FAZLIATUN menutup api gas setelah siap memasak. Aroma kari ayam yang masih berasap-asap itu sungguh menyelerakan. Mujurlah dia sempat mencari daun kari dan beberapa bungkus serbuk rempah ratus ketika membeli barang-barang dapur kelmarin. Dapat juga dia masak pelbagai jenis lauk. Bosan juga jika masak lauk yang sama saja. Naik loya tekaknya.
Masuk hari ini, sudah dua hari dia tinggal di banglo milik suaminya. Sejak kejadian dia ditampar oleh Tengku Fazrul Shah, hanya sekali saja suaminya datang. Itu pun kerana menghantar pakaian-pakaiannya. Sejak dari itu juga hubungan mereka semakin renggang dan dingin. Fazliatun lebih senang begitu. Biarlah apa saja yang lelaki itu mahu buat, dia sudah malas ambil peduli.
Setiap kali selepas habis solat, dia selalu berdoa agar suaminya itu berubah. Dia memang marah atas perbuatan suaminya, tetapi sebagai seorang isteri dia mengharapkan ada sinar dalam rumah tangganya biarpun dia tahu hakikat sebenar. Dia tidak pernah menyimpan dendam dalam hati. Jauh sekali untuk bermusuh dan bermasam muka. Dia sudi memaafkan segala kesalahan lelaki itu andai suaminya mahu berbaik-baik semula dengannya. Bak kata orang...buang yang keruh, ambil yang jernih.
Fazliatun meletakkan pinggan di atas meja. Kemudian dia membuka peti ais lalu mencapai botol berisi air mineral. Selepas membaca doa, dia makan dengan tertib. Dia masak sedikit sahaja kerana cuma dia seorang yang ada di situ. Nak masak banyak pun buat membazir saja. Apabila selesai makan, dia naik semula ke tingkat atas.
Hari ini badannya terasa letih sangat. Sejak awal pagi lagi dia sudah bangun. Kerana bosan tak ada kerja nak buat, dia membersihkan halaman rumah dan membakar daun-daun kering yang berselerakan di atas tanah. Barulah nampak bersih dan kemas. Ketika sedang asyik berkhayal, tiba-tiba handphonenya berdering. Pantas dia menjawab panggilan tersebut.
"Assalamualaikum, Tun! Tun apa khabar? Sihat ke?" Terdengar suara lembut Puan Rohaya di hujung talian.
"Waalaikumussalam, mak! Tun sihat-sihat aje ni. Mak dan ayah sihat tak kat sana? Rindu betul Tun kat mak dan ayah," ucap Fazliatun sayu.
"Tun ada kat mana tu? Senyap aje mak dengar!"
"Kat rumah ni, baru aje habis makan. Lupa pulak Tun nak bagitahu mak. Sebenarnya, Tun dah pindah rumah. Abang yang ajak Tun pindah. Tun seronok tinggal kat rumah baru ni," jelasnya lagi. Dia buat-buat gembira. Tidak mahu menunjukkan rasa sedih pada emaknya. Biarlah kesedihannnya itu di tanggung sendirian. Ayah dan emaknya tak harus tahu perkara sebenar.
"Syukurlah Tun. Mak pun tumpang gembira dengar cerita ni. Kalau ada masa lapang, ajak Rul jumpa mak dan ayah. Rindu sangat nak tengok muka anak dan menantu mak. Sunyi rasanya sejak Tun dah berkahwin ni."
"Yalah mak. Nanti Tun balik jenguk mak dan ayah, ya!" Fazliatun terdiam sekejap. Entah bilalah dia dapat balik ke rumah keluarganya. Selagi Tengku Fazrul Shah tidak mengizinkan dia keluar, dia tidak berani bertindak di luar pengetahuan suaminya. Dia bimbang jika lelaki itu marah.
"Jangan tak balik pulak," pesan Puan Rohaya mengingatkan anaknya.
"InsyaAllah mak. Kalau abang cuti, nanti Tun ajak dia balik. Sekarang ni abang sibuk sikit dengan kerja kat pejabat tu."
“Mak faham semua tu. Biasalah dah mula kerja, kan. Nak tanggung makan dan minum Tun mestilah kena kerja kuat.”
“Betul tu mak. Kadang-kadang sunyi jugak tak ada teman nak berbual. Kalau ada mak, boleh kita berbual macam dulu.”
“Memanglah. Dulu tu lain, sebab Tun belum kahwin. Sekarang ni dah jauh dari mak mestilah sunyi. Mak dan ayah pun rasa macam tu juga.”
Puan Rohaya terdiam sejenak. Dia mengerling jam tangannya. Ada baki dua puluh minit lagi sebelum dia masuk kerja semula. Dia bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah kedai makan yang terletak beberapa kilometer dari rumah. Apabila masuk tengah hari, dia akan berehat setengah jam untuk makan.
Ruang masa yang ada ini digunakan sebaik-baiknya Sebenarnya dia menghubungi Fazliatun kerana ada perkara yang ingin ditanya. Sukar pula dia hendak berterus-terang.
"Tun macam mana sekarang ni? Dah ada apa-apa tanda ke belum?" Soalan Puan Rohaya kali ini betul-betul memeranjatkan Fazliatun. Tercengang sekejap dia. Hatinya resah semacam.
"Tanda apa pulak ni, mak? Tun tak fahamlah!" Sengaja dia berkata begitu untuk menutup keresahan di hati.
"Alah Tun ni, buat-buat tak faham pulak. Perut Tun tu dah ada isi ke belum?" soal Puan Rohaya tanpa berselindung lagi.
"Belum ada rezeki, mak!"
Akhirnya Fazliatun terpaksa juga menjawab. Macam manalah dia nak mengandung kalau suaminya tak pernah menyentuhnya langsung sejak malam pertama lagi. Dia masih dara walaupun sudah berkahwin. Jika emaknya mengetahui perkara sebenar, pasti hati tuanya akan menangis.
"Tak apalah. Baru sebulan kan Tun kahwin. Dua tiga bulan nanti adalah tu isi. Mak doakan Tun cepat-cepat dapat anak. Tak sabar betul mak nak timang cucu sulung." Ceria sungguh suara Puan Rohaya. Dalam fikirannya sekarang, sudah terbayang-bayang rupa cucunya. Mesti comel macam Fazliatun.
"Terima kasih mak!" Hanya itu ucapan yang mampu diluahkan. Besar sungguh harapan emaknya. 'Kesian mak. Maafkan Tun, mak!'
“Tun dah pergi periksa belum? Manalah tahu ada yang tidak kena. Benda macam ni, kita tak boleh nak malu. Tu pun untuk kebaikan Tun dengan Rul. Mak ni cuma nak ingatkan aje,” ujar Puan Rohaya lagi.
“Tak ada pulak. Abang pun tak cakap apa-apa.”
“Kalau ada masa, Tun ajaklah suami Tun periksa kat hospital. Kita cuma usaha aje setakat mana yang mampu. Mak harap Tun faham.”
“Baik, mak!”
Pesanan Puan Rohaya itu meresahkan hatinya. Jika usia perkahwinannya semakin bergerak tiga bulan ke depan, pasti emaknya akan bertanya lagi. Bagaimanakah dia nak menjawab setiap persoalan emaknya nanti?
MALAM itu Tengku Fazrul Shah tidak boleh tidur. Sudah dua malam dia tidak dapat melelapkan mata. Sejak Fazliatun tinggal di banglo pemberian papanya, tidurnya sedikit terganggu. Adakah dia merindukan isterinya? Berkali-kali dia menepis pertanyaan itu. Tidak mungkin dia jatuh hati pada Fazliatun. Dia sudah berjanji untuk melupakan gadis itu. Mengapa sukar benar dia hendak melupakan Fazliatun?
Entah apalah yang dibuat oleh isterinya pada malam-malam begini. Sudah pasti dia sedang merindukan dirinya. Semakin serabut otak Tengku Fazrul Shah. Dia segera bangkit dari katilnya lalu menuju ke dapur. Tekaknya berasa dahaga pula. Pintu peti sejuk dibukanya perlahan-lahan sebelum mencapai jug berisi air sirap. Setelah menuangkannya di dalam gelas, dia duduk sebentar di meja makan.
Bayangan wajah Fazliatun tiba-tiba menjelma di ruang mata. Dia melihat isterinya tersenyum memandangnya. Senyuman itulah yang telah memikat hatinya sejak pertama kali mereka bertemu sewaktu temu duga dulu. Walaupun dia menafikan, namun cinta itu tetap hadir dalam jiwa sehingga memaksa dia memilih Fazliatun sebagai calon isteri sementaranya. Dia benar-benar sudah jatuh cinta pada isteri sendiri.
Tanpa disangka, dia akhirnya tewas melawan nalurinya. Dia tidak mempedulikan lagi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam kontrak perkahwinan antara dia dan Fazliatun. Sebab itulah apabila isterinya meminta dia melafazkan cerai, dia tidak menurut. Sampai bila-bila pun dia tidak akan menceraikan Fazliatun biarpun gadis itu memaksa.
Kerana sayang juga, dia cemburu setelah mendapat tahu Firman pernah membantu isterinya semasa jatuh pengsan beberapa minggu yang lalu. Dia memang ego dan pentingkan diri sendiri. Dia tidak akan pernah menyatakan rasa cintanya kepada Fazliatun. Biarlah hanya dia seorang yang tahu.
Esok malam, dia merancang untuk berpindah dari sini. Semakin lama dia berjauhan dengan Fazliatun, semakin rindu pula. Sehari tidak menatap wajah isterinya, bagaikan setahun rasanya. Dalam pada masa yang sama, dia seakan kesal dengan tindakannya menampar pipi Fazliatun. Tanpa berfikir panjang, dia bertindak di luar kawalan. Gara-gara ego dan cemburu buta, dia sanggup mencederakan isterinya yang tidak bersalah itu.
'Kenapa aku kejam sangat kat dia? Dia tak bersalah dalam hal ni. Cuma aku yang ikutkan sangat rasa marah. Kasihan isteri aku! Maafkan abang, Tun! Abang betul-betul tak sengaja. Jangan tinggalkan abang! Abang tak sanggup berpisah dengan Tun.'
Hati kecilnya merintih-rintih. Dosanya pada Fazliatun membuatkan hidupnya sentiasa dibelenggu keresahan.
Dia ingat lagi, betapa gembiranya Fazliatun semasa dia ingin mencari rumah baru. Terbayang jelas keceriaan pada wajah isterinya. Sudah pasti Fazliatun gembira kerana dapat tinggal berasingan dengan mertua. Dari sudut hatinya, dia tahu isterinya tidak bersalah. Mamanya sengaja mereka-reka cerita untuk mengeruhkan hubungan mereka berdua.
Atas dasar itulah dia mengambil jalan mudah dengan cara berpindah rumah. Dia tak mahu kebencian mamanya terhadap Fazliatun semakin berpanjangan. Dia berharap dengan cara itu, hidup isterinya akan jadi lebih aman dan tenteram selepas ini.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomanceGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...