Bab 3
SINARAN mentari pagi menerjah masuk melalui lubang tingkap yang sedikit terdedah sehingga mengganggu lena Fazliatun. Selepas menunaikan solat subuh awal pagi tadi, dia terlajak tidur sampai tak sedar hari sudah siang. Kalaulah dia bekerja seperti orang lain, sudah tentu rekod kedatangannya selalu 'merah'. Hampir setahun juga dia menjadi penanam anggur terhormat.
Selama itu juga, masanya banyak dihabiskan di rumah. Bukanlah hanya goyang kaki, makan dan tidur tanpa berbuat apa-apa aktiviti. Kadang-kadang, dia membuat sarapan pagi dan menyediakan hidangan makan tengah hari jika emaknya bekerja. Kalau dia tak buat, siapa lagi yang boleh diharapkan.
Mujurlah hari ini, hari selasa. Emaknya tidak bekerja dan seperti biasa, emaknya yang akan melakukan rutin harian itu.
"Awal benar kau bangun hari ni, Tun? Nak dekat pukul sembilan baru nampak batang hidung. Anak dara apalah bangun lambat macam ni! Esok, kalau dah kahwin, memang larilah laki."
Baru saja hendak menjejakkan kaki ke dapur, telinga Fazliatun sudah mendengar emaknya membebel.
'Mak ni kalau dah membebel, tak pandang kiri kanan langsung. Main tembak aje. Mak...mak.' Fazliatun menggeleng.
"Alah mak ni, macam tak biasa pulak. Hari ni kan hari selasa. Hari cuti untuk Tun," jawabnya ringkas sambil tersengih-sengih.
"Banyaklah kau punya cuti. Bila masa pulak kau tu dah kerja?" Puan Rohaya memandang muka selamba anak gadisnya yang kini duduk di meja makan.
Masuk saja ke dapur, dia sudah menghidu bau nasi lemak. Puan Rohaya memang rajin membuat sarapan pagi jika tidak bekerja. Dulu semasa belum kerja, hampir setiap hari emaknya membuat sarapan.
"Nanti ada rezeki Tun kerjalah, mak. Bukannya Tun tak minta kerja langsung. Masuk ni, dah lima kali Tun pergi temu duga. Cuma rezeki tu aje belum ada." Fazliatun mencedok nasi lemak ke dalam pinggan sebelum menuang air milo yang masih panas ke gelas. Berselera sungguh dia makan.
"Mak dah sarapan, belum?"
"Dah sarapan tadi dengan ayah. Cuma kau aje belum sarapan."
"Ayah pergi ke mana, mak?" soalnya lagi setelah mendapati ayahnya tidak ada di rumah. Biasanya setiap hari selasa pada minggu kedua begini ayahnya tidak bekerja.
"Dia pergi jumpa dengan Pak Mior. Nak jelaskan hutang yang belum habis bayar lagi tu. Kesian mak tengok ayah. Kerja macam nak gila, duit tak banyak-banyak juga. Dapat gaji nanti, nak bayar hutang tu, bayar hutang ni, bayar sewa rumah ni lagi. Tu belum tolak duit belanja dapur. Berapa sangatlah gaji yang tinggal? Kalau mak tak kerja, nak makan apa kita anak-beranak? Pening kepala mak ni fikir, Tun."
Puan Rohaya memegang kepalanya. Rungsing fikirannya mengenangkan belanja dapur yang semakin mahal ditambah dengan belanja sekolah anak-anak. Celik mata saja, semuanya nak pakai duit. Kalau duduk goyang kaki, duit boleh jatuh dari langit, memang senang tak payah kerja. Duduk saja di rumah mengharap duit jatuh ke riba. Manusia pun akan menjadi malas dan cepat datang penyakit.
"Tun faham mak. Mak janganlah risau sangat. Nanti Tun dah kerja, bolehlah bantu mak dan ayah. Mak sabar sikit, ya!"
Fazliatun mengelap mulut dengan sapu tangan kecil. Dia memandang lama wajah emaknya. Ada garis-garis halus di wajah tua itu. Dalam usia mencecah 45 tahun pun, emaknya terpaksa bekerja demi mencari sesuap nasi. Jika tak bekerja, manalah cukup nak menampung hidup mereka tujuh beranak. Sebagai anak sulung, dia malu. Malu kerana tidak dapat membantu meringankan beban keluarga.
Mudah-mudahan permohonannya untuk menjadi isteri Tengku Fazrul Shah dimakbulkan oleh Allah. Hanya dengan cara itu dia dapat membantu keluarga. Dia kasihan pada ayah dan emaknya. Jika boleh, dia mahu meringankan beban mereka. Fazliatun risau juga.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...