MASUK hari ini sudah tiga hari Fazliatun berada di hospital. Menurut doktor yang merawatnya, keadaannya semakin stabil dan konsisten. Sekejap lagi dia akan dibenarkan pulang ke rumah.
"Syukurlah Tun dah boleh balik ke rumah. Senang hati mak ni," ucap Puan Rohaya gembira. Sudah dua hari dia menjaga Fazliatun. Mujurlah majikannya faham dan meluluskan cutinya. Susah juga jika tidak ada orang yang menemani Fazliatun di sini. Sebagai seorang ibu, dia bertanggungjawab menjaga anaknya sehingga sembuh.
"Ayah mana, mak?" soal Fazliatun. Dia menyandarkan tubuh pada kepala katil.
"Dah kerja."
"Ayah masih marahkan Tun ke?"
"Taklah. Ayah dah tahu cerita sebenar dari Tengku Marzuki. Ni semua salah Rul. Mak tak sangka Rul sanggup buat Tun macam ni. Kesian anak mak. Tun kena kuat lawan semua ni. Kalau dah tak ada jodoh, nak buat macam mana lagi. Kita serahkan saja pada Allah. Mak dan ayah selalu ada untuk sokong Tun."
Fazliatun memanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi. Siapa sangka, hubungan dia dengan ayahnya akan pulih secepat ini kerana kejadian malang itu. Mujurlah kecederaan yang dialami tidak teruk. Jika tidak, sudah pasti dia akan mengalami amnesia ataupun hilang ingatan. Sememangnya, Allah telah melindungi dia dan anak dalam kandungannya. Syukur alhamdulillah.
Apabila mendengar emaknya menyebut nama lelaki itu, membuatkan Fazliatun berasa benci dan jijik. Dia tidak akan memaafkan kesalahan suaminya itu. Perbuatan Tengku Fazrul Shah benar-benar sudah melampau. Entah benda apa yang sudah merasuk lelaki itu sehingga bertindak di luar batas. Tubuh Fazliatun diheret bagaikan binatang yang tidak punya hati dan perasaan. Suaminya memang kejam dan zalim.
"Mak penat ke? Kesian mak kena jaga Tun." Wajah emaknya dipandang penuh simpati. Gara-gara nak menjaganya, Puan Rohaya sanggup berkorban sampai begitu sekali. Terlalu besar pengorbanan emaknya itu.
"Tak penat pun. Demi Tun, mak rela korbankan apa saja asalkan Tun selamat. Duit kita boleh cari, tapi anak tak boleh ditukar ganti. Itulah pemberian paling bermakna buat seorang perempuan bergelar ibu."
Puan Rohaya memandang wajah anaknya. Dalam usia semuda ini, dia sudah berhadapan dengan masalah besar seperti ini. Berat sungguh dugaan yang sedang dipikul oleh permata hatinya itu.
'Kuatlah, sayang. Mak akan selalu ada kat sisi Tun untuk bagi sokongan dan kata-kata perangsang. Jangan cepat mengalah, ya.' Hati tuanya berkata-kata.
"Tun nak minum air ke? Dari tadi pagi Tun belum minum air."
"Nantilah mak. Tun belum rasa dahaga lagi."
"Tun kena jaga diri. Tun kan mengandung. Kena banyakkan minum air masak. Biar anak dalam kandungan tu sihat dan cergas." Puan Rohaya tersenyum. Gembira benar hatinya setelah mengetahui berita kehamilan Fazliatun kelmarin. Ternyata doanya selama ini telah dimakbulkan oleh Allah.
"Ya, Tun tahu. Tun gembira sangat dapat kongsikan berita dengan mak biarpun terlewat. Masa Tun datang rumah dulu, Tun nak bagitahu pasal berita inilah tapi tak sempat. Ayah halau Tun mak. Sampai hati ayah," ucap Fazliatun sedih. Laju saja air matanya mengalir di pipi.
"Sudahlah tu. Jangan diingat lagi benda yang dah lepas. Nanti Tun sakit pulak. Tun jangan banyakkan fikir. Tun baru sembuh kan. Kesat air mata tu."
Fazliatun mengesat air mata dan membetulkan duduk. Sebentar lagi dia akan keluar dari sini.
"Nanti Tun balik rumah kita, ya. Tak payahlah duduk kat rumah sewa tu lagi. Bahaya Tun tinggal sorang-sorang kat situ," pujuk Puan Rohaya lembut.
"Tun nak duduk situ juga. Dah tiga hari tak balik sana. Ya Allah, mak. Tun lupa nak bagitahu. Koreng ada kat dalam rumah tu. Kesian dia mak tak makan dan minum. Ya, Allah!" Fazliatun baru teringat pada kucing kesayangannya itu. Selama tiga hari dia di hospital, bagaimanakah agaknya keadaan Koreng? Pasti dia lapar dan dahaga. Kasihan Koreng.
YOU ARE READING
Isteri Sementara
RomantikGara-gara mengejar gaji sebanyak Rm 10,000 sebulan, Fazliatun membuat kerja gila dengan cara menjadi isteri sementara Tengku Fazrul Shah. Akibatnya, dia terperangkap dalam jerat yang di bina sendiri. Hidupnya berubah seratus peratus semenjak menja...