FAZLIATUN berkurung saja di dalam bilik. Dia mundar-mandir di sekitar bilik sambil memerhatikan pemandangan dari luar. Bosan pula apabila terperap begitu. Akhirnya dia keluar ke taman bunga. Dia duduk di sebuah pondok yang dibina berhampiran dengan kolam ikan. Sungguh cantik pemandangan di situ.
Sejak Tengku Fazrul Shah mulai bertugas semalam, lelaki itu seperti tidak mahu berbual dengannya. Keluar dari awal pagi dan pulang ke rumah hampir ke pukul sembilan malam. Fazliatun mulai perasan perubahan sikap suaminya. Tengku Fazrul Shah seperti dingin padanya. Seolah-olah ada benda yang cuba disembunyikan. Semalam, semasa dia ingin bertanya tentang urusan pindah rumah baru, suaminya itu menjawab acuh tak acuh saja. Berlainan sungguh perangai lelaki itu.
Fazliatun malas mengganggu Tengku Fazrul Shah. Mungkin suaminya itu letih setelah seharian bekerja. Biarlah dia berehat. Begitu andaian Fazliatun. Sedang asyik berkhayal, tiba-tiba dia melihat ada sebuah kereta masuk ke perkarangan rumah. Kemudian, keluar seorang gadis. Fazliatun seperti pernah melihat perempuan itu sebelum ini, namun dia belum dapat mengingati di mana dia bertemu dengan gadis tersebut.
Tidak berapa lama kemudian, muncul Tengku Arianis di muka pintu. Gadis yang berada di hadapannya dipeluk erat. Hubungan mereka kelihatan mesra dan akrab.
"Auntie apa khabar?" soal Nauri seraya tersenyum.
"Sihat. Nauri macam mana pulak? Lama betul tak jenguk auntie, ya." Tengku Arianis mempelawa Nauri masuk ke dalam. Ada banyak perkara yang ingin diceritakan kepada gadis itu.
"Nauri sihat jugak. Cuma busy sikit sekarang ni uruskan butik." Nauri melabuhkan punggung di sebelah Tengku Arianis.
"Hari ni dah terlanjur Nauri datang ke sini, makan kat rumah auntie ajelah kejap lagi. Ada banyak cerita auntie nak bagitahu Nauri tau. Memang menarik sangat," ujar Tengku Arianis lagi.
"Oh ya ke? Cerita apa tu? Macam menarik aje bunyinya. Ni mesti pasal Rul. Betul tak?"
"Kejap lagilah kita cerita. Kita makan dulu. Kuntum!" Tengku Arianis pantas memanggil pembantu rumahnya. Mak Kuntum segera ke depan apabila dipanggil.
"Ada apa, Tengku?" tanya Mak Kuntum lembut.
"Kau dah siap masak ke belum?"
"Dah siap, Tengku," jawab Mak Kuntum.
"Aku nak makan sekarang. Kau siapkan apa-apa yang patut!" arah Tengku Arianis tegas.
"Baik, Tengku."Terkocoh-kocoh Mak Kuntum menuju ke dapur. Dia menyusun pinggan dan cawan secepat yang boleh. Risau juga majikannya marah andai lambat membuat kerja. Tak sampai dua minit, kerjanya selesai.
"Semuanya dah siap, Tengku!" kata Mak Kuntum sopan.
Tengku Arianis dan Nauri menuju ke meja makan. Ada pelbagai jenis lauk-pauk yang sedia terhidang di atas meja. Ada sotong sumbat, udang masak sambal, ikan siakap masak tiga rasa dan sayur brokoli. Dah macam pesta makan saja.
"Jemput makan, Nauri!" Tengku Arianis mempelawa.
Mak Kuntum mencedok nasi untuk mereka berdua. Setelah itu dia menuang air lemon juice ke dalam cawan.
"Auntie nak cerita pasal apa tadi?" soal Nauri sambil menyuap nasi ke mulut.
"Cerita pasal Rul."
"Kenapa dengan Rul, auntie?" Nauri seakan-akan berminat mendengar cerita berkaitan Tengku Fazrul Shah.
"Dia dah mula buat hal lepas kahwin. Ada ke patut dia nak pindah dari sini dan bawa pompuan miskin tu duduk kat rumah baru. Sakit betul hati auntie. Entah apa yang pompuan tu dah bagi kat Rul sampai Rul sayang sangat."
Nauri hanya memasang telinga. Tekun sungguh dia sambil mencubit sedikit isi ikan sebelum disua ke dalam mulut.
"Mestilah pompuan tu yang suruh auntie. Yalah, kalau duduk kat sini tak dapatlah dia nak jadi mem besar. Orang miskin ni memang itulah kerja dia nak mengikis duit orang kaya. Sebelum jadi apa-apa, lebih baik auntie bersedia. Jangan bagi dia tunjuk besar kepala," kata Nauri, cuba menghasut Tengku Arianis.
"Maksud Nauri?"
"Auntie kenalah halang pompuan tu. Jangan bagi dia muka. Nanti kepala auntie pulak dia pijak sesuka hati. Kalau boleh, biar dia tinggal kat sini aje. Baru padan muka dia. Tak pun, buat sampai dia bercerai-berai. Nanti boleh Nauri kahwin dengan Rul. Masa tu Nauri yakin, Fazrul akan setuju jadikan Nauri sebagai isteri dia." Nauri menghasut lagi.
"Nauri tolonglah auntie sekali. Kita sama-sama singkirkan dia dari rumah ni. Auntie dah tak tahu nak buat apa lagi. Hari tu, uncle dah bagi warning kat auntie masa auntie naikkan suara kat Fazliatun. Uncle pun dah izinkan Rul pindah. Auntie dah tak boleh halang lagi. Susahlah macam ni."
"Auntie jangan risaulah. Nauri tahulah apa yang patut Nauri buat. Kita tengok aje nanti."
"Baguslah kalau macam tu. Senang sikit hati auntie ni. Selagi dia ada dalam rumah ni, selagi tu auntie tak tenang. Entah bila agaknya Rul nak ceraikan dia. Tak sabar pula auntie nak tengok." Beria-ia benar muka Tengku Arianis meluahkan isi hati. Sambil makan, mulutnya tak henti-henti bercakap.
Nauri tersenyum. Nampaknya, Tengku Arianis pun ada rancangan sendiri untuk menyingkirkan Fazliatun dari hidup Tengku Fazrul Shah. Kerjanya akan menjadi mudah selepas ini. Haruskah dia memberitahu Tengku Arianis tentang minyak pengasih yang dia gunakan bagi menggoda Tengku Fazrul Shah? Kerana minyak itulah lelaki itu semakin intim dengannya.
Dia terpaksa menggunakan cara halus begitu kerana sudah tidak ada cara lain lagi. Tengku Fazrul Shah terlalu sukar untuk digoda. Sudah banyak kali dia mencuba, namun tetap tak berhasil. Kali ini, umpannya sudah mengena.
Dan dia cukup yakin, lelaki itu akan jatuh tersungkur di kakinya. Sampai suatu masa nanti, perempuan malang itu pasti diceraikan.
"Mana pompuan tu, auntie? Tak nampak pun dari tadi." Nauri yang baru saja habis makan, tiba-tiba bertanya. Semenjak dia masuk ke dalam rumah ini, tak terlihat langsung kelibat Fazliatun.
"Entahlah. Dalam biliklah tu agaknya. Berkurung dua puluh empat jam. Memang dasar pemalas. Malang betul Rul dapat isteri macam dia. Dia ingat dia tu puteri raja agaknya nak duduk goyang kaki aje. Sedarlah diri sikit menumpang kat rumah orang."
"Kesian Rul. Kalau Naurilah yang jadi isteri Rul, dah tentu Nauri akan bantu bersihkan rumah ni. Memanglah ada orang gaji, tapi Nauri tak suka duduk diam aje kat rumah. Paling tak pun, tolong apa-apa yang patut. Macam tu baru seorang isteri yang solehah," ucap Nauri lagi. Sengaja dia nak ambil hati Tengku Arianis. Dia tahu, wanita separuh usia itu memang senang diperdayakan dengan kata-kata manis.
"Bagus betul Nauri ni. Dahlah cantik, rajin pulak tu. Kalau Nauri jadi menantu auntie, gembira sangat hati ni. Tak macam pompuan tu. Tengok muka dia pun auntie tak
ingin. Buat sakit mata aje pandang lama-lama."Sedang rancak mereka berbual, Fazliatun pun muncul di muka pintu. Fazliatun buat muka selamba. Dia terus naik ke tingkat atas tanpa memandang sedikit pun ke arah mereka berdua. Tengku Arianis mencemikkan muka tanda tidak berkenan. Dijelingnya gadis itu sekilas.
"Dia dengar ke apa yang kita bualkan tadi, auntie?" soal Nauri agak bimbang.
"Tak dengarlah. Kalau dia dengar pun lagi bagus. Entah bila masa dia keluar, auntie pun tak tahu. Ingatkan dah mati kejung kat dalam bilik tu." Naik meluat Tengku Arianis melihat muka menantu yang tidak disukainya itu.
"Memang kurang ajarlah dia tu. Dahlah duduk menumpang kat rumah orang, pastu berlagak pulak. Patutlah auntie tak suka dia. Macam tu rupanya perangai dia. Baru Nauri tahu." Nauri sengaja menaikkan lagi kebencian Tengku Arianis terhadap Fazliatun. Memang itulah niatnya sebenar.
"Tulah yang auntie tak suka. Dahlah anak orang miskin, ada hati pulak nak tunjuk lagak. Auntie memang benci tengok muka dia. Nantilah dia. Auntie tahulah macam macam mana nak ajar dia."
Makin lebar senyuman Nauri. Jelas benar rasa kebencian yang terpancar dari wajah Tengku Arianis. Niatnya untuk mengeruhkan keadaan pasti akan berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Lambat-laun, Tengku Fazrul Shah akan menjadi miliknya juga.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...