SUASANA di sekeliling mereka kedengaran sepi tanpa suara. Fazliatun masih tekun meneliti surat perjanjian yang kini berada di tangannya itu. Cuba membaca betul-betul setiap apa yang tertulis dalam kontrak tersebut. Dia tidak mahu terlepas pandang walaupun sedikit. Sesekali, anak matanya memandang wajah Tengku Fazrul Shah silih berganti dengan wajah seorang lelaki yang masih tidak dikenalinya sejak tadi.
"I kenalkan, ni Rizal! Dia adalah saksi bagi perkahwinan sementara kita ni."
Rizal menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Fazliatun namun, salamnya itu tidak bersambut. Tersipu-sipu muka Rizal. Fazliatun hanya memaniskan muka sebagai tanda perkenalan.
"I harap you tak curiga dengan segala isi kandungan yang ada kat dalam surat perjanjian tu. Semuanya I dah sediakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Kalau you setuju, you boleh sign kat bahagian bawah surat," ucap Tengku Fazrul Shah lagi.
Fazliatun teragak-agak untuk menurunkan tandatangan. Entah mengapa, hatinya tiba-tiba menjadi tidak sedap. Lama juga dia terdiam. 'Nak sign ke tak ni? Kalau aku sign, maksudnya aku dah setuju jadi isteri sementara dia.' Bukan lama lagi tarikh perkahwinan mereka. Tinggal tiga minggu sahaja lagi mereka akan bertunang. Selepas sebulan bertunang, terus buat majlis kahwin.
'Apa yang aku nak bimbangkan? Lagipun, Rizal dah jadi saksi kami dan secara tak langsung, kontrak perjanjian ni ada hitam dan putih. Andai berlaku sebarang masalah di kemudian hari, aku boleh bawa perkara ni kat mahkamah. Buat apa nak takut. Tapi...?'
"Boleh percaya ke surat perjanjian ni, encik? Manalah tahu kalau encik nak tipu saya ke?" soalnya curiga.
"Kalau I nak tipu you pun, apa yang I dapat. Tak bawa apa-apa untung pun pada I." Tengku Fazrul Shah bermanis mulut. Rizal yang berada di sebelahnya turut mengiyakan kata-katanya.
"Betul tu cik! Cik tak perlu risau. Saya kan ada sebagai saksi. Cuba cik tengok...nama saya pun ada kat dalam borang ni!"
Sekali lagi, Fazliatun meneliti surat perjanjian itu. Tertera nama Rizal sebagai saksi, nama Tengku Fazrul Shah sebagai pengantin lelaki dan nama dia sebagai pengantin perempuan. Di akhir bawah surat pula, ada ruang untuk menurunkan tandatangan.
Sebenarnya, Fazliatun pun tidak begitu arif tentang syarat perjanjian yang melibatkan urusan sebegini. Manalah dia pernah ambil kisah. Kalau dia ambil tahu pun, untuk apa? Jadi, dia beranggapan surat perjanjian itu boleh diguna pakai pada kemudian hari andai berlaku perkara yang tidak diingini. Akhirnya dia bersetuju menurunkan tandatangan dengan hati yang cukup yakin.
"Baiklah, saya setuju!" ucapnya tanpa ragu-ragu.
Tengku Fazrul Shah mengangguk kecil seraya tersenyum. "Kalau you setuju, you sign kat bahagian bawah surat! Kat situ ada nama you," arah Tengku Fazrul Shah sedikit gembira. Nampak gaya, usahanya selama ini akan berhasil. Tidak sia-sia dia memilih Fazliatun sebagai calon isteri. Gadis itu memang sesuai diperalatkan.
Tanpa berfikir panjang, Fazliatun terus menurunkan tandatangan. Dia kelihatan tenang dan selamba. Sesudah itu, Tengku Fazrul Shah dan Rizal pula melakukan hal yang sama seperti dia buat.
"Ni salinan untuk you. Simpan baik-baik!" Tengku Fazrul Shah menyerahkan salinan surat perjanjian itu kepada Fazliatun. Dia dan Rizal turut mendapat surat itu.
Rizal yang sejak tadi menjadi pemerhati begitu ralit memandang wajah Fazliatun. Gadis itu dilihatnya biasa-biasa sahaja seperti perempuan kampung. Pelik juga bagaimana sahabatnya itu boleh berkenan untuk menjadikan Fazliatun sebagai isteri sementara. Dengan tudung labuh serta baju kurung, Fazliatun nampak tidak sesuai jika menjadi isteri Tengku Fazrul Shah.
'Cantik lagi, Nauri! Bagai langit dengan bumi,' bisiknya halus.
"Tahniah, Rul! Aku doakan kau bahagia dengan perkahwinan ni."
"Terima kasih."
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...