Bab 75

15.2K 327 0
                                    

"MANA pulak mama ni pergi? Kat mana dia tidur malam tadi?" soal Tengku Fazrul Shah sedikit risau. Wajah papanya dipandang.

"Kejap lagi baliklah tu. Bukannya Rul tak tahu perangai mama macam mana. Kalau merajuk aje mesti tinggalkan rumah," jawab Tengku Marzuki.

"Rul risau sangat, pa. Call pun tak dapat. Entah kat mana mama ada sekarang? Yang hairannya nombor mama langsung tak dapat dihubungi. Pelik sangat."

"Bila Rul call?"

"Tadi pagi."

"Mungkin dia offkan telefonlah tu. Cuba call lagi sekali."

Tengku Fazrul Shah menurut kata papanya. Dia menekan lagi nombor telefon mamanya. Namun, hampa. Tetap sama seperti pagi tadi.

"Tak dapatlah, pa."

"Merajuk betul mama ni. Takkan sebab Rul putus tunang dengan Nauri, dia sampai nak merajuk macam ni. Hairan juga papa. Tak apalah, kalau sampai petang ni mama masih tak balik, kita pergi buat laporan polis," usul Tengku Marzuki. Risau juga hatinya mengenangkan isterinya.

"Rul harap mama balik. Rul tahu ni semua silap Rul. Mesti mama sedih dan terkilan sebab tak dapat bermenantukan Nauri."

"Tak payahlah nak salahkan diri sendiri. Memang Nauri tak layak jadi isteri Rul. Papa yakin, apa yang berlaku ni ada terselit hikmah dan pengajaran."

Tengku Fazrul Shah termenung sejenak. Fikirannya melayang pada Tengku Arianis. Kesalnya masih berbaki sampai sekarang. Jauh dari sudut hatinya, dia tahu mamanya marah padanya. Sebab itulah, mamanya merajuk. Tidak terniat langsung di hatinya untuk berkasar dengan mamanya. Dia betul-betul tak sengaja. Permintaan Tengku Arianis terlalu sukar dipenuhi.

'Maafkan Rul, ma! Rul tak ada niat nak sakitkan hati mama. Segala keputusan Rul ni untuk kebaikan Rul juga pada masa akan datang. Rul harap mama akan mengerti pada suatu masa nanti,' keluhnya dalam hati.

Setelah agak lama mereka berdiam, akhirnya Tengku Marzuki bersuara.

"Tun apa khabar? Rul tak nak pergi jenguk dia ke? Pergilah pujuk dia." Tiba-tiba Tengku Marzuki bertanya.

Pantas Tengku Fazrul Shah mengangkat wajah.

"Dia tak nak jumpa dengan Rul. Terpaksalah Rul hormati keputusan dia. Rul tahu, susah bagi Tun nak terima Rul setelah apa yang terjadi. Jiwanya masih tertekan dan terganggu. Biarlah dia tenangkan diri sampai dia betul-betul okey."

"Rul tak nak suruh papa pujukkan dia?"

"Maksud papa?"

"Papa boleh pujuk dia supaya terima Rul semula. Mesti hati dia akan lembut."

"Tak payahlah, pa." Tengku Fazrul Shah menolak.

"Kenapa?"

"Rul tak nak dia terima Rul sebab papa. Biarlah dia ikhlas terima Rul kerana diri dia sendiri. Bukan sebab orang lain."

"Tapi tak salahkan papa cuba. Dalam keadaan macam ni, elok kalau Rul jaga dia. Lebih-lebih lagi saat ni Tun sedang mengandung. Jiwanya tambah halus dan sensitif. Rul kena selalu ada kat sisi dia untuk bagi kata-kata perangsang."

"Ikut papalah!"

Akhirnya dia bersetuju juga. Andai itu jalan terbaik bagi menyelamatkan rumah tangganya, dia sanggup. Manalah tahu kalau hati Fazliatun menjadi lembut apabila papanya memujuk. Belum cuba, belum tahu.

"Rul tak nak ikut sekali ke?"

"Pergi ke mana pula?"

"Jumpa Tun."

Isteri SementaraWhere stories live. Discover now