang dia sayangi itu.
"Kau dengarlah cakap aku. Jangan buat tindakan seorang diri. Bahaya!" pesan Firman berkali-kali. Risau sungguh dia jika Tengku Fazrul Shah masih berdegil bertemu dengan penjahat-penjahat itu tanpa ditemani oleh pihak polis. Penjahat macam mereka bukan boleh dipercayai.
"Aku tahulah apa yang aku nak buat. Ni antara hidup dan mati orang yang paling aku sayang. Hanya tu aje cara nak selamatkan mereka. Dah tak ada ikhtiar lain lagi buat masa ni. Percayalah!"
"Tu bukan caranya, Rul. Banyak lagi jalan penyelesaian yang kita boleh buat. Tindakan kau ni boleh mengundang padah."
"Apa dia jalan terbaik? Kau ingat, pihak polis boleh bantu kita ke? Aku tak sanggup nak tengok nyawa isteri dan mama aku melayang gara-gara libatkan polis dalam hal ni. Nyawa mereka lagi penting dari segala-galanya."
Keras sungguh hati Tengku Fazrul Shah. Keputusannya sudah bulat. Firman akhirnya terpaksa menyerah kalah.
"Ikut kaulah. Jangan menyesal pula kalau jadi apa-apa."
"Kau tak payah risaulah. Biar aku tanggung risikonya seorang diri."
Khayalannya segera mati apabila dia melihat ada sebuah bangunan lama di hadapannya. Apa yang memeranjatkannya, terdapat kereta Rizal dan Nauri di situ. Memang benarlah ini semua rancangan mereka.
"Jahanam! Berani betul korang cabar aku. Memang nak tempah maut."
Dia segera mematikan enjin kenderaan sebelum melangkah keluar. Beg hitam berisi duit tebusan itu dicapai. Kakinya menapak perlahan-lahan ke bangunan lama itu. Kelihatan, ada dua orang lelaki bertubuh tegap sedang berdiri di luar. Barangkali, merekalah yang menghubungnya semalam.
"Aku dah datang bawa duit tebusan tu," ujarnya sedikit nyaring.
"Kau datang seorang aje ke? Tak ada orang lain yang ikut?" tanya Darus sedikit tegas. Matanya liar menjengah ke arah luar.
Tengku Fazrul Shah mengangguk.
"Mana bos kau? Aku nak jumpa dia."
"Ada kat atas. Mari ikut kami!" arah Darus.
Tanpa banyak bicara, dia mengikut langkah Darus dan Sood. Kakinya memijak anak tangga satu demi satu sebelum sampai ke tingkat dua. Saat itulah dia melihat mamanya sedang duduk di situ dengan tangan berikat.
"Mama!" jeritnya kuat.
Tengku Arianis segera mengangkat wajah. Gembira sungguh dia memandang anak lelaki bongsunya itu. Akhirnya, datang juga Tengku Fazrul Shah untuk menyelamatkan dia dan Fazliatun.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
Roman d'amourGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...