"JAGA diri baik-baik kat sana. Mak doakan Tun bahagia dengan Fazrul. Kalau ada masa, jangan lupa call mak. Rindu nanti mak kat sini kalau Tun tak ada." Suara Puan Rohaya kedengaran sebak. Ketika itu dia sudah bersiap-siap untuk pergi kerja dengan suaminya.
"Mak janganlah risau. Pandai-pandailah Tun bawa diri kat sana. Mak tu jaga kesihatan sikit. Jangan makan sebarangan. Ada masa nanti Tun balik jugak jenguk mak dan ayah," ucap Fazliatun lembut.
Sedih juga hatinya untuk duduk berjauhan dengan keluarga. Selama dua puluh tahun hidup di atas dunia ini, tidak pernah lagi dia berpisah dari keluarga dalam jangka waktu yang panjang. Kali ini, selepas berkahwin dia akan merasa duduk sendiri tanpa keluarga di sisi.
"Tun nak balik pukul berapa ni?" tanya Encik Ahmad yang sedang duduk di kerusi rotan. Sesekali, matanya memandang jarum yang menghampiri ke pukul 6.40 minit pagi.
"Mungkin lepas pukul sembilan pagi kot. Tun ikut abang aje. Kalau abang nak gerak awal, Tun balik awal," jawabnya lagi.
"Ayah harap Tun bahagia kat sana. Ingat, Tun tu dah ada suami. Apa saja perkara Tun nak buat, mesti minta izin suami. Jangan sesekali Tun lawan cakap suami. Berdosa besar hukumnya. Tun pun dah cukup dewasa untuk faham apa yang ayah bagitahu. Ayah harap Tun ingat cakap ayah ni."
"Baiklah, ayah! Tun faham semua tu."
"Kirim salam ajelah kat Fazrul. Ayah dan mak dah nak pergi kerja ni. Nak tunggu dia bangun, memang tak sempat," ucap Encik Ahmad.
Fazliatun pantas menyalam tangan ayahnya. Kemudian emaknya pula. Pipi emak kesayangannya itu dicium penuh kasih. Hatinya terasa sayu tiba-tiba.
"Mak gerak dulu Tun."
Puan Rohaya dan Encik Ahmad terus berlalu pergi. Fazliatun hanya memandang di muka pintu sehinggalah kelibat orang tuanya hilang dari pandangan.
Fazliatun terus masuk ke dalam. Beg pakaiannya yang sudah siap dikemas diletakkan di ruang tamu. Sejak kejadian semalam, hubungannya dengan Tengku Fazrul Shah mulai dingin. Sampai ke saat ini pun dia masih mengingati peristiwa dia ditampar oleh lelaki itu. Mujurlah tidak nampak sangat kesan tamparan itu di pipi.
Jika tidak, sudah pasti mak dan ayahnya menyedari. Ketika dia bangun pagi tadi, suaminya itu masih tidur di atas lantai. Rupa-rupanya dia tidur sebilik dengan Tengku Fazrul Shah selepas kejadian itu. Akibat terlampau marah, akhirnya dia terlelap sampai ke pagi.
Selepas ini, tak tahulah bagaimana nasib dia. Dahlah jadi isteri sementara, lepas tu jadi pula perkara yang tak dijangka seperti itu. Dia mula rasa menyesal kerana berkahwin dengan Tengku Fazrul Shah. Gara-gara nak mengejar gaji Rm 10,000 sebulan, dia sanggup buat kerja gila. Kalaulah dia tahu akan jadi seperti ini, tidak ingin dia datang temu duga itu. Nak berpatah balik semula, tidak boleh. Mana dia nak cari duit sebanyak Rm 20,000 sebagai bayaran ganti rugi jika menarik diri sebelum cukup satu tahun kahwin.
Kali ini, dia betul-betul terperangkap dalam jerat yang dia bina sendiri. Nak menyesal pun tidak ada guna lagi. Nasi sudah pun menjadi bubur. Inikah namanya sebuah perkahwinan? Belum cukup sebulan menjadi isteri, Tengku Fazrul Shah sudah berani menaikkan tangan ke mukanya. Selepas ini, entah perkara apa lagi yang akan dibuat oleh suaminya itu.
'Ah, biarlah. Alang-alang dah mandi, biar basah terus. Buang masa aje nak sedih-sedih macam ni. Buat kering air mata aku aje. Lantak dialah nak buat apa pun kat aku. Ada aku kisah? Janji duit aku dia bayar seperti yang tertulis dalam kontrak perjanjian. Kalau tak bayar, siaplah kau!'
Dia akan tetap sabar menunggu. Cukup saja setahun mereka berkahwin, segala deritanya akan berakhir. Dan tak perlu lagilah dia nak menghadap muka lelaki sewel tu. Dah naik loya dia tengok wajah suaminya setiap hari. Nasib baiklah Tengku Fazrul Shah tidak mengajaknya honeymoon. Kalau tak, lagi haru jadinya.
Mesti makin banyak ragam dan kerenah suaminya. Dah nama pun bulan madu, mesti akan tidur sebilik. Tak akan nak duduk bilik lain-lain pula. Memang tak naklah dia macam tu. Janganlah bapa mertuanya menyuruh mereka berdua untuk pergi berbulan madu. Risau juga dia memikirkan perkara itu. Dibuatnya Tengku Fazrul Shah bersetuju, lagi haru.
Fazliatun duduk termenung di ruang tamu. Mengenang nasibnya pada hari-hari mendatang. Dia ingatkan selepas berkahwin dengan anak orang kaya, langsung tak ada masalah. Lagipun dia hanya menjadi isteri sementara. Dia beranggapan, mesti tak melibatkan soal hati dan perasaan. Rupa-rupanya ada juga.
Entahlah. Dia sendiri hanya berserah saja pada takdir. Moga-moga nasibnya akan terbela di rumah keluarga Tengku Fazrul Shah. Janganlah ada apa-apa perkara buruk yang akan terjadi.
P/s: Hai korang semua! Sori tau lambat masuk bab baru. Dah sebulan tak update. Macam biasa, jangan lupa vote dan komen. Kalau ada sambutan, cik penulis update lagi ya. Terima kasih sebab sudi baca kisah ni.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...