NAURI mendengus geram. Telefonnya dicampak kasar ke atas sofa. Sejak semalam, hampir lima kali dia menghubungi Tengku Fazrul Shah, namun langsung tidak berjawab. Mana pulak agaknya lelaki itu pergi? Susah sangat nak angkat call. Tak guna pakai handphone mahal-mahal, kalau tak tahu nak angkat. Lebih baik buang saja di dalam longkang.
Dia baru sahaja merancang untuk bertemu lelaki itu petang ini. Tak sabar pula nak menunjukkan gambar mesra Fazliatun dengan lelaki lain. Dia mahu lihat, bagaimanakah agaknya reaksi Tengku Fazrul Shah apabila mengetahui berita sensasi itu? Mesti dia akan marah dan kecewa setelah mengetahui isteri yang dipuja-puja itu berlaku curang di belakangnya.
Nauri mengeluh panjang. Nak pergi ke syarikat Tengku Fazrul Shah, macam tak wajar pula dalam waktu bekerja begini. Takkan dia nak pergi ke rumah baru lelaki itu pula. Kalau boleh, dia tak mahu menunjukkan diri di hadapan Fazliatun. Nanti nampak sangat dia terhegeh-hegeh pada laki orang. Jatuhlah air mukanya nanti.
'Perempuan miskin tu tak boleh tahu semua ni. Aku akan rahsiakan benda ni sampai masanya tiba. Apabila aku dah dapat rebut Tengku Fazrul Shah dari dia, masa tu baru aku jumpa dia. Sekarang ni kalau aku jumpa dia, buat sakit hati aje. Mesti pompuan miskin tu gelakkan aku sebab terhegeh-hegeh kat suami orang.'
Buat masa sekarang, dia harus tenang dan tak cepat menggelabah. Takkan lari gunung dikejar. Esok lusa pasti dia dapat menakluki hati Tengku Fazrul Shah. Jika hari ini dia tak dapat bertemu dengan lelaki itu, dia akan mencarinya sendiri di pejabat lelaki itu pada keesokan hari.
Nauri duduk berehat di dalam biliknya. Dari luar dia dapat melihat Sofea dan Halida begitu tekun menyusun baju-baju di rak. Kelihatan sepi sahaja butiknya saban hari. Jualan pun jatuh merundum. Perkara itulah yang merisaukannya. Mana nak bayar hutang-hutangnya dengan pihak bank lagi, nak bayar gaji pekerja, bayar sewa kedai...memang buntu otaknya untuk berfikir.
Entah kenapalah malang sangat nasibnya. Nak kata tak buat promosi, sudah banyak kali dia bertungkus-lumus memajukan butiknya itu. Baju-baju dan pakaian yang dijual pun boleh dikatakan semuanya mengikut perkembangan fesyen semasa dan up to date. Namun tetap juga kurang mendapat sambutan hangat dari pelanggan. Barangkali banyak sangat butik yang ada di sekitar ibu kota Kuala Lumpur ini sehinggakan pelanggan naik pening nak memilih.
"Ish, kusut betullah kepala aku kalau macam ni! Argh!!!" Dia menjerit sekuat hati. Sofea dan Halida yang sedang sibuk menyusun baju agak terkejut mendengar bos mereka terjerit-jerit bagaikan orang gila.
"Wei, kenapa dengan bos tu? Aku tengok stress aje memanjang." Halida mencuit bahu Sofea. Suaranya perlahan sahaja. Bimbang andai didengari oleh majikan mereka.
Sofea mengangkat kedua-dua bahunya.
"Entahlah. Aku pun tak tahu masalah dia. Mungkin pasal hutang kot," balas Sofea sekadar menduga. Dia dapat merasakan bosnya itu tertekan kerana masalah kewangan. Sejak akhir-akhir ini, bisnes butiknya sedikit terjejas. Tidak ramai pelanggan yang datang ke situ. Manalah majikannya itu tidak tertekan.
"Jangan dia tak bayar gaji kita bulan ni sudahlah. Risau pulak aku. Dahlah banyak benda nak bayar bulan ni."
"Ish kau ni! Syyh!!! Kawal sikit suara kau tu. Nanti dia dengarlah!"
"Alah, kalau dah dok asyik berkhayal, manalah nak dengar apa yang kita cakap. Sibuk dengan dunia dia sendiri. Badan aje kat sini tapi roh melayang jauh ke tempat lain."
"Eh kau ni, sudah-sudahlah tu. Lebih baik kita buat kerja dari bersembang yang bukan-bukan. Kang tak pasal-pasal dia mengamuk, baru kau tahu."
"Erm...yalah."
Sementara itu, Nauri masih lagi berkhayal jauh di dalam. Segala apa yang dibualkan oleh pekerja-pekerjanya langsung tidak didengari. Dia terus hanyut dalam dunia sendiri. Dalam fikirannya saat ini, asyik memikirkan perihal Tengku Fazrul Shah. Geram dan sakit hati apabila tidak dilayan. Sampai bila dia harus menunggu? Dah lama sangat dia menanti bagaikan orang gila. Dia pelu cepat bertindak sebelum terlambat.
Setelah puas berkhayal, dia menumpukan semula perhatian pada Sofea dan Halida. Takut juga andai mereka curi tulang dan makan gaji buta.Dia memandang jam yang terletak di atas meja. Hampir masuk ke pukul 3.30 petang. Pantas benar masa berlalu. Memandangkan sudah tidak ada kerja yang perlu dibuat, dia berkira-kira ingin pulang ke rumah. Akhirnya dia bangkit lalu mencapai beg tangan jenama Louiss Vuitton dan melangkah keluar dari biliknya. Dia menuju ke arah Sofea dan Halida.
"I dah nak balik ni. You all tolong tengok-tengokkan butik ya. Sekarang ni pun tak banyak customer. Buatlah apa-apa yang patut. Kalau ada apa-apa masalah, call I," pesannya tegas.
"Baik, Cik Nauri!" ucap mereka berdua hormat.
"Lagi satu, sebelum tutup butik pastikan semua suis lampu dan aircond tutup. Jangan lupa pesan I ni. Ingat!"
"Ya, Cik Nauri!"
Mereka hanya mengangguk tanda faham. Sebaik saja Nauri pergi, mereka menyambung semula perbualan yang tergendala sebentar tadi.
"Kau tengoklah kerja dia. Senang aje kan bagi arahan. Dahlah masuk kerja lambat, balik tu tahu pulak nak cepat. Ish, tak faham aku dengan perangai dia," bebel Halida geram.
"Tu namanya bos. Bukan macam kita ni. Kuli dia aje. Ikut suka hati dialah nak masuk pukul berapa pun. Butik ni kan dia yang punya.."
"Memanglah bos, tapi janganlah serahkan semua tugas kat kita aje. Macam manalah bisnes dia nak untung kalau sikap dia pun tak betul. Lepas tu, tahu pulak nak mengamuk tak tentu pasal. Cakap bisnes tak majulah, tak banyak pelangganlah. Agak-agaknya, kalau kerja lama lagi kat sini boleh jadi gila aku menghadap benda ni semua. Boleh stress tau."
"Sabar ajelah! Dah memang begitu perangai dia. Kita tengokkan aje. Apa nak disusahkan, kalau dia tak boleh bayar gaji kita, kita mogok terus tak payah kerja. Bukan butik dia seorang saja yang ada kat Malaysia ni. Berlambak lagi," tambah Sofea.
"Tahu tak apa."
"Janji dia bayar gaji okeylah. Sampai saat ini, belum pernah lagi dia tak bayar gaji kita. Cukup bulan aje, dah sampai payment. Kau pun dah tujuh bulan kan kerja kat sini? Bukan kau tak pernah lalui semua ni."
"Yalah. Harap-harap macam tulah. Aku cuma bimbang aje. Dahlah banyak benda nak bayar bulan ni. Betul-betul sesak. Semuanya nak pakai duit. Nilai duit sekarang ni tak sama macam zaman dulu."
"Biasalah tu, Ida. Dah nama pun kehidupan. Hidup kat mana-mana pun kat Malaysia sekarang ni manalah cukup gaji dua ribu macam kita ni. Untuk duit makan aje, dah berapa ratus. Kalau tak pandai berjimat-cermat, memang tak boleh bernafas langsung. Belum cukup hujung bulan, dah tercungap-cungap."
"Haha. Ayat kau memang tak boleh blah. Falsafah sangat! Macam sasterawan negara pulak."
"Falsafah sampah."
Terkekek-kekek mereka berdua ketawa.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...