Tiga tahun yang lalu...
MAWAR mempercepat langkah menuju ke keretanya. Terburu-buru dia selepas tamat waktu bekerja. Dia ingin bertemu dengan bekas kekasihnya, Fuad yang baru balik dari luar negara kira-kira dua minggu yang lepas. Masuk kali ini, baru dua kali mereka bertemu. Rindunya terasa menggunung buat lelaki itu. Biarpun dia sudah bertunang dengan Tengku Fazrul Shah, namun cintanya masih menebal buat Fuad.
"You masih cantik lagi, sayang. Cantik sangat," puji Fuad berbasa-basi. Sekadar ingin mengambil hati Mawar.
"Terima kasih." Tersipu-sipu malu wajah Mawar apabila dipuji begitu. Saat itu mereka berdua sedang duduk di sebuah pantai.
"I nak minta maaf sebab tinggalkan you macam tu aje dulu. Tak patut I buat macam tu. Im so sorry, honey!"
"Tak payahlah you nak minta maaf. Dalam situasi sekarang, tak ada siapa pun yang salah. You pergi sana sebab study bukan berseronok. I dah lama maafkan you. Cuma I nak bagitahu you, yang I dah bertunang dengan lelaki lain. Dan kami akan berkahwin tiga bulan dari sekarang," terang Mawar sedikit gugup.
"Sampai hati you."
"I terpaksa pilih dia sebab you dah tak pedulikan I lagi. Hampir tiga tahun you senyap tanpa khabar berita. Salah ke kalau hati I berubah arah? Hubungan kita dah lama berakhir semenjak you tinggalkan I."
Fuad meraup muka dua kali. Kesalnya bertepi. Salahnya juga kerana meninggalkan Mawar begitu sahaja. Wajarlah andai gadis itu memilih lelaki lain. Tempoh tiga tahun itu bukanlah satu jangka masa yang singkat. Apa-apa saja boleh berlaku sepanjang waktu tersebut.
"You tak sayangkan I ke?"
"Sayang."
"Kalau you cintakan I, putuskan pertunangan tu. Kita kahwin ya, sayang" usul Fuad.
"Tak boleh. I dah nak kahwin dengan dia. Susahlah. I tak nak cari masalah. Kalau abang I tahu, mesti mengamuk dia."
"Apanya yang susah? You cakaplah you dah ada lelaki lain. Senang cerita," kata Fuad selamba.
"Tak semudah tu, Fuad. Segala persiapan telah kami atur. Takkan I nak buat tindakan melulu macam tu gara-gara nak kahwin dengan you. Apa kata keluarga I nanti? Mesti mereka akan marah kat I."
"Kita kahwin lari," ucap Fuad lantas menggenggam erat jemari Mawar. Wajah gadis yang amat dicintai itu ditatap penuh kasih.
"You dah gila ke?"
"I memang dah gilakan you. Menyesal sangat sebab tinggalkan you. I mulai sedar hanya you wanita yang paling I cintai. Tak ada orang lain boleh gantikan tempat you. Trust me, sayang!"
Mawar pantas menggeleng.
"Kenapa ni, sayang?"
"I tak boleh penuhi keinginan you. Maaf."
"Tapi kenapa? Bukan ke you sayangkan I? Inilah peluang untuk kita berkahwin. I tahu you masih cintakan I macam dulu."
"Memang I masih sayangkan you. Cuma I tak boleh batalkan perkahwinan tu. Ni soal masa depan I. Bukan senang I nak kahwin dengan lelaki kaya macam Fazrul. I tak nak hidup susah lagi. I nak hidup senang-lenang macam orang lain. You kena hormati keputusan I."
Begitu kata-kata muktamad dari Mawar. Memang dia pernah cintakan Fuad suatu masa dahulu. Sampai saat ini pun, kasihnya tetap menebal buat lelaki itu. Namun, dia tidak boleh melepaskan Tengku Fazrul Shah yang merupakan lubuk emas baginya. Daripada dia memilih cinta sejatinya, dia lebih rela lagi memilih harta dan wang ringgit.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomansaGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...