Bab 92

27.2K 515 38
                                    

Tiga bulan kemudian...

CEPAT sahaja masa berlalu. Tengku Intan Ruhanis sudah menjangkau usia enam bulan. Makin lincah dan aktif dia bergerak. Sabar sungguh Fazliatun melayan kerenah anaknya. Sesekali dia menjeling pada suaminya yang sedang memandu. Mereka baru pulang dari majlis perkahwinan Firman dan Salwa di Johor Bahru.

Hampir lima jam setengah perjalanan, barulah mereka sampai ke rumah. Ikutkan tarikh sebenar, Firman dan Salwa akan menikah pada hujung tahun ini. Namun terpaksa dicepatkan kerana Firman sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami. Tambahan pula, lelaki itu sudah ada duit simpanan yang cukup. Apa lagi yang perlu ditunggu. Bertuah sungguh Salwa.

Fazliatun gembira kerana Firman dijodohkan dengan wanita sebaik Salwa. Menurut cerita Firman, isterinya itu merupakan seorang guru di Sekolah Agama. Patutlah pakaian Salwa nampak sopan dan menutup aurat. Sesuai sangat mereka berdua menjadi pasangan suami isteri. Bagai pinang dibelah dua. Cukup serasi.

"Sedaplah kereta sayang ni. Laju tau," kata Tengku Fazrul Shah setelah meletakkan kereta di ruang garaj.

"Kereta abang jugak sebab abang yang belikan untuk Tun." Fazliatun membuka pintu dengan cermat.

"Sayang masuk dulu. Barang-barang kat bonet tu, biar abang keluarkan!" arah suaminya.

Fazliatun mengeluarkan kunci rumah lalu membuka mangga. Selama dua hari di Johor Bahru, mereka menginap di Hotel Selesa. Firman ada juga mempelawa mereka tinggal di rumahnya, namun Tengku Fazrul Shah menolak. Tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Setakat tidur di hotel dua hari, apalah salahnya.

Fazliatun duduk sebentar di sofa. Anaknya diletakkan di dalam buaian yang berada di sebelah sofa. Tidak lama selepas itu suaminya masuk sambil membawa satu beg sederhana besar serta beberapa ole-ole dari Johor Bahru sebagai kenangan. Itulah pertama kali Fazliatun pergi ke sana. Kalau tak berkahwin dengan suaminya, entah bila masa dia nak berjalan sejauh itu.

"Mana Koreng dan Kuning?"

Tengku Fazrul Shah menepuk dahi.

"Alamak. Terlupa pula abang. Kejap!"

Dia kembali semula ke kereta. Oleh sebab nak cepat, sampai terlupa dia nak mengeluarkan Koreng dan Kuning. Sejak ada teman baru, Koreng nampak ceria. Sudah dua bulan Koreng berteman. Akibat ulah Kuning, akhirnya Koreng bunting. Hanya menunggu sahaja saat-saat melahirkan.

Koreng dan Kuning diletakkan di rumah Tengku Arianis sepanjang mereka berada di Johor Bahru. Sebelum sampai ke sini tadi, sempat dia mengambil dua ekor kucing itu di rumah mamanya.

"Suka ya duduk dalam kereta dengan husband? Sampai tak nak keluar." Tengku Fazrul Shah mencapai sangkar itu sebelum menutup pintu kereta.

"Makin besar perut Koreng, bang. Bilalah agaknya dia nak beranak ni?" aju Fazliatun sebaik suaminya melepaskan kucing itu. Kelakar Fazliatun tengok. Nak berjalan pun susah dengan perut yang memboyot. Sama macam dia.

"Sini! Besarnya perut kau."

Fazliatun membelai bulu Koreng. Kuning yang juga manja turut datang apabila dipanggil. Digesel-geselkan tubuhnya di kaki Fazliatun. Manja sangat.

"Sibuk pulak dia datang. Macamlah orang panggil dia." Tengku Fazrul Shah mendekat.

Kuning merupakan kucing parsi, seperti Koreng juga. Bulunya sungguh lebat dan berwarna kuning. Dia berminat apabila melihat kucing jantan itu lalu dibelinya sebagai teman Koreng. Pada awalnya, Koreng marah. Namun setelah dua tiga hari selepas itu, akhirnya mereka berbaik-baik. Koreng menjadi lebih manja pula apabila mendapat teman baru. Taklah sunyi lagi.

Isteri SementaraWhere stories live. Discover now