ALLAHUAKBAR Allahuakbar Allahuakbar, Laillah Ha Ilallah Hu Wallahuakbar, Allahuakbar Wa Lillah Hilham...
Suara takbir sayup-sayup kedengaran dari corong masjid yang berhampiran pada pagi Hari Raya Aidilfitri itu. Terasa hening dan sayu apabila mendengar alunan takbir tersebut. Meruntun hati kecil Fazliatun saat mendengarnya. Menggamit rindunya pada keluarga. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia menyambut Aidilfitri tanpa ditemani oleh insan tersayang. Jauh sekali suami ataupun teman-teman rapat. Sengaja dia tidak menjawab tiap kali Raihana menghubunginya.
Buat masa ini, dia tidak mahu bertemu dengan sesiapa. Biarlah dia bersendirian untuk menenangkan diri. Tengku Fazrul Shah pula sudah tiga hari tidak balik ke rumah. Menurut suaminya, hari pertama, kedua dan ketiga dia akan beraya bersama-sama keluarganya dan keluarga Nauri. Selepas itu, dia akan bercuti dengan Nauri selama empat hari di Pulau Bali, Indonesia. Dan seperti biasa, tinggallah Fazliatun keseorangan diri di sini. Menanti sesuatu yang tidak pasti.
Fazliatun duduk di ruang tamu. Tak tahu nak makan apa pagi ini. Selalunya tiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, dia akan membantu emaknya menyediakan persiapan seperti membuat kuih dan kek, memasang langsir, menukar sarung kusyen dan membersihkan rumah. Kalau awal pagi begini, sudah sibuk dia dan emaknya memasak kuah kacang, kuah lodeh dan rendang ayam. Ayahnya dan adik-adiknya pula merebus ketupat dan lontong. Kenangan lama tiba-tiba terimbau di ingatan.
"Sedapnya kuah kacang ni, mak. Tambah pula kalau makan dengan rendang. Memang dua pinggan Tun tambah," ujar Fazliatun sambil tersengih-sengih.
"Makanlah sampai kenyang. Hari ni kan hari raya, hari untuk kita bergembira selepas sebulan berpuasa. Jangan naik berat badan dahlah. Lepas tu membebel kat mak. Memang mak jahit mulut tu," balas Puan Rohaya pula.
Gembira dia melihat semua anaknya berkumpul pada pagi raya begini. Biarlah keluarganya tidak berkemampuan, namun setiap nikmat yang mereka rasa tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Kenangan itu yang paling mahal dan berharga baginya. Menyambut raya bersama-sama keluarga tersayang memang menyeronokkan.
"Mak, Iman nak ayam besar-besar tau. Lepas tu, ketupat dua biji...lontong separuh."
"Izhar pun sama, mak," ucap Izhar kemudiannya.
"Amboi korang, mentang-mentanglah dah hari raya...makan tu langsung tak ingat dunia." Fazliatun mengusik adik-adiknya.
Encik Ahmad dan Puan Rohaya sama-sama ketawa. Geli hati melihat telatah anak-anak mereka. Cepat sungguh masa berlalu. Terasa seperti baru semalam mendengar tangisan mereka di buaian. Hari ini, sudah besar panjang semuanya. Encik Ahmad bersyukur kepada Allah kerana mengurniakannya anak-anak yang taat dan selalu mendengar kata orang tua. Tiada apa lagi yang diharapkan selain melihat kebahagiaan isteri dan anak-anaknya.
Selepas makan, mereka meminta maaf dan bersalam-salaman antara satu sama lain. Masa inilah Fazliatun akan menangis. Wajah emak dan ayahnya akan dicium penuh kasih. Tak henti-henti dia meminta ampun dan maaf atas kesalahan yang pernah dilakukan sama ada secara sengaja ataupun tidak.
Apabila teringatkan kenangan itu membuatkan hati Fazliatun sedih. Jiwanya meronta dalam diam. Segala-galanya berlaku sekelip mata. Kerana perkahwinan inilah telah menjeratnya tanpa dia sedar. Perlukah dia nak berbangga dengan duit gaji yang diperoleh setiap bulan itu? Apakah duit itu boleh membeli kebahagiaannya selama ini? Dia cukup yakin jawapannya adalah tidak.
Tiga hari lepas, Tengku Fazrul Shah telah memberikannya duit gaji secara tunai. Dan masuk kali ini, sudah tiga kali dia mendapat gaji. Semuanya masih berada dalam simpanannya. Dia masih belum ada masa lagi untuk membuat kad bank. Dia merancang, akan berpindah dari rumah ini sebaik sahaja suaminya melangsungkan pertunangan pada bulan hadapan. Dengan duit yang dia ada, rasanya cukuplah untuk menampung perbelanjaannya sebelum dia selamat melahirkan.
Tapi, kemanakah dia harus duduk menyewa? Jika boleh, dia tak ingin duduk di Kuala Lumpur ini. Terlalu banyak kenangan pahit di bandaraya ini. Dia mahu lari sejauh-jauhnya dari Tengku Fazrul Shah. Biarlah suaminya itu hidup bahagia dengan Nauri. Tak mahu mengganggu ketenteraman lelaki itu. Dia pasti, suaminya itu tidak akan mencarinya lagi.
Fazliatun tersedar dari khayalannya apabila mendengar suara Koreng mengiau. Barangkali kucing betina itu lapar. Dia segera menuju ke dapur. Koreng terus mendekatinya dan mengesel-geselkan badan ke kaki Fazliatun. Manja sungguh Koreng. Tubuhnya juga sudah besar sedikit. Semasa dia membelanya kira-kira sebulan yang lepas, Koreng masih kecil.
"Kau lapar, ya?"
"Meow!"
Fazliatun membelai-belai bulu Koreng.
"Kan aku dah bagi makan pagi tadi. Kau ni memang kuat makan tau. Tengok tu, perut pun dah buncit. Dah tak molek muka kau."
"Meow...meow." Koreng seakan-akan mengerti apa yang dikatakan oleh tuannya. Ia baring di atas mozek sambil mengibas-ngibaskan ekornya.
"Kesian kau. Nanti kalau aku pindah, siapa nak temankan kau makan? Boleh ke tuan kau yang lagi sorang tu jaga kau macam mana aku jaga kau? Mesti kau akan rasa sunyi kat sini, kan?”
Fazliatun menahan air jernih yang sudah bertakung di tubir mata dan menunggu masa saja untuk pecah di pipi. Nalurinya terusik juga melihat kucing itu. Tidak sampai hati nak meninggalkan Koreng di sini.
"Nanti kalau Tun tengok muka Koreng, mesti Tun akan ingat kat abang. Kan seronok macam tu." Suara Tengku Fazrul Shah tiba-tiba terngiang di mindanya.
Ya, memang benar kata-kata suaminya. Apabila melihat Koreng, dia pasti akan teringatkan lelaki itu. Terbayang-bayang raut wajah Tengku Fazrul Shah saat mereka berkongsi hidup sepanjang tiga bulan ini. Ada macam- macam kenangan yang dia rasa. Ada kenangan manis, tidak kurang juga terselit sedikit kenangan pahit untuk dikenang. Jika tak cekal hati, boleh gila jadinya.
Dalam keadaan berbadan dua begini, dia teringin sekali berada di sisi lelaki itu untuk menemani hari-hari sepinya. Sekurang-kurangnya ada kata-kata perangsang dan dorongan bagi dia melalui kehamilan ini. Mesti seronok berkongsi rasa dengan suami. Paling dia inginkan, suaminya meletakkan telinga di perutnya dan mengusap-usapnya. Namun, apa yang tinggal kini hanyalah angan-angan dan impian belaka.
Fazliatun menuangkan whiskas ke dalam bekas makanan. Berselera sungguh Koreng makan sehingga habis.
“Makan banyak-banyak. Tengok tu, badan kau pun dah besar sikit. Montel sangat.” Fazliatun mengusap-usap bulu Koreng. Hatinya menjadi tenang saat berbuat begitu. Kesunyiannya terubat juga.
Fazliatun menyabarkan hati. Malas mahu mengingati perkara yang sudah berlaku. Dia menyibukkan diri dengan menonton televisyen di ruang tamu. Hatinya sedikit terhibur apabila menyaksikan telatah lucu drama khas sempena Hari Raya Aidilfitri.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
Roman d'amourGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...