"MACAM MANA boleh jadi macam ni, Nauri? Senang-senang aje dia nak putuskan pertunangan. Apa punca sebenar yang berlaku sampai dia tekad buat keputusan mengejut begini? Papa tak boleh terima dia buat anak papa. Kita ada maruah dan harga diri tau. Dia ingat soal kahwin ni boleh dibuat main-main agaknya," marah Datuk Malek.
"Mama pun sama. Rul tu memang dah gila agaknya." Datin Mona terkejut setelah Nauri menjelaskan cerita sebenar kepada mereka berdua.
"Nauri pun tak sangka dia sanggup putuskan pertunangan kami. Dia tetap pilih perempuan miskin tu. Sakit hati Nauri."
"Papa nak dia datang sini jumpa papa. Jelaskan apa sebenarnya yang berlaku? Jangan nak lepas tangan macam tu aje."
"Kejap lagi dia datang dengan keluarga dia. Kita tunggu aje."
"Kesian anak kita, bang. Malu kita. Apa kita nak cakap kat semua orang nanti?" ucap Datin Mona sedih.
"Ni semua salah awak. Beria-ia sangat nak jadikan Fazrul tu menantu. Awak tengoklah apa yang jadi sekarang? Dah bertunang tiba-tiba minta putus. Bukan lama lagi tau majlis kahwin tu, tinggal dua bulan aje lagi. Ish, tak tahulah apa nak jadi dengan anak dara kita ni. Dah kecoh mulut orang bercerita pasal perkahwinan Nauri tak lama lagi. Boleh jadi gila dibuatnya."
Mereka suami isteri sudah buntu. Apa yang boleh dilakukan lagi jika pihak lelaki benar-benar nekad untuk memutuskan pertunangan anak gadis mereka. Terpaksalah mereka terima dengan lapang dada.
"Saya pulak yang salah. Patutnya awak salahkan Rul sebab dia yang buat keputusan mengejut macam ni."
"Dahlah, mama...papa! Tak payah gaduh. Kita dengar aje penjelasan dia kejap lagi." Nauri mencelah.
Tidak berapa lama kemudian, orang yang dinanti-nanti pun tiba.
"Erm...tu pun mereka dah sampai."
Datuk Malek melihat kereta BMW milik Tengku Fazrul Shah baru saja memasuki ruang garaj. Kemudian, keluar Tengku Marzuki dan anak lelakinya. Tidak nampak pula kelibat Tengku Arianis bersama-sama mereka. Barangkali wanita itu ada hal yang lebih penting di luar. Begitu congak Datim Mona.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam," jawab Datuk Malek lantas menuju ke muka pintu.
Mereka berjabat tangan sebelum masuk.
"Eloklah Rul bagitahu sekarang!" arah Tengku Marzuki sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa.
Tengku Fazrul Shah memandang wajah tegang Datuk Malek dan Datin Mona. Nauri di sisinya pula kelihatan masam sejak mereka sampai. Dia tidak peduli apa pun mereka nak kata. Dia sanggup terima dengan rela hati.
"Terlebih dulu, Rul nak minta maaf pada uncle dan auntie. Rul tahu keputusan Rul ni memang keterlaluan. Tapi Rul terpaksa buat juga sebab Rul tak pernah cintakan Nauri. Pertunangan yang berlaku tu dah tersilap dan tak patut berlaku," jelasnya berani.
Bulat mata Datuk Malek dan Datin Mona memandang bakal menantunya itu. Mudah sungguh Tengku Fazrul Shah melafazkan kata. Bagai orang yang tidak ada perasaan sahaja.
"Kau ingat anak aku ni patung ke, hah? Apabila kau suka, kau ambil. Lepas tak suka, kau tinggalkan dia aje macam sampah tak berharga."
"Sabar dulu, Malek. Biar anak aku jelaskan dulu," kata Tengku Marzuki, membela Tengku Fazrul Shah.
"Nak sabar apa lagi. Dah jelas-jelas anak kau nak putuskan pertunangan ni. Kononnya tak cintakan Nauri. Aku terkilan sangat dengan kau. Patutnya sebagai bapa, kau nasihatkan anak kau. Tapi kau boleh pula sokong dia. Aku betul-betul menyesal ada kawan macam kau tahu tak."
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...