"NAURI dah fikir masak-masak? Rela ke Nauri nak bermadu?" tanya Datin Mona ingin tahu. Terkejut dia apabila anak gadisnya memberitahu ingin berkahwin dengan Tengku Fazrul Shah dalam masa terdekat ini.
"Tak kisahlah, ma. Janji Rul nak kahwin dengan Nauri. Lagipun rumah tangga dia orang tengah ada masalah sekarang ni. Bini dia tu ada skandal dengan lelaki lain," balas Nauri spontan.
"Betul ke ni? Perempuan bertudung litup macam Fazliatun tu pun sanggup berlaku curang kat belakang suami. Pelik betul mama. Apalah nak jadi dengan dia? Nampak aje macam baik, tapi perangai mengalahkan orang tak ada agama."
"Alah mama. Tudung tu cuma nak tutup kejahatan dia aje. Lakonan semata-mata. Sebab tu Rul berubah hati dan buat keputusan untuk kahwin dengan Nauri. Agaknya selama ni Rul makan hati dengan dia. Kesian Rul.”
"Memang rezeki kaulah. Untung anak mama." Datin Mona ketawa. Memang itulah impiannya selama ini.
"Mama setuju ke?"
"Mama tak kisah. Cuma papa kau tu. Kalau dia tak izinkan, susah juga. Takkan nak paksa pula."
"Pandai-pandailah mama pujuk papa. Nanti Nauri bincang dengan Rul pasal pertunangan kami. Mama pujuk tau papa. Nauri merayu sangat ni."
"Yalah, mama cuba."
"Thanks. Sayang mama." Nauri memeluk tubuh Datin Mona. Perasaannya begitu gembira kerana mendapat sokongan penuh mamanya.
NAURI gembira sungguh hari ini. Papanya, Datuk Malek sudah memberi keizinan untuknya berkahwin dengan Tengku Fazrul Shah. Puas juga mamanya memujuk, barulah papanya bersetuju.
"Pandai betul mama pujuk papa. Nauri pun tak sangka papa boleh lembut hati secepat ni. Biasanya memang susah nak berkompromi dengan papa kalau melibatkan perkara serius macam ni. Barulah lega sikit hati Nauri ni. Dah tak tahu nak cakap apa lagi. Terima kasih, mama," kata Nauri agak gembira.
"Mama tahulah macam mana cara nak pujuk papa. Mestilah pandai susun ayat.
Cakap kena lemah-lembut aje. Kalau tak, jangan harap papa nak izinkan Nauri kahwin. Lagi-lagilah dengan suami orang, memang susah dia nak terima."
"Apa yang mama cakap kat papa?"
"Mana boleh bagitahu. Rahsia." Datin Mona tersenyum.
"Ish mama ni, tu pun nak rahsia dengan Nauri. Menyampah tau."
"Tak pentinglah kamu nak tahu. Yang eloknya sekarang, papa dah setuju. Jadi, tak payahlah Nauri nak risau lagi fikirkan pertunangan tu nanti."
"Yalah, mama. Nauri pun dah happy sangat ni. Nauri rasa nak jumpa Tengku Arianis petang ni. Mama ikut sekali tau. Boleh juga bincang pasal pertunangan Nauri dengan Fazrul. Apa kata mama?"
"Elok juga tu. Lagi cepat lagi bagus. Sekarang ni pun dah seminggu puasa. Lepas raya nanti kau orang bertunanglah. Lagi cepat lagi bagus," usul Datin Mona lagi. Memang dia teringin bermenantukan Tengku Fazrul Shah sejak tahun lepas lagi. Namun, ada sahaja halangan yang datang. Kali ini, dia harap mesti jadi. Andai kata Tengku Fazrul Shah menceraikan perempuan miskin itu, lagi baik.
"Nantilah kita bincang kat sana. Jomlah mama kita gerak sekarang! Tak sabar pula Nauri nak jumpa Auntie Anis.”
"Nak pergi sekarang ke?"
"Yalah. Habis tu nak tunggu bila lagi? Inilah masa yang paling sesuai. Lagi cepat kita datang, lagi cepat Nauri kahwin dengan Fazrul."
"Erm...dahlah. Mama nak siap-siap dulu. Kejap lagi mama turun bawah," ujar Datin Mona lantas mengeluarkan baju dalam almari.
"Jangan lambat sangat. Nauri tunggu tau!"
Nauri melangkah keluar dari bilik mamanya. Dia menuju ke ruang tamu. Selepas menunggu hampir dua puluh minit, barulah Datin Mona muncul. Cantik sungguh baju yang dipakai oleh wanita itu. Rambutnya pula disanggul kemas, menyerlahkan lagi raut wajahnya yang awet muda itu. Mereka berdua terus bergerak ke rumah Tengku Arianis.
"LAMA betul you tak datang ke sini. I ingatkan dah tak sudi jenguk I lagi sejak Fazrul kahwin," ujar Tengku Arianis ketika Datin Mona dan Nauri datang ke rumahnya secara mengejut pada petang itu.
"Apa pulak tak sudinya. I ni sibuk aje memanjang uruskan bisnes keluarga. Sampai tak cukup masa nak kejar semua. Lainlah macam you, duduk goyang kaki aje kat rumah. Mentang-mentanglah suami you tu bisnes juta-juta. Mana boleh sama macam husband I. Kami ni buat bisnes kecil-kecilan aje." Datin Mona mengusik Tengku Arianis.
Hubungan mereka memang rapat kerana Tengku Marzuki mengenali Datuk Malek atas urusan bisnes. Pada awalnya, Datin Mona yang mengusulkan cadangan untuk mengahwinkan anak gadisnya dengan Tengku Fazrul Shah. Tengku Arianis pula turut bersetuju kerana menyenangi keperibadian Nauri yang nampak moden dan penuh karisma. Memang sesuai untuk dijadikan menantu.
"Sama jugaklah tu, Mona. You pun kaya juga. Kalaulah Nauri kahwin dengan Fazrul, mesti sekarang ni bisnes kita dah berkembang majukan. Sama-sama dapat untung. Cuma tu lah, tak ada jodoh." Tengku Arianis seakan-akan mengeluh. Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.
"Kalau ada jodoh mesti kahwin juga dia orang. Fazrul tak ada cakap apa-apa ke kat you?"
"Cakap apa pula?" Muka Nauri dan Datin Mona dipandang silih berganti. Soalan itu mengundang seribu tanya.
"Sebenarnya, Nauri dengan Rul dah rancang nak bertunang auntie," jelas Nauri gembira.
"Betul ke ni, Nauri? Rul tak ada cakap pulak? Dah lama dia tak balik sini lepas duduk rumah baru dengan pompuan tak guna tu."
"Mungkin Rul perlukan masa kot. Hari tu dia ada cakap kat Nauri nak masuk meminang."
"Auntie memang tak tahu langsung pasal perkara ni. Macam mana Rul boleh berubah fikiran pulak? Habis tu, isteri dia macam mana?" Makin buntu otak Tengku Arianis untuk berfikir.
"Rul akan ceraikan pompuan tu."
Tengku Arianis terkejut.
"Mana Nauri tahu?"
"Rul yang cakap kat Nauri. Dia dah tak tahan nak hidup dengan isteri dia sebab menantu auntie tu ada skandal dengan lelaki lain. Nasib baik Nauri nampak mereka berdua tengah hangat memadu asmara kat Plaza Sungei Wang hari tu. Kalau tak, entah sampai bila agaknya pompuan tu nak tipu Rul."
Penjelasan Nauri itu sedikit sebanyak menggembirakan hati Tengku Arianis. Tidak menyangka, begini pengakhiran hidup menantu yang tidak disukainya itu. Memang sesuai sangat dengan muka Fazliatun. Baru dia tahu langit itu tinggi ke rendah. ‘Tulah, berlagak sangat. Kau rasalah macam mana hidup selepas bercerai nanti. Padan muka kau pompuan. Tak ada penyakit, cari penyakit. Memang tak salah aku meneka. Nampak aje macam perempuan baik-baik. Tapi perangai mengalahkan perempuan murahan.’
"Seronoknya auntie dengar. Nampaknya, ada harapanlah kita nak berbesan lepas ni, Mona."
"Harap-harap macam tulah. Tu yang kami datang sini. Nak bincang pasal pertunangan Nauri dan Fazrul. I memang tak ada halangan. Husband I pun dah setuju," sampuk Datin Mona.
"Elok sangatlah tu. Nanti I bincang dengan Rul secepat yang mungkin. Rul cakap apa aje kat Nauri?"
"Dia bagitahu nak bertunang selepas bulan puasa ni. Tapi, tak confirm lagi. Harap-harapnya, tak ada apa-apa halangan.”
"Dah dekat sangat tu. Sempat ke nak buat persiapan? Kalau boleh, auntie nak buat besar-besaran. Nak jemput ramai orang. Baru meriah sikit majlis tu." Teruja sungguh muka Tengku Arianis. Penuh bersemangat dia bercerita.
"Nauri pun tak tahu. Nauri ikut aje."
"Rasanya elok kalau kita duduk berkumpul. Baru senang nak cerita. Panggil sekali Fazrul dengan Tengku Marzuki," cadang Datin Mona pula. Sukar rasanya berbincang tanpa ada anak lelaki dan suami Tengku Arianis.
"Sekejap lagi I call dia. Sekarang ni pun waktu ofis. Dia orang pun tengah kerja. I rasalah, elok buat majlis tu bulan lapan. Taklah terburu-buru sangat. Cepat-cepat pun nak buat apa. Janji Nauri dengan Rul tunang. Tu yang paling utama.”
"I pun fikir macam tu. Bukan lama sangat nak tunggu. Sekarang ni pun dah masuk pertengahan bulan jun. Ada masa lebih kurang sebulan lebih aje. Pejam celik pejam celik dah bulan lapan."
"Nauri tak kisah, ma. Janji dapat tunang dengan Rul. Soal cepat atau lambat tu nombor dua."
"Tak apalah. Nauri sabar aje sikit. Auntie doakan jodoh korang kekal sampai bila-bila."
"Terima kasih, Anis," ucap Datin Mona.
Lama juga mereka berbual. Banyak topik yang dibincangkan. Melarat sampai ke bab kahwin. Teruja punya pasal.
"Tapi, bini Rul tu tak mengandung ke? Manalah tahu dia tengah berbadan dua. Esok-esok nanti, susah pulak mereka berdua nak cerai." Datin Mona menyuarakan kebimbangan.
"I pun tak tahu pasal hubungan dia orang. Cuma yang I tahu, Rul memang sayang sangat kat isteri dia. Kalau dah sayang, takkanlah dia nak diam aje tengok bini depan mata. Nama pun orang lelaki, Mona. You faham-faham sendiri ajelah."
Nauri memandang wajah Tengku Arianis. Risau juga dia memikirkan hal yang satu itu. Bagaimanakah kalau Fazliatun mengandung? Bolehkah Tengku Fazrul Shah menceraikan isterinya jika isterinya berbadan dua? Pening juga kepalanya memikirkan masalah itu.
"I harap tak mengandunglah. Cuba you bayangkan jika isteri Rul mengandung? Mesti dia tak akan ceraikan pompuan tu.”
"Susah juga tu."
Kali ini Tengku Arianis mengeluh lagi.
TENGKU MARZUKI sampai ke rumah lebih kurang jam enam petang. Ketika dia keluar dari kereta, dia melihat ada kereta Tengku Fazrul Shah dan Nauri di ruang garaj. Ada hal apa pula mereka datang ke rumahnya petang-petang begini. Jika ada perkara penting, tidak mungkin mereka berkunjung ke sini. Segera dia melangkah ke pintu utama lalu memberi ucapan salam sebelum melangkah masuk ke dalam.
"Ada apa riuh-rendah ni, Anis? Dari luar rumah lagi abang dah dengar suara kau orang bercakap." Wajah isteri dan anaknya itu dipandang.
"Ni ha, pasal Nauri dengan Rul," jawab Tengku Arianis takut-takut. Bimbang juga jika suaminya akan melenting apabila mendapat tahu perkara sebenar.
"Kenapa pulak dengan dia orang?" Makin pelik Tengku Marzuki. Dia merasakan seperti ada perkara penting yang mereka bincangkan antara Nauri dan anak lelakinya. Hatinya dihujani seribu tanda tanya.
Tengku Arianis menoleh ke arah anaknya. Matanya bergerak-gerak bagaikan satu isyarat supaya Tengku Fazrul Shah menjelaskan hal sebenar yang berlaku kepada suaminya.
"Rul ada benda nak cakap sikit dengan papa. Mari kita pergi ke luar sekejap!" Tengku Fazrul Shah menarik tangan papanya menuju ke pondok. Biarlah mereka berbicara dua mata sahaja. Lebih selesa.
"Ada apa ni, Rul? Papa tak faham."
"Papa dengar dulu penjelasan Rul ni. Harap sangat papa mengerti dan hormati semua keputusan Rul," ucapnya penuh sopan santun.
"Cuba terus-terang kat papa! Kenapa?"
Tengku Fazrul Shah mengumpul nafas sedalam mungkin. Berdebar-debar juga jantungnya untuk menerangkan tujuannya itu. Melihatkan riak wajah papanya itu, membuatkan dia kecut perut.
"Sebenarnya, Rul dah buat keputusan nak bertunang dengan Nauri." Dalam debar, dia mengucapkan perkataan itu dengan sekali nafas.
Terkejut Tengku Marzuki. Berubah terus mukanya.
"Rul dah gila ke? Habis tu macam mana dengan Tun? Korang kan baru nikah tak sampai tiga bulan lagi." Mengucap panjang Tengku Marzuki. Dia mengurut-urut dadanya beberapa kali. Nafasnya turun naik.
"Rul terpaksa, pa. Lagipun Rul dah tak cintakan dia. Hati Rul dah lama mati buat dia."
"Senang betul kau cakap soal cinta kat papa. Selama ni kau kahwin dengan Tun sebab apa pula kalau bukan kerana cinta. Kenapa sekarang ni hati kau boleh berubah secara tiba-tiba pula? Papa betul-betul tak faham dengan perangai kau. Apa salah Tun sampai kau nak buat dia macam tu?"
"Papa tak faham perasaan Rul."
"Apa yang papa tak faham? Cuba Rul jelaskan kat papa?"
"Tun dah curang kat belakang Rul. Dia ada hubungan dengan lelaki lain, pa. Nauri sendiri yang nampak."
"Kau lebih percayakan cakap Nauri berbanding cakap isteri kau sendiri. Suami macam apa kau ni? Dari dulu lagi papa memang tak berkenan dengan Nauri tu. Pandai bermuka-muka," sindir Tengku Marzuki tajam.
"Nauri tak tipu, pa. Dia cakap benda yang betul." Tengku Fazrul Shah membela Nauri.
"Mana kau tahu dia cakap betul? Perempuan jahat macam Nauri tu memang pandai reka-reka cerita untuk dapatkan kepercayaan kau. Jangan mudah terpedaya."
"Rul ada bukti. Nauri sempat ambil gambar Tun dengan lelaki tu. Kalau papa tak percaya, Rul boleh tunjukan gambar tu."
"Tak payahlah. Papa lebih percayakan menantu papa. Dia seorang perempuan yang baik. Tak mungkin dia nak calarkan maruah dia sendiri kerana lelaki lain. Papa tak akan percaya sama sekali. Never."
Tengku Fazrul Shah menahan rasa. Susah benar papanya nak percaya dengan semua kata-katanya. Pantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya. Gambar Fazliatun dan Firman ditunjukkan kepada Tengku Marzuki.
Tenang sahaja muka Tengku Marzuki. Dia langsung tak terkejut melihat gambar itu. Sesungguhnya dia tahu, gambar itu merupakan gambar super impose. Hanya anaknya saja yang buta mata hati.
"Ni aje ke gambarnya Rul nak tunjuk? Ada lagi tak gambar lain? Kalau ada, papa nak tengok." Selamba sahaja muka Tengku Marzuki.
"Papa tak percaya ke? Ni kan gambar Tun. Menantu macam ni ke yang papa nak agung-agungkan? Dah jelas-jelas dia curang kat belakang Rul. Isteri apa macam tu kalau ada hubungan dengan lelaki lain?"
"Orang yang tak ada mata hati dan naluri aje yang nampak Tun bersalah. Papa tak nampak pun. Gambar tu bukannya gambar betul. Dah diedit biar nampak real. Kalau betul sekalipun, Rul kena panggil Tun dan lelaki tu duduk satu meja...bawa berbincang. Bukannya nak letakkan kesalahan kat bahu Tun sorang. Tak adillah macam tu," nasihat papanya lembut.
"Papa pun samalah macam Tun. Dah buat salah tapi tak nak mengaku. Dahlah papa. Kalau papa tak izinkan Rul kahwin dengan Nauri, Rul tak kisah. Rul tetap akan kahwin dan akan ceraikan Tun sebaik saja kami bernikah," ucap Tengku Fazrul Shah tegas. Dia sudah habis berfikir. Apa saja keputusan papanya, dia tidak peduli lagi walaupun dia akan ditentang habis-habisan.
"Astaghfirullahalazim, Rul! Apa yang Rul cakapkan ni. Bawa mengucap. Jangan ikutkan sangat rasa marah tu. Tak elok. Jangan bertindak terburu-buru tanpa berfikir panjang. Kelak menyesal kemudian hari."
"Rul dah fikir masak-masak dan tak akan ada sesiapa pun boleh halang Rul termasuk papa."
"Papa tak izinkan. Kalau Rul tetap degil jugak, papa tak akan mengaku Rul sebagai darah daging papa. Rul fikirlah baik-baik."
"Kenapa papa nak pertahankan sangat pompuan tak guna tu? Apa yang dia dah bagi kat papa sampai papa dah tak percayakan anak sendiri?" Suara Tengku Fazrul Shah meninggi.
"Rul jangan nak naikkan suara kat papa. Papa tak pernah ajar Rul jadi biadab macam ni. Benda apa yang dah merasuk dalam badan Rul sampai nak kurang ajar dengan papa ni," marah Tengku Marzuki. Situasi ketika itu benar-benar tegang.
Tengku Arianis yang mendengar suara bising Tengku Marzuki terus menjengah ke luar pintu. Dia menjangkakan ada pertengkaran besar yang berlaku antara suami dan anaknya itu. Sudah pasti Tengku Marzuki membantah cadangan anaknya untuk berkahwin dengan Nauri.
"Apa yang bising-bising tu, Anis?" tanya Datin Mona. Dia dan Nauri masih setia menunggu sejak tadi.
"Entahlah, I pun tak tahu. Mesti suami I bantah rancangan Rul. Pompuan tu kan menantu kesayangan dia. Sebab tu dia marah," ucap Tengku Arianis cuba membuat andaian.
"Masalah lagi tu. Susahlah macam ni kalau suami you tak setuju." Risau sungguh Datin Mona.
Sementara itu, Tengku Marzuki dan Tengku Fazrul Shah masih berbalah sesama sendiri. Perbuatan mereka berdua hanya dilihat oleh Tengku Arianis dari jauh. Entah apa yang dibincangkan. Ingin sahaja dia mencuri-curi dengar untuk mengetahui butir perbualan suami dan anaknya.
"Rul fikirlah masak-masak apa yang papa cakap. Papa tak nak Rul menyesal pilih Nauri sebagai isteri. Percayalah cakap papa. Bagi papa sebagai orang yang lebih dulu merasa hidup berumah tangga, Tun adalah seorang isteri yang baik dan boleh jaga Rul dengan seikhlas hati dan jiwa. Kalau Rul pilih Tun, sampai bila-bila pun hidup Rul akan aman bahagia."
Panjang lebar nasihat Tengku Marzuki. Sebagai seorang ayah, dia mengharapkan yang terbaik buat anaknya. Dia tak mahu Tengku Fazrul Shah tersilap langkah dan menyesal di kemudian hari. Sayang sungguh jika anaknya ingin menceraikan Fazliatun yang baik itu.
"Maafkan Rul, papa! Rul tak boleh nak ikut cakap papa. Rul dah terlanjur sayangkan Nauri. Rul dah tak boleh nak patah balik lagi. Rul harap, papa faham dan hormat keputusan Rul ni."
Sebaik sahaja Tengku Fazrul Shah habis bercakap, Tengku Marzuki terus berlalu pergi. Biarlah anak lelakinya itu dengan keputusannya. Dia malas nak masuk campur lagi. Dia benar-benar sedih dan kecewa apabila Tengku Fazrul Shah mengambil keputusan tanpa berfikir panjang.
"Nanti dulu papa. Rul belum habis cakap lagi!" Dia memanggil papanya berulang-ulang kali namun Tengku Marzuki tidak mengendahkan panggilannya.
FIKIRANNYA betul-betul berserabut. Ini semua gara-gara Fazliatun. Dia sakit hati dan geram apabila memikirkan isterinya itu. Kenapalah papanya sayang sangat pada Fazliatun? Tak faham betul dia. Sudah jelas-jelas Fazliatun curang, tetapi masih juga nak dipertahankan.
Apa yang sempurna sangat pada diri isterinya itu, dia pun tak tahu. Papanya memang sudah buta untuk menilai. Apa sahaja berkaitan Fazliatun, semuanya elok dan baik. Naik menyampah dia jadinya. Lantaklah apa pun yang akan jadi. Kalau Tengku Marzuki tidak mahu mengaku dia sebagai anak, dia tak kisah. Biarlah, asalkan dia puas. Keputusannya sudah muktamad.
Malam itu, Tengku Fazrul Shah tidak pulang ke banglonya. Dia bermalam di rumah keluarganya. Tak kuasa dia nak pandang muka Fazliatun. Buat sakit hati saja. Dia bimbang andai tidak boleh mengawal diri, habis dicekiknya leher isterinya itu sampai mati gara-gara ikutkan sangat rasa marah. Lebih elok dia tidur di sini untuk menggelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Tengku Fazrul Shah merebahkan diri sekejap. Fikirannya melayang jauh mengingati Nauri yang cukup disayanginya itu. Biar apa pun yang akan berlaku, dia tetap akan mengahwini gadis itu. Cinta dan kasihnya terlalu besar dan tidak boleh dihalang oleh sesiapa pun melainkan kuasa Allah. Kali ini dia benar-benar nekad dengan keputusannya. Ya, dia cukup yakin.
Telefon yang terletak di atas meja segera dicapai. Nombor Nauri akhirnya ditekan. Tidak sampa beberapa saat, Nauri menjawab panggilan itu.
“I bimbanglah, Rul! Papa you tu macam mana?”
"You jangan risaulah, sayang! Apa pun jadi, kita tetap akan kahwin. Tadi I dah bincang dengan mama. Dalam pertengahan bulan lapan kita bertunang, ya," jelasnya memujuk Nauri.
"Betul ni? You tak tipu?"
"Ya, sayang. I promise!"
"I akan tetap tunggu you biarpun seribu tahun lagi. Itu janji I." Pandai sekali Nauri mengatur ayat. Cair Tengku Fazrul Shah mendengar.
"Tenang jiwa I dengar you cakap macam tu. I dah tak sabar tau nak kongsi hidup dengan you. Mesti seronokkan, sayang."
"I pun sama juga. Nak tidur pun kadang-kadang tak lena, asyik teringatkan you siang dan malam.
"Kesian you. Sabarlah sikit. Tak lama aje lagi kita nak tunang. Lepas enam bulan, kita kahwin. Kalau boleh, sekarang ni juga I nak kita kahwin. Tapi keadaan tak mengizinkan."
"Entahlah. I rasa sebulan tu macam setahun lamanya. Ni lagilah kalau lebih daripada enam bulan. Memang letih nak tunggu," rengek Nauri seperti anak kecil.
Hati Tengku Fazrul Shah kembang setaman.
"Tak apalah. Nanti tiap-tiap hari kita jumpa untuk lepaskan rindu. Kalau I sibuk, kita jumpa tiap-tiap hujung minggu. Masa tu, I akan habiskan masa dengan you dua puluh empat jam. Kita jalan-jalan makan angin. You cakap aje kat mana you nak pergi, I akan bawa. Hehe. Suka tak macam tu?"
"Sukalah. Sambil tu, boleh you bawa I shopping. Tak pun kita pergi bercuti ke luar negara. You ambillah cuti lama sikit. Baru puas makan angin. Mesti romantik macam tu," tutur Nauri lagi.
"Demi you, I rela berkorban apa saja. I tak kisah asalkan you gembira. Cinta I tak boleh nak digambarkan dengan kata-kata. Terlalu besar dan tak ternilai. I harap you hargai semua pengorbanan I ni."
"Thanks, darling! I teringin sangat nak bercuti kat Pulau Bali. Pantai kat sana cantik sangat. Kita pergi nak?" pinta Nauri penuh mengharap. Dia belum berpeluang pergi ke sana. Teringin pula menjejakkan kaki di tempat yang menjadi destinasi bagi pasangan baru berkahwin berbulan madu.
“Boleh jugak tu. I pun dah lama tak makan angin kat luar negara.”
“Bila nak pergi?”
“Nanti I rancang masa, ya. Kalau I tak sibuk, baru kita pergi,” ucap Tengku Fazrul Shah lembut.
“Yalah. Tapi, jangan lambat sangat.”
“Orait, my princess!”
Mereka berdua tertawa riang. Asyik sungguh berbual sampai ke larut malam. Bercerita pasal masa hadapan yang akan dibina setelah berumah tangga nanti. Nauri sudah memasang angan-angan setinggi langit biru.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...