AKHIRNYA hari yang mereka nanti-nantikan sudah tiba. Pada penghujung bulan Mei itu, keluarga Fazliatun dan keluarga Tengku Fazrul Shah berangkat ke Kota Kinabalu, Sabah. Seawal jam tujuh pagi, mereka sudah sampai di KLIA. Pada pukul 8.30 pagi, penerbangan akan bermula. Lebih kurang dua jam lebih, mereka sampai ke Kota Kinabalu dengan selamat.
Sebaik tiba di situ, mereka terus mendapatkan Encik Halid yang menjadi pemandu pelancong. Tengku Fazrul Shah telah menyewa dua buah van selama tiga hari mereka di sini. Penginapan pun sudah ditempah seawal dua bulan sebelum bercuti. Pada mulanya, dia bercadang ingin bercuti di Sarawak. Namun terpaksa ditukar lokasi apabila Fazliatun memilih Sabah sebagai destinasi pilihan.
"Cantikkan tempat ni? Tun suka sangat," kata Fazliatun ketika menjejakkan kaki di dalam bilik Superior Room ini. Mereka menginap di Kinabalu Pine Resort yang terletak di Kundasang.
"Memang cantik pun. Sebab tu abang cadangkan tempat ni. Lebih-lebih lagi, kita boleh tengok pemandangan Gunung Kinabalu pada waktu pagi. Kalau sayang nak tengok sekarang pun boleh. Mari!"
Tengku Fazrul Shah menarik tangan isterinya. Fazliatun tidak membantah. Sebaik melangkah keluar, dia terpegun menyaksikan panorama indah yang terbentang luas di hadapan mata. Bagaikan bermimpi apabila berpeluang melihat puncak Gunung Kinabalu dari jarak dekat begitu. Teruja sungguh dia. Saat itu, terdapat awan tebal yang menutupi sedikit pemandangan gunung tersebut.
"Subhanallah! Cantiknya."
"Kan abang dah kata tadi. Mesti Tun suka punya."
Tangan isterinya diraih mesra. Mereka berdua menikmati pemandangan indah itu tanpa gangguan dari sesiapa. Ahli keluarga mereka yang lain mengambil tiga bilik lagi. Mujurlah Tengku Arianis sudi menjaga Tengku Intan Ruhanis sepanjang bercuti di sini. Mamanya itu tak mahu mengganggu bulan madu mereka. Dia cukup faham. Selama ini pun, dia dan isterinya tidak berpeluang berbulan madu seperti itu.
"Terima kasih, abang." Fazliatun menatap mata suaminya. Berdebar-debar juga perasaannya. Tengku Fazrul Shah turut membalas renungan Fazliatun. Senyuman lelaki itu melebar.
"Ni hadiah sempena anniversary kita yang pertama. Banyak sungguh dugaan dan ranjau yang kita kena lalui. Abang harap, jodoh kita akan kekal sampai ke hujung nyawa."
"Tun harap pun macam tu. Tak sangka, kita akan jadi suami isteri betul-betul. Tun ingatkan, lepas satu tahun kahwin, kita akan bawa haluan masing-masing. Ni semua sebab kerja gila abanglah. Tun pun gelap mata dengan tawaran gaji sepuluh ribu tu. Kalau diingat-ingat semula, rasa kelakar pula. Siap ada surat perjanjian lagi. Tapi, betul ke surat kontrak tu, abang?" Fazliatun bertanya. Memang sudah lama dia ingin mengajukan soalan itu namun tidak berkesempatan.
Suaminya boleh pula ketawa. Pelik dia melihat.
"Kenapa abang gelak? Apa yang lucu?"
"Tak ada apalah."
"Abang tipu ni. Mesti ada benda yang abang cuba sembunyikan dari pengetahuan Tun. Baik abang cakap."
"Benda apa pulak?"
"Tun nak tahu pasal surat yang kita tandatangan tu. Betul ke surat tu ataupun palsu?"
"Sebenarnya..."
"Cepatlah cakap!"
"Sayang ni sabarlah sikit. Ish..."
"Mesti tak betulkan?" Fazliatun meneka.
"Memang palsu."
"Tak baik tau abang buat Tun macam tu. Ingatkan surat tu betul."
"Abang terpaksa sayang."
YOU ARE READING
Isteri Sementara
DragosteGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...